PELAN INDUK HAL EHWAL ISLAM

PENGENALAN

Pelan Induk Hal Ehwal Islam yang disediakan bagi tempoh lima tahun (2004-2008) ini mendukung agenda utamanya iaitu bagi Negeri Selangor mencapai status sebuah negeri yang masyarakatnya sentiasa mencapai keberkatan dan kerahmatan daripada Ilahi.

Pelan Induk ini menetapkan matlamat, fokus, strategi dan pelan tindakan bagi pengukuhan kefahaman dan penghayatan Islam di Negeri Selangor mengikut pendekatan Islam Hadhari dan perkembangan isu-isu semasa.

Pelan ini merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam memastikan umat Islam di Selangor muncul sebagai khairun ummah (komuniti terbaik) dan yang mencapai al-Falah (kejayaan di sisi Allah), sesuai dengan keadaan di mana Islam sering ditohmah dan dilabel dengan pelbagai tuduhan negatif.

Sekalipun menjurus kepada pelbagai aspek pembangunan Islam, Pelan Induk ini tidak mengabaikan hak-hak serta kepentingan warga bukan Islam di negeri Selangor


TUJUAN

Antara tujuan merangka Pelan Induk Hal Ehwal Islam adalah seperti berikut:

1. Menentukan sebuah Pelan Induk bersepadu sebagai panduan dalam perancangan pembangunan Hal Ehwal Islam Negeri Selangor
2. Memperkemas sistem pentadbiran hal ehwal Islam sedia ada dengan lebih berkesan melalui penglibatan pelbagai sektor
3. Memperkukuhkan jentera pelaksana dan pemantau hal ehwal Islam dengan mewujudkan kerjasama yang berkesan
4. Menyemarakkan syiar Islam agar ianya dapat dihayati dan dibudayakan
5. Menyebarluaskan pengetahuan berkaitan Islam kepada seluruh lapisan masyarakat di semua peringkat umur
6. Mengembangkan usaha-usaha dakwah, pembangunan pendidikan, sosial, kemasyarakatan, dan ekonomi
7. Mewujudkan persekitaran yang baik dan diredai Allah di negeri Selangor.


MATLAMAT

Pelan Induk ini bermatlamat untuk memastikan Negeri Selangor mencapai status negeri maju yang berlandaskan acuan pembangunan Islam Hadhari; dengan menjadikan Islam sebagai ad-Din untuk membentuk budaya dan persekitaran hidup yang dinamik, progresif, beriman dan bertakwa.

Wawasan Pelan Induk ini adalah untuk membangunkan prasarana dan sistem hidup Negeri Selangor yang mementingkan kemajuan berlandaskan konsep ajaran Islam, dan dipancarkan melalui budaya hidup berasaskan akidah dan pengamalan akhlak Islam.


FOKUS

Pelan Induk ini memfokuskan kepada empat aspek utama iaitu:

1. Akidah (pegangan dan keimanan)
2. Syariah (perundangan)
3. Ibadah (amalan)
4. Akhlak (keperibadian dan etika)


STRATEGI

Pelan Induk ini menggunakan 10 pendekatan bagi mencapai hasrat dan objektif yang telah digariskan iaitu:

1. Membangunkan sektor pendidikan dan perkembangan ilmu Islam
2. Menggiatkan usaha dakwah
3. Membangunkan keluarga dan sahsiah diri
4. Memperkemaskan sistem perundangan Syarie dan penguatkuasaannya
5. Meningkatkan taraf kualiti pengurusan masjid
6. Memperbanyakkan penyelidikan
7. Meningkatkan kecekapan dan mengupayakan pengurusan harta wakaf, Baitulmal, ekonomi Islam dan zakat
8. Menyemarakkan kegiatan seni dan kebudayaan Islam
9. Mengadakan pengawasan dan pengesahan pengeluar makanan, minuman dan barang gunaan halal
10. Meningkatkan kecekapan pentadbiran dan kerjasama jabatan kerajaan.


