Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version
 
 

Kali Kedua Gempa, Malim Gunung Tenang Kawal Keadaan


Tarikh kemaskini: 09/03/2018




KUNDASANG, 9 Mac (Bernama) -- Pengalaman kali kedua merasai gegaran di Gunung Kinabalu menuntut malim gunung untuk membantu mengawal keadaan susulan gempa bumi sederhana  melanda Ranau malam tadi.

Jemain @ Jabili Midin, 50, berkata walaupun gegaran kali ini tidak sekuat gempa bumi pada 2015, namun beliau masih mempunyai perasaan takut.

"Bagaimanapun, saya ingat untuk tenang demi pendaki yang berada di situ (Panalaban).

"Biasanya, apabila ada gegaran, kami (malim) bawa pendaki ke lokasi berkumpul yang mana kami akan menenangkan para pendaki," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Taman Kinabalu di sini.

Jemain antara 42 malim di Laban Rata Resthouse di Panalaban, yang merupakan titik persinggahan pendaki sebelum melanjutkan pendakian ke puncak gunung setinggi 4,095 meter itu.

Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau pukul 9.06 malam tadi.

Kejadian itu menyebabkan beberapa daerah seperti Kudat, Tuaran, Papar, Kota Marudu, Kota Kinabalu dan Kundasang turut merasai gegarannya.

Seorang lagi malim gunung Hanson Juhili, 35, yang pertama kali merasai gempa bumi di Panalaban, sukar menjelaskan perasaan takut ketika kejadian malam tadi.

"Apa boleh buat. Keadaan sudah begitu. Mujurlah tiada yang cedera.

"Dalam situasi yang genting itu, kami malim gunung perlu tenang dan mendahulukan keselamatan pendaki," katanya.

Jomius Binte, 54 pula turut bersyukur keadaan di Panalaban terkawal, walaupun terdapat pendaki yang trauma akibat gegaran kira-kira enam saat itu.

"Selepas kami semua selamat turun di Timpohon Gate (titik permulaan pendakian), kami diberi makanan.

"Pada masa itu (ketika makan), saya melihat ramai pendaki keletihan. Ada yang tidur beralaskan lengan di meja, ada yang terus pulang ke hotel masing-masing," katanya dan menambah kebanyakan pendaki berasal dari dalam negara, Korea dan Eropah.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan dua pendaki wanita dibawa ke Hospital Ranau kerana mengalami Penyakit Akut Gunung (AMS) ketika menuruni gunung.

Seramai 239 orang, termasuk 130 pendaki berada di Panalaban ketika kejadian dan dibawa turun ke Timpohon Gate oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) mulai 9.40 malam dan operasi tamat pada 4.30 pagi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun telah mengarahkan agar semua aktiviti pendakian Gunung Kinabalu digantung sementara berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati keadaan di Timpohon Gate sepi tanpa sebarang aktiviti.

Keadaan di Taman Kinabalu juga tenang dengan beberapa kumpulan pendaki, rata-rata daripada kalangan pendaki dalam negara, menaiki kenderaan pelancong untuk kembali ke Kota Kinabalu.

Cuaca di Kundasang juga cerah pagi ini dengan aktiviti harian di pekan berjalan seperti biasa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta pantai Lexis Hibiscus jadi acara tahunan

 
     

Rumah terbuka Aidilfitri Undang Luak Rembau meriah

 
     

Warga Thailand maut di Miri

 
     

Kanak-kanak hilang dijumpai di dalam hutan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel