Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version
 
 

Gempa Ranau: Penduduk Pantai Barat Sabah Rasai Gegaran


Tarikh kemaskini: 08/03/2018





KOTA KINABALU, 8 Mac (Bernama) -- Kebanyakan penduduk di kawasan pantai barat Sabah dapat  merasai gegaran ekoran kejadian gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter di Ranau malam ini.

Sebaik sahaja gegaran dirasai, penduduk di kawasan Kudat, Papar, Kota Marudu, Kota Belud, Ranau, Kota Kinabalu dan beberapa daerah lain turut memaklumkan mengenai gegaran yang mereka rasai itu menggunakan  aplikasi WhatsApp dan saling bertanya rakan sama ada gegaran itu turut dirasai mereka.

Seorang guru di Kota Belud, Saili Sinuk, berkata ketika kejadian dia sedang berada di dalam rumah.

"Saya melihat dinding rumah saya bergegar, jadi  saya terus berlari keluar. Apabila berada di luar rumah, saya melihat jiran-jiran saya juga sudah berada di luar rumah mereka.

"Gegaran yang saya rasai  malam ini hampir sama dengan yang saya rasai pada tahun 2015. Cuma gegaran kali ini hanya  menggegarkan dinding. Kalau gegaran dahulu (2015) zink atap rumah pun turut bergegar," katanya kepada Bernama.

Seorang penghuni sebuah pangsapuri di Manggatal, Noor Azlina Awang berkata beliau dan penghuni lain bergegas keluar rumah dan berkumpul di perkarangan bangunan selepas merasai dua kali gegaran selama lima hingga tujuh saat.

"Saya merasai ada dua kali gegaran dan gegaran yang kedua kuat. Saya tinggal di tingkat dua pangsapuri itu terus keluar rumah dan pergi ke perkarangan bangunan sebagai langkah keselamatan," kata guru berumur 32 tahun itu ketika dihubungi Bernama.

Seorang lagi penduduk, Zenny Marsus dari Tamparuli berkata dia tiba-tiba berasa pening dan kemudian terkejut kerana rumahnya tiba-tiba bergegar kira-kira 10 saat.

Zenny kemudiannya memeriksa laman sosial termasuk WhatsApp  untuk mendapatkan  maklumat mengenai gegaran  itu.

-- BERNAMA
   

 
 
     
   
 

Pesta pantai Lexis Hibiscus jadi acara tahunan

 
     

Rumah terbuka Aidilfitri Undang Luak Rembau meriah

 
     

Warga Thailand maut di Miri

 
     

Kanak-kanak hilang dijumpai di dalam hutan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel