| |
SAMBUTAN
HARI PENGGUNA MALAYSIA 2007
1. LATARBELAKANG
1.1 Hari dan Minggu Pengguna
Malaysia (HMPM) mula disambut pada
tahun 2001. Ini hasil daripada
keputusan Kerajaan yang bersetuju
supaya diwujudkan Hari Pengguna
Malaysia yang disambut pada 26 Julai
setiap tahun dan Minggu Pengguna
Malaysia yang disambut mulai 26
Julai hingga 1 Ogos setiap tahun.
1.2 Sambutan HMPM lebih bersifat
nasional atau kebangsaan berbanding
Sambutan Hari Pengguna Sedunia pada
15 Mac yang lebih bersifat global.
Tujuan sambutan ini diadakan di
peringkat kebangsaan ialah untuk
memberikan lebih fokus kepada
isu-isu pengguna di peringkat
kebangsaan. Sambutan Hari Pengguna
yang bersifat nasional akan dapat
menarik lebih ramai penyertaan bukan
sahaja dari orang ramai dan
masyarakat pengguna malah daripada
pihak peniaga, pengeluar,
persatuan-persatuan pengguna,
persatuan-persatuan peniaga,
badan-badan bukan kerajaan (NGOs)
serta organisasi awam dan swasta di
dalam pelbagai program dan aktiviti
yang dijalankan.
1.2 Majlis Pelancaran sambutan HPM
Peringkat Kebangsaan tahun 2006
telah disempurnakan oleh Y.A.B.
Perdana Menteri bertempat di Stadium
Putra, Bukit Jalil. Seramai 10 000
jemputan yang mewakili pelbagai
lapisan masyarakat telah hadir di
majlis pelancaran tersebut.
1.3 Pelbagai program dan aktiviti
telah diadakan semasa sambutan
tersebut seperti Karnival Pengguna,
Larian Pengguna, Malam Media Massa,
Khutbah Khas Jumaat, Kuiz Pengguna
Peringkat Kebangsaan dan Negeri,
Pertandingan Sayembara Puisi serta
program-program kepenggunaan di TV
dan radio. Tema sambutan 2006 ialah
“Pengguna Perkasa, Negara Sejahtera.
1.4 Sambutan HPM tahun 2006 juga
telah diadakan di peringkat negeri.
Majlis Pelancaran telah
disempurnakan oleh Y.A.B. Menteri
Besar/ Ketua Menteri atau Pengerusi
Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri.
Pelbagai aktiviti kepenggunaan juga
telah dilaksanakan bersempena dengan
sambutan acara ini.
2. OBJEKTIF SAMBUTAN
2.1 Objektif sambutan HMPM adalah
seperti berikut:
(a) untuk memaparkan tanggungjawab
Kerajaan dan Kementerian di dalam
program pendidikan dan perlindungan
pengguna;
(b) untuk memupuk kesedaran
kepenggunaan yang positif di
kalangan semua anggota masyarakat di
negara ini; dan
(c) untuk mewujudkan persefahaman
dan kerjasama yang erat antara
pengguna, peniaga, kerajaan dan
pertubuhan bukan kerajaan di dalam
aspek konsumerisme yang boleh
membantu negara mencapai Wawasan
2020.
3. SAMBUTAN HARI PENGGUNA MALAYSIA
TAHUN 2007
3.1 Tarikh Sambutan
Tarikh bagi sambutan HPM 2007 adalah
pada 25 Julai hingga 29 Julai 2007.
Tarikh pelancaran ialah pada 25
Julai 2007 dan dicadangkan majlis
pelancaran HPM07 akan disempurnakan
oleh Y.A.B. Perdana Menteri.
3.2 Tempat Pelancaran
Pelancaran Sambutan HPM 2007 akan
diadakan di Stadium Malawati, Shah
Alam. Lokasi ini dipilih bagi
membolehkan lebih ramai penyertaan
pada hari pelancaran serta lebih
banyak penyertaan masyarakat peniaga
dan pempamer di dalam Karnival
Pengguna sekaligus menarik lebih
ramai pengunjung.
3.3 Program Sempena Sambutan
HPM 2007
Di antara program dan aktiviti yang
telah dikenalpasti dan sesuai
diadakan sempena dengan sambutan HPM
2007 adalah:
3.3.1 Majlis Pelancaran
Upacara Majlis Perasmian akan
disempurnakan oleh Y. A. B Perdana
Menteri Malaysia dan jemputan
terdiri daripada orang kenamaan,
wakil agensi kerajaan, wakil
industri, pelbagai NGO, dewan-dewan
perniagaan, wakil MHEPN, ahli-ahli
Rakan Pengguna, ahli-ahli akademik,
pelajar IPT dan sekolah-sekolah dan
orang awam. Bilangan jemputan yang
dicadangkan ialah 10000 orang.
3.3.2 Karnival Pengguna
Karnival ini akan melibatkan dua
segmen utama iaitu, informatif dan
interaktif di mana aktiviti yang
akan diadakan adalah termasuk
pameran yang berbentuk informatif
dan memberi pengetahuan kepada
pengunjung. Pada masa yang sama
karnival ini juga menghidangkan
pelbagai aktiviti yang interaktif
seperti jualan istimewa barangan dan
perkhidmatan kepada pengguna,
Walk-A-Hunt, Treasure Hunt,
persembahan artis-artis jemputan,
kuiz-kuiz dan pertandingan,
demonstrasi produk, acara sukan
seperti pertandingan futsal dan
acara-acara lain yang bersesuaian
dengan tema “Pengguna Perkasa,
Negara Sejahtera”. Adalah
dicadangkan Karnival ini membabitkan
penglibatan dari Jabatan/Agensi
Kerajaan, pihak Pertubuhan Bukan
Kerajaan (NGOs) dan dari pelbagai
sektor dan industri seperti dari
pengeluar barangan dan perkhidmatan
pengguna seperti sektor pelaburan
dan kewangan, sektor pelancongan,
sektor perumahan, sektor tekstil dan
fesyen dan program khas Industri
Kecil dan Sederhana (IKS).
