|

KPDNHEP
telah mengumumkan beberapa langkah proaktif
dalam membendung kebimbangan pengguna
tentang kenaikan harga barang-barang,
seterusnya mengawal pasaran dari ancaman
peniaga tidak bertanggungjawab.
Di antara langkah-langkah yang sedang
dilaksanakan adalah melancarkan Kempen
Pengguna Bijak di seluruh negara. Melalui
kempen ini, mesej utama yang ingin
disampaikan kepada pengguna mahupun kepada
peniaga ialah: Pengguna mempunyai pilihan
untuk membeli barang keperluan harian atau
menggunakan perkhidmatan, dan peniaga yang
menjual pada harga yang tinggi tidak akan
disokong.
Kempen Pengguna Bijak ini bertumpu kepada
pasar raya besar (hypermarket) di seluruh
negara. Ini bukan bertujuan menjejaskan
perniagaan peniaga runcit tetapi merupakan
strategi bagi membolehkan orang ramai
mengetahui hak dan pilihan serta
memperkasakan diri mereka sebagai pengguna.
Hypermarket mampu menawarkan harga murah
kerana kemampuan membeli stok secara pukal,
sekaligus berupaya mengurangkan kos
pengeluaran.
Serentak dengan kempen ini, penguatkuasaan
juga ditingkatkan di seluruh negara,
membabitkan anggota penguatkuasa dan lebih
14,000 sukarelawan. Kempen ini juga
melibatkan langkah-langkah memperkasakan
pengguna supaya mereka dapat membuat pilihan
yang tepat seterusnya berbelanja secara
berhemah. Di antara inisiatif yang
dijalankan termasuk:
• Memberi maklumat kepenggunaan yang meluas
kepada orang ramai dalam menghadapi kenaikan
harga barangan
• Di bandar-bandar kecil, exco berkaitan
pengguna di setiap negeri akan memainkan
peranan menyebarkan maklumat mengenai pasar
yang menawarkan harga berpatutan kepada
pengguna
• Mengawasi pasaran secara terperinci bagi
memastikan harga barangan kawalan tidak
dinaikkan sesuka hati. Bagi barangan lain,
kenaikan harganya mesti merupakan kenaikan
yang munasabah
• Memudahkan orang ramai melapor kepada
KPDNHEP dengan menghubungi talian bebas tol
1-800-886-800 jika mendapati ada peniaga
menaikkan harga barangan sesuka hati. Ini
termasuk harga makanan yang dijual di premis
makanan seperti restoran, hotel dan gerai.
Dengan Kerajaan yang prihatin, peniaga
bertanggungjawab dan berfikiran jauh, dan
pengguna yang bijak dan berhemat, kesan
kenaikan bahan api hanya merupakan satu
cabaran biasa yang boleh ditangani tanpa
menjejaskan ekonomi keluarga dan negara. |