Kembali ke Senarai Berita
Jimatlah Air Sebab Bekalannya Semakin Berkurangan
August 01, 2006 14:43 PM Printable version of this news

Oleh Azman Ujang

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Semalam kerajaan melancarkan satu kempen yang boleh dianggap paling penting buat sekian lamanya -- menyeru orang ramai berjimat menggunakan air.

Kempen Jimat Air Kebangsaan yang akan berlangsung selama dua tahun bertujuan mengurangkan penggunaan air domestik sebanyak 10 peratus, di sebuah negara yang disifatkan oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, sebagai mempunyai penduduk yang menggunakan air "ibarat esok sudah mahu kiamat".

Memang diakui terdapat pembaziran yang amat ketara di negara ini -- daripada penggunaan alat penyembur berkuasa tinggi di tempat mencuci kereta awam, ke menyiram pokok oleh pihak berkuasa tempatan, sehinggalah kepada penggunaan berlebihan bagi tujuan hanya untuk membasuh tangan.

Di Malaysia, kadar penggunaan air bagi seseorang ialah sekitar 300 liter sehari, dan di kawasan bandar ianya 500 liter, sedangkan jumlah yang disyorkan hanya 50 liter -- lima liter untuk minum dan memasak serta 25 liter untuk tujuan kebersihan diri.

Punca utama kenapa pengguna domestik begitu boros ketika menggunakan air ialah selama ini ianya begitu murah.

Lazimnya satu keluarga di bandar utama membelanjakan sekitar RM30 sebulan untuk bil air -- dan di luar bandar ianya lebih rendah lagi kerana tidak ada pembekal perkhidmatan swasta -- jauh lebih rendah daripada anggaran belanja seorang individu untuk menambah nilai telefon bimbit prabayarnya.

"Saya tahu mereka belanja lebih banyak untuk telefon bimbit tetapi jika kita cuba naikkan tarif air hanya 10 sen, anda semua dalam media akan bising...dan tentu sekali persatuan-persatuan pengguna," kata Dr Lim pada satu sidang akhbar selepas melancarkan kempen itu, sambil menunjuk kepada Presiden Fomca Marimuthu Nadason, yang duduk bersebelahan beliau.

Bagi seorang ahli politik berpengalaman yang terkenal kerana sikap tidak suka berdolak-dalik, Dr Lim menggunakan istilah ringan "defisit air" dan bukannya "krisis air" untuk menggambarkan keadaan yang akan dihadapi sekiranya usaha berjimat ini gagal selepas berkempen selama dua tahun, memandangkan terdapat permintaan yang semakin meningkat khusus di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mungkin terlalu awal bagi Dr Lim untuk merasa tekanannya.

Tetapi pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa jika "tempoh percubaan" untuk menguji kesanggupan pengguna ini gagal, kerajaan terpaksa mengenakan bayaran lebih tinggi untuk air, dengan mengambil kira bahawa sumbernya semakin berkurangan dan kos rawatan dan pembekalannya pula kian meningkat.

Selain berjimat, kempen yang dianjurkan bersama dengan Fomca ini melibatkan penyelidikan berhubung penggunaan air di rumah dan untuk bertindak terhadap kegiatan pembaziran.

Selain pembaziran, Malaysia juga berdepan dengan masalah kerugian sehingga 38 peratus daripada air yang tidak mendatangkan hasil akibat paip bocor.

Bagaimanapun, masalah ini sedang diatasi menerusi peruntukan RM1.4 bilion yang disediakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan bagi menggantikan paip usang di semua negeri.

Kerajaan boleh memulakan kempen itu di bilik mandi kerana di situlah dua pertiga daripada air digunakan di sesebuah rumah.

Antara empat dan enam gelen air digunakan setiap kali tandas dipam. Jika saiz pam tandas ini dapat dikecilkan, seperti yang dilakukan di banyak negara termasuk Singapura amat menghargai air, penggunaan air dapat dikurangkan dengan banyaknya.

Adakah kerajaan akan memberi subsidi untuk air seperti yang diberikan untuk petrol dan barang keperluan yang lain?

"Tidak, kita tidak akan memberi subsidi air tetapi yang boleh saya katakan ialah pembekal perkhidmatan ini bukannya membuat untung," kata Dr Lim.

Langkah berjimat ini merupakan satu pendekatan secara halus untuk memberitahu orang ramai bahawa kos air tidak akan berterusan menjadi murah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan tempoh dari 2005 hingga 2015 sebagai Dekad Tindakan Antarabangsa dengan bertemakan "Water For Life".

Menurut PBB, dunia sedang menghadapi masalah mendapatkan sumber air, dan menjelang tahun 2025, dua daripada tiga orang tidak akan menikmati bekalan air bersih.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Dr Halim Man berkata rakyat Malaysia terlalu cuai dan boros ketika menggunakan air.

"Setiap titik air yang dibazirkan amat tidak ternilai harganya," katanya.

Namun, mesej paling bermakna pada majlis pelancaran kempen itu semalam, datang daripada Dr Lim sendiri.

Katanya : "Air adalah anugerah Tuhan. Kalau kita tak jimat air, kita tak masuk syurga."

-- BERNAMA





 

 

 

 

      Hak Cipta Terpelihara BERNAMA 2014.
Sesuai dlm perisian Internet Explorer 4.0 & ke atas dgn resolusi 800 x 600 piksel