Secara lebih spesifik, pendekatan-pendekatan di atas dilaksanakan melalui program-program yang memberikan fokus kepada aspek-aspek berikut:

1. Pembangunan pendidikan Islam dan dakwah
2. Pembangunan kecekapan sistem pentadbiran hal ehwal Islam dan prasarana ibadah serta pendidikan
3. Penggalakan kebudayaan dan kesenian Islam
4. Pembangunan insan, kekeluargaan dan kemasyarakatan
5. Penerangan konsep Islam Hadhari
6. Pengeluaran Sijil Pengesahan Halal dan Logo Halal
7. Penguatkuasaan penyalahgunaan tanda halal
8. Pengimarahan masjid
9. Penerangan Hal Ehwal Islam melalui media massa
10. Penganjuran dialog antara agama
11. Memperkemas sistem perundangan syarak dan memperhebatkan operasi penguatkuasaan
12. Meningkatkan usaha dan peranan Lembaga Zakat Selangor
13. Pengamalan sistem kewangan dan ekonomi Islam, dan
14. Meningkatkan kecekapan pengurusan dan pembangunan harta Baitulmal


MEKANISME PERANCANGAN, PELAKSANAAN DAN PEMANTAUAN

Pelan Induk ini akan dilaksanakan oleh jabatan dan agensi Kerajaan Negeri terutamanya yang berkaitan dengan hal ehwal Islam seperti Majlis Agama Islam (MAIS) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama persatuan-persatuan penduduk, badan-badan dakwah dan agama Islam serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Pemantauan dan penilaian akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan program-program yang dijalankan sentiasa berada di landasan yang betul dan menepati hasrat sebagaimana yang terkandung dalam wawasan Selangor Maju.

Perancangan, pelaksanaan dan pemantauan Pelan Induk ini akan dilakukan mengikut peringkat seperti berikut:

1. Jawatankuasa pemandu di peringkat negeri akan ditubuhkan dan akan dipantau oleh MAIS, dan melibatkan pengurusan JAIS dan LZS. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau pengerusi MAIS. Peranan jawatankuasa ini ialah:

- Menentukan dasar dan strategi pelaksanaan pelan pada semua peringkat
- Menyelaras dan memantau pelaksanaan peringkat daerah dan negeri
- Menerima dan menilai laporan pelaksanaan program.

2. Jawatankuasa pemandu di peringkat daerah, dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Peranan jawatankuasa ini ialah:

- Menyelaras dan memantau pelaksanaan pelan pada peringkat daerah dan mukim
- Menerima dan menilai laporan pelaksanaan program di peringkat mukim
- Mengemukakan laporan kemajuan program kepada MAIS

3. Jawatankuasa pemandu di peringkat mukim, dipengerusikan oleh penghulu. Peranan jawatankuasa ini ialah:

- Menyelaras dan memantau pelaksanaan pelan pada peringkat mukim, kampung dan taman perumahan
- Menerima dan menilai laporan pelaksanaan pada peringkat mukim, kampung dan taman perumahan
- Mengemukakan laporan kemajuan kepada jawatankuasa pemandu peringkat daerah

4. Peringkat kampung / taman perumahan

Isu-isu pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Hal Ehwal Islam mesti dimasukkan sebagai agenda wajib dalam mesyuarat-mesyuarat JKKK dan mesyuarat jawatankuasa penduduk taman perumahan. Perkara-perkara yang perlu dibincangkan termasuk:

- Merancang dan menyelaras aktiviti untuk dilaksanakan pada peringkat kampung dan taman perumahan berkaitan.
- Menyediakan laporan prestasi kemajuan aktiviti peringkat kampung dan taman perumahan
- Menyenaraikan sebarang masalah yang berbangkit Hal Ehwal Islam


PERUNTUKAN

Peruntukan kewangan adalah merujuk kepada peruntukan kerajaan negeri dan persekutuan manakala sumber bagi golongan asnaf yang layak boleh merujuk kepada sumber Baitulmal dan hasil kutipan zakat.

Di samping itu, kerajaan negeri juga mendapat bantuan dan sumbangan daripada sektor swasta dan derma ikhlas individu.


KESIMPULAN

Pelan Induk Hal Ehwal Islam Negeri Selangor merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam memastikan umat Islam di Selangor muncul sebagai komuniti cemerlang, bertaqwa dan berpegang teguh kepada prinsip Islam.

Pelan ini akan menjadi sumber rujukan bagi pembangunan Hal Ehwal Islam di Selangor sebagai negeri maju menurut acuan Islam yang sebenarnya. Dalam pada itu, hak-hak dan kepentingan warga bukan Islam juga dihormati dan tidak diabaikan.

Pelan ini mengambil pendekatan dinamik berlandaskan konsep Islam Hadhari yang menekankan usaha berterusan dalam mengamalkan prinsip-prinsip Islam ke arah mewujudkan manusia cemerlang dalam segala aspek kehidupan.

Pastinya, maklum balas serta cadangan dari orang ramai juga amat dialu-alukan supaya sebarang kekurangan dapat diperbaiki dan buah fikiran yang bernas dapat dibangunkan untuk manfaat bersama.