Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version
 
 

Rakyat Selangor Muak Dengan Masalah Bekalan Air


Tarikh kemaskini: 09/03/2018





Oleh Oleh Siti Aisyah Harun

KLANG, 9 Mac (Bernama) -- Rakyat Selangor hari ini menyatakan perasaan muak kepada kerajaan negeri apabila masalah bekalan air masih sukar ditangani sehingga menyusahkan penduduk terutamanya warga emas.

Tinjauan Bernama di sekitar Klang mendapati bekalan air mineral dan air minuman di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya habis dijual.

Seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Tom, 69, berkata sebagai rakyat Selangor, beliau berasa muak apabila masalah bekalan air terlalu kerap berlaku kerana menyusahkan dirinya yang menghidap sakit lutut dan kekurangan tenaga.

Beliau yang tinggal di Taman Sri Andalas di sini memberitahu kawasan tersebut mengalami gangguan bekalan air sejak Selasa lepas menyebabkan air yang disimpan sebelum ini bagi tujuan itu telah habis sepenuhnya.

"Saya simpan air seperti mana yang Air Selangor bagi tahu. Guna pun berjimatlah. Tapi bila ada kes loji pecah macam ini, tempoh sekatan bekalan lebih lama, terpaksalah angkut air.

"Lori tangki air yang sepatutnya datang tapi sampai hari ini tiada pula. Saya terpaksa minta tolong jiran angkat air sebab lutut sakit, tak larat lagi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi punca air yang diwujudkan Air Selangor di Jalan Sri Siantan 43, di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati lebih 100 penduduk di sekitar Taman Sri Andalas dan Taman Sri Bayu serta beberapa lokasi terdekat berpusu-pusu ke lokasi tersebut untuk mengangkut air sebagai bekalan menghadapi gangguan air yang dijangka berakhir Ahad ini.

Bagi seorang penduduk Pangsapuri Taman Klang Jaya pula, Mazila Mat Nasir, 36, gangguan bekalan air kali ini menyebabkan beliau terpaksa mengangkut air lebih enam kali sehari ke rumahnya di tingkat satu daripada lori tangki Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang datang ke kawasan itu.

"Walaupun tiada air, nak tak nak terpaksa memasak juga hari-hari sebab saya ada empat anak yang semua bersekolah dan suami balik hendak makan. Nak membeli makanan selalu, perbelanjaan bertambah pula.

"Untuk jimatkan air, kami lapik pinggan guna plastik. Kami tak boleh simpan air banyak di rumah sebab unit apartmen di sini kecil sekitar 700 kaki persegi saja," katanya sambil mengeluh kerana tenaga kaum wanita tidak sekuat lelaki untuk mengangkut air menaiki tangga berkali-kali memandangkan pangsapuri lima tingkat itu tiada kemudahan lif.

Menyifatkan gangguan bekalan air lebih memudaratkan daripada masalah tenaga elektrik, Mazila amat berharap kerajaan Selangor lebih serius menanganinya kerana ia amat menyeksakan rakyat yang tidak sepatutnya menanggung beban seperti itu.

Pada Selasa lepas, Syabas menyatakan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air hingga hari ini berikutan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Bagaimanapun, pemulihan bekalan berkenaan tersasar daripada jangkaan akhirnya apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi dengan baik dan menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100mm rosak dengan dua daripadanya pecah dan terpelanting keluar daripada strukturnya.

Hal tersebut menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang antaranya Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat terganggu proses pemulihan bekalan namun dijangka pulih sepenuhnya pada Ahad secara berperingkat.

-- BERNAMA
   

 
 
     
   
 

Pesta pantai Lexis Hibiscus jadi acara tahunan

 
     

Rumah terbuka Aidilfitri Undang Luak Rembau meriah

 
     

Warga Thailand maut di Miri

 
     

Kanak-kanak hilang dijumpai di dalam hutan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel