Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version
 
 

MBKT Cadang Lesenkan Perniagaan Trak Makanan


Tarikh kemaskini: 08/03/2018




KUALA TERENGGANU, 8 Mac (Bernama) -- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang mengenakan lesen kepada pengusaha 'trak makanan' bagi memastikan perniagaan itu dijalankan sepenuhnya oleh warga tempatan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata langkah itu sejajar dengan usaha MBKT menangani masalah 'limpahan' warga asing yang dilihat mula mengambil alih peniaga tempatan di premis-premis perniagaan di bandar raya ini terutama di kawasan Terminal Bas Ekspres Kuala Terengganu.

"Perniagaan berbentuk 'karavan', lori atau trak, roda tiga, malah penjaja  kaki lima pun...ini yang kita cuba lesenkan supaya kita boleh mengawal perniagaannya...jika langgar peraturan lesen kita boleh ambil tindakan.

Sebab kita tak mahu ada warga asing yang turut berniaga di trak makanan ini. Setakat ini ada 35 trak yang mendaftarkan perniagaan mereka (di bawah persatuan trak makanan) dan belum ada lagi warga asing yang kita lihat terlibat dalam perniagaan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, perlesenan mungkin dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja.

Samiun mengulas isu kebanjiran peniaga asing di bandar raya ini yang dilihat bebas menjalankan perniagaan meskipun MBKT sebelum ini telah menyatakan mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang permit terhadap peniaga warga asing bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di sini.

Sebelum ini, peniaga tempatan di bandar raya ini merungut kerana kebanjiran warga asing terutama Bangladesh dan Indonesia menjalankan pelbagai jenis perniagaan di bandar raya ini melibatkan premis MBKT dan persendirian.

Samiun berkata, MBKT sukar menangani isu penyalahgunaan premis perniagaan kerana kebanyakan premis memiliki lesen perniagaan yang sah dan tiada tindakan dapat dilakukan terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan di premis tersebut.

"Bila kita buat siasatan, kita tak boleh nak ambil tindakan sebab lesen pemilik adalah sah dan ia tidak boleh dipindah milik kepada orang lain...mungkin kedai itu pemilik menyewakannya kepada warga asing (untuk mereka berniaga)...ini mungkin premis persendirian.

"Jika premis MBKT, kita akan ambil tindakanlah...tarik balik lesen dan bagi pada mereka yang betul-betul mahu berniaga sebab kita bagi mereka berniaga untuk tunaikan tanggungjawab sosial kita membantu rakyat, tapi mereka serah pula pada pihak lain (warga asing) dan ini tidak adil kepada orang yang betul-betul nak berniaga," katanya.

-- BERNAMA
   

 
 
     
   
 

Pesta pantai Lexis Hibiscus jadi acara tahunan

 
     

Rumah terbuka Aidilfitri Undang Luak Rembau meriah

 
     

Warga Thailand maut di Miri

 
     

Kanak-kanak hilang dijumpai di dalam hutan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel