Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version
 
 

Pembangunan Kampung Gana Bukti Kerajaan Tingkat Kualiti Hidup Rakyat


Tarikh kemaskini: 05/03/2018




Oleh Rohana Nasrah

KOTA MARUDU, 5 Mac (Bernama) -- Dua puluh tahun dahulu, Kampung Gana di kawasan pedalaman Kota Marudu hanya boleh dilalui kenderaan tertentu kerana jalan tanah merahnya berlumpur serta diliputi hutan tanah tinggi selain menjadi laluan lori balak.

Penduduk kampung itu terpaksa mengambil masa berjam-jam malah sehingga satu atau dua hari untuk sampai ke pekan dan balik semula ke kampung, menyebabkan kampung itu kurang dikenali dan tidak ramai yang tahu kewujudannya.

Kini, kira-kira 3,000 penduduk mampu menarik nafas lega kerana kampung itu mudah dikunjungi dan hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk sampai ke sesuatu destinasi, hasil komitmen kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur terutamanya jalan raya berturap yang boleh dilalui oleh apa sahaja jenis kenderaan.

Menurut Pegawai Daerah Kota Marudu, Arnold Joibi pembinaan jaringan jalan raya berturap sepanjang 26 kilometer (km) serta projek agropolitan di kampung berkenaan bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk dan bukti kerajaan begitu prihatin dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah khususnya di daerah tersebut.

Tidak hanya memperuntukkan jutaan ringgit bagi merealisasikan projek pembangunan berkenaan, Arnold berkata, kerajaan turut menyediakan infrastruktur asas lain termasuk sekolah dan klinik desa bagi memastikan penduduk di kampung tersebut tidak ketinggalan dalam arus pendidikan serta akses kemudahan kesihatan.

"Akses jalan raya lebih efisien menghubungkan kampung berkenaan dengan kawasan lain telah memudahkan urusan harian dan aktiviti ekonomi penduduk kerana perjalanan lebih selamat dan selesa berbanding sebelumnya," katanya kepada Bernama.

Perkampungan terletak kira-kira 35km dari pekan Kota Marudu di utara Sabah itu, menempatkan 450 keluarga dari 10 kampung yang sebelum ini terletak bersebelahan Hutan Simpan Lingkabau dan ditempatkan semula di bawah Projek Pembangunan Bersepadu Penempatan Semula Gana pada 1997.

Mengenai projek agropolitan, Arnold berkata, ia melibatkan skim penanaman getah dikendalikan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) selain pembinaan rumah baharu bagi menggantikan rumah sedia ada yang telah usang untuk keselesaan penduduk.

Untuk itu, katanya, sebanyak 150 unit rumah bagi fasa pertama kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun ini, dan dalam masa sama, setiap keluarga akan diberikan lot tanah getah untuk diusahakan bagi meningkatkan ekonomi mereka.

"Projek ini dilihat berupaya mengubah landskap pembangunan penduduk dalam semua aspek termasuk melonjakkan kualiti dan status kehidupan mereka menerusi peluang meningkatkan sumber pendapatan dengan mengusahakan lot tanah getah disediakan.

"Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan begitu komited untuk memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada penduduk kampung di sini selain membantu memperkukuh ekonomi mereka seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Lina Jalis melahirkan penghargaan atas komitmen kerajaan memastikan penduduk kampung termasuk generasi muda di situ tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dengan menyediakan kemudahan infrastruktur asas termasuk bekalan elektrik demi keselesaan mereka.

Lina, suri rumah berusia 34 tahun itu berkata, dia juga tidak khuatir dari segi perkembangan pendidikan kedua-dua anaknya kerana terdapat sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gana dan prasekolah disediakan di kampung berkenaan.

"Selain itu, LIGS turut mengambil orang kampung di sini bekerja dengan mereka dan pekerja (pembinaan) perumahan ini pun ramai dalam kalangan penduduk kampung di sini. Jadi, ini pun membantu juga dari segi menjana ekonomi mereka," katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Josilin Jamid, 35, berkata dia sememangnya melihat usaha dan komitmen kerajaan membantu penduduk kampung dan turut merasai manfaat pembangunan itu kerana hampir semua kemudahan asas telah tersedia di kampung berkenaan.

Sementara itu, guru prasekolah SK Gana sejak 2008, Honi Miaau berkata institusi pendidikan awal kanak-kanak itu banyak membantu ibu bapa memastikan anak-anak mereka mendapatkan pendidikan sekali gus menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum menjejak kaki ke sekolah rendah.

Berkongsi pengalaman bertugas selama 10 tahun di kampung itu, Honi, 35, berkata banyak perubahan telah dibawa kerajaan ke kawasan tersebut dan pembangunan paling signifikan adalah pembinaan jalan raya berturap yang turut memberi manfaat kepadanya kerana memudahkan dia untuk ulang-alik ke sekolah dan rumah.

"Saya pernah berjalan kaki dari Kampung Talantang (kira-kira 20km dari Kampung Gana) untuk sampai ke sini. Dulu, setiap hari minggu (Ahad) saya datang ke sini dan Jumaat baru saya pulang ke rumah. Ini adalah satu cabaran untuk saya dalam memastikan tanggungjawab mendidik anak-anak tetap terus dilaksanakan," katanya.

Guru Besar SK Gana Norbert Micheal Ligin pula berkata pembinaan sekolah rendah dalam kawasan perkampungan itu juga membuktikan kerajaan sentiasa mengutamakan pembangunan modal insan berilmu dan berpendidikan.

"Sekolah rendah ini begitu penting di kampung ini dalam memberi peluang kepada generasi muda menimba ilmu sekali gus mempunyai prestasi akademik cemerlang meskipun berada jauh di pedalaman," katanya.

-- BERNAMA
   

 
 
     
   
 

Pesta pantai Lexis Hibiscus jadi acara tahunan

 
     

Rumah terbuka Aidilfitri Undang Luak Rembau meriah

 
     

Warga Thailand maut di Miri

 
     

Kanak-kanak hilang dijumpai di dalam hutan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel