Kembali ke Senarai Berita
Cukai Jalan Turun Dan Penyelarasan Duti Eksais Hadiah Tahun Baru
December 30, 2006 17:49 PM Printable version of this news

PEKAN, 30 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hadiah untuk rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Raya Aidiladha esok dan Tahun Baru 2007 pada Isnin, iaitu penurunan cukai jalan pelbagai jenis kenderaan dan penyelarasan duti eksais ke atas kenderaan penumpang dan motosikal.

Timbalan Perdana Menteri berkata pengurangan cukai dan penyelarasan duti eksais itu, sebagai satu usaha mengurangkan beban kewangan rakyat, akan berkuatkuasa 1 Jan.

Cukai jalan dikurangkan daripada serendah RM10 (menjadi RM20) bagi kereta persendirian milik individu 1000cc ke bawah (enjin petrol dan diesel), meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak hingga antara RM15-RM112 bagi kereta 3001cc-5000cc (iaitu RM2,134.50-11,130 Semenanjung), (1,025.35-3,724 Sabah) dan (1,025.35-3,724 Sarawak)

"Pelarasan cukai jalan ini akan mengakibatkan pengurangan hasil kerajaan kira-kira RM250 juta setahun," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kawasan Parlimen Pekan di Sekolah Kebangsaan Sri Pekan, di sini.

Najib berkata pengurangan cukai itu melibatkan lapan kategori -- kereta persendirian milik individu, kereta persendirian milik syarikat, kenderaan milik individu atau syarikat selain kereta, motosikal, teksi, kereta sewa, bas dan kenderaan perdagangan barangan.

"Pengurangan cukai ditetapkan adalah mengikut kapasiti enjin (cc) setiap kenderaan manakala kenderaan perdagangan berdasarkan berat dengan muatan," kata Najib.

Beliau berkata penurunan kadar cukai itu melibatkan perbezaan kadar cukai antara kenderaan menggunakan petrol dan diesel serta kadar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kereta persendirian milik syarikat 1000cc ke bawah (petrol dan diesel) mencatatkan penurunan sebanyak RM10, kenderaan enjin petrol 3001 hingga 500cc penurunan maksimum RM30, manakala bagi 3001cc hingga 5000cc kenderaan enjin diesel turun sehingga RM130.

Bagi kenderaan milik individu/syarikat selain motokar (enjin petrol dan diesel), penurunan bagi 1000cc ke bawah sebanyak RM10, manakala bagi kenderaan 3001cc hingga 5000cc berenjin petrol turun sehingga RM25 dan bagi kenderaan berenjin diesel 3000cc hingga 5000cc mencatatkan penurunan sehingga RM237.

Bagi kenderaan perkhidmatan awam - teksi (petrol) 1400cc hingga 5000cc mencatatkan penurunan cukai antara RM22 hingga RM198.

Teksi yang menggunakan diesel bagi 1400cc hingga 5000cc mencatatkan penurunan antara RM66 hingga RM363.

Bagi kereta sewa (enjin petrol), kadar cukai jalan baru bagi 1400cc ke bawah hingga 5000cc turun antara RM22 hingga RM175, sementara yang menggunakan diesel, penurunan antara RM66 hingga RM363.

Bagi kenderaan perdagangan barangan (enjin petrol), kenderaan yang berat muatan bawah 1000kg hingga 52,500kg turun antara RM28 hingga RM118, sementara bagi enjin diesel, turun antara RM201 hingga RM486.

Mengenai penyelarasan duti eksais ke atas kenderaan penumpang dan motosikal, Najib berkata berdasarkan penyelarasan baru itu, kenderaan penumpang berkapasiti enjin melebihi 3,000 cc akan dikenakan kadar duti eksais yang sama dengan kenderaan berkapasiti enjin 2,500cc hingga 3,000cc.

"Motosikal berkapasiti enjin melebihi 200cc pula akan dikenakan kadar duti eksais sama dengan motosikal berkapasiti melebihi 150cc hingga 200cc," katanya.

Najib berkata mengikut struktur duti eksais kenderaan penumpang, kenderaan jenis kereta yang melebihi 3,000 cc turun kepada 105 peratus (kadar semasa 125), MPV/van yang melebihi 3,000cc (kadar semasa 125/kadar baru 105), 4WD melebihi 3,000cc (kadar semasa 125/kadar baru 105).

Bagi motosikal 200 hingga 250cc dan 250 hingga 500cc (35/30), motosikal 500cc hingga 800cc (40/30) dan motosikal 800cc ke atas (50/30).

Terdahulu, Najib menyampaikan sumbangan basikal kepada 300 pelajar cemerlang UPSR itu dan bantuan RM100 kepada 290 pelajar sekolah rendah serta RM200 kepada 168 pelajar sekolah menengah kawasan parlimen Pekan yang terbabit dengan banjir baru-baru ini.

Terdahulu pada majlis berasingan di kediamannya, Najib menyerahkan 299 ekor lembu korban termasuk 12 ekor lembu korban peribadi untuk diagihkan kepada 52 masjid dan 124 surau di kawasan parlimen itu sempena Hari Raya Aidiladha.

-- BERNAMA
 

 

 

 

      Hak Cipta Terpelihara BERNAMA 2014.
Sesuai dlm perisian Internet Explorer 4.0 & ke atas dgn resolusi 800 x 600 piksel