3.3.3 Promosi dan Publisiti
Perancangan bagi mempromosikan acara
ini merupakan antara elemen yang
paling penting di dalam memastikan
mesej sambutan HPM 2007 dapat
disebarluaskan ke semua peringkat
masyarakat sehingga ke akar umbi.
Sehubungan dengan itu, perancangan
dari segi konsep, kumpulan sasar,
pemilihan media, kekerapan siaran
dan sebagainya harus diadakan secara
teliti. Untuk tujuan ini, adalah
dicadangkan supaya kementerian
menggunakan kombinasi media cetak
dan elektronik untuk diintegrasikan
sebagai medium komunikasi.
3.3.3.1 Media elektronik
- Iklan di televisyen, radio dan
papan iklan elektronik
- Temuramah Y.B. Menteri dan Ketua
Setiausaha Kementerian di dalam
rancangan televisyen atau radio
- Talk show berkenaan isu pengguna
dan peniaga
- Slot Kepenggunaan di dalam program
televisyen sedia ada yang
bersesuaian.
- Teaser campaign (sempena countdown
sambutan 26 Julai 2007)
- Kuiz Pengguna di radio
- Penajaan program televisyen atau
radio oleh kementerian bertemakan
kepenggunaan
Adalah dicadangkan kepada
kementerian untuk mengadakan
kerjasama dengan stesyen televisyen
utama dan stesyen radio utama untuk
mempromosikan acara ini dengan lebih
strategik dan efektif agar mesej
yang ingin disampaikan sempena
sambutan acara ini mencapai kumpulan
sasar. Stesyen yang dicadangkan
ialah Sistem Televisyen Malaysia
Berhad (TV3) dan Radio Hot.fm.
3.3.3.2 Media Cetak
- Iklan di akhbar-akhbar utama
- Broshure/ flyers
- Poster
- Papan iklan di jalan-jalan utama,
pengiklanan pada kenderaan awam dan
stesen-stesen pengangkutan awam
utama
- Artikel, kempen serta
tulisan-tulisan mengenai Hari
Pengguna, Pendidikan Pengguna dan
Peniaga
- Sisipan Khas di akhbar-akhbar
utama
- Bahan-bahan kempen yang
bersesuaian seperti pen atau kemeja-T
- Advertorial untuk promosi khas
Karnival Pengguna
3.3.4 Seminar/ Bengkel
Beberapa siri seminar, bengkel atau
konvensyen akan diadakan bersempena
dengan sambutan ini. Acara-acara ini
diadakan bagi meningkatkan
pengetahuan kumpulan sasar dengan
isu kepenggunaan dan hak serta
tanggungjawab sebagai pengguna
bersesuaian dengan perkembangan
keadaan semasa. Antara program yang
dicadangkan untuk diadakan ialah:
- Konvensyen Pengguna dengan
kerjasama Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM)
- Seminar Peniaga (dengan kerjasama
Persatuan Peruncit Malaysia – MRA)
- Seminar Pengguna peringkat
Kebangsaan dan negeri (dengan
kerjasama Persatuan –persatuan
pengguna)
- Lain-lain seminar/ bengkel yang
bersesuaian
3.3.5 Khutbah Jumaat
Kementerian dengan kerjasama
Persatuan Pengguna Islam Malaysia
dan JAKIM akan bersama-sama
menyediakan Khutbah Jumaat khusus
mengenai pengguna dan peniaga
sempena HPM 2007.
3.3.6 Peraduan Mengarang Esei,
Melukis Poster dan Berpidato/ Bahas,
Pertandingan “Scrap Book” dan
fotografi
Peraduan mengarang esei dan melukis
poster yang diadakan setiap tahun
ini terbuka kepada pelajar-pelajar
sekolah menengah dan rendah,
manakala pertandingan pidato
diadakan khas untuk pelajar-pelajar
Institusi Pengajian Tinggi. Aktiviti
ini diadakan dengan kerjasama
strategik bersama FOMCA.
3.3.7 Pertandingan SayembaraPuisi/
Sajak/ Pantun/ Syair Bertemakan
Kepenggunaan
Pertandingan ini akan diadakan
dengan kerjasama GAPENA bertujuan
untuk memupuk nilai Pengguna Bijak
di kalangan masyarakat. Kategori
pertandingan akan ditentukan melalui
perbincangan lanjut dengan penganjur
bersama.
3.3.8 Forum Perdana Ehwal Islam
Forum Perdana Ehwal Islam yang
bertemakan kepenggunaan dari
perspektif Islam akan diadakan
dengan kerjasama PPIM dan JAKIM di
lokasi yang strategik.
3.3.9 Pertandingan Choral
Speaking
Bagi tahun pertama, acara ini
terbuka kepada sekolah-sekolah
rendah di Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dan Selangor. Pertandingan
ini akan diadakan sebelum
berlangsungnya sambutan Hari
Pengguna Malaysia 2007 dan pemenang
pertandingan ini akan membuat
persembahan ketika Majlis Pelancaran
sambutan hari Pengguna Malaysia 2007
kelak.
3.3.10 Karnival Sukan Pengguna
2007
Sempena dengan sambