Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version
 
 

Sultan Johor Berkenan Rasmi Festival Perarakan Chingay 2018


Tarikh kemaskini: 08/03/2018





JOHOR BAHRU, 8 Mac (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat merasmikan Festival Perarakan Chingay 2018 di Jalan Wong Ah Fook, di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada 8.30 malam disambut Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Konsul Jeneral Singapura ke Johor Rajpal Singh dan Presiden Persatuan Tionghua Johor Bahru Datuk Seri Tey Kim Chai.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Festival Perarakan Chingay 2018 dengan memalu gendang di pentas utama dan menerima cenderahati bingkai gambar bertulisan kaligrafi 'Keharmonian Muafakat Johor'.

Chingay dirai setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina.

Pihak penganjur menganggarkan 500,000 pengunjung termasuk pelancong asing hadir menyaksikan festival malam ini yang merupakan acara tahunan dalam kalender pelancongan negeri Johor.

Perarakan turut membabitkan 15 kereta berhias sejauh kira-kira 7.8 kilometer berkenaan bermula dari Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek, di sini hingga ke Kuil Kuno di Jalan Trus, di sini.

Orang ramai turut dihiburkan dengan pertunjukan bunga api dan pelbagai tarian tradisional serta kebudayaan masyarakat Cina, Melayu dan India.

Festival memasuki tahun ke-148 penganjurannya itu membawa maksud yang signifikan kepada masyarakat Tiong Hua kerana menggambarkan semangat permuafakatan yang kukuh antara kelima-lima suku dialek iaitu Teochew, Hokkien, Hakka, Guangsiew dan Hainan.

Sementara itu, Tey dalam ucapannya berkata pihaknya menjunjung setinggi terima kasih atas keberangkatan Sultan Johor ke perarakan terbabit.

-- BERNAMA
   

 
 
     
   
 

Pesta pantai Lexis Hibiscus jadi acara tahunan

 
     

Rumah terbuka Aidilfitri Undang Luak Rembau meriah

 
     

Warga Thailand maut di Miri

 
     

Kanak-kanak hilang dijumpai di dalam hutan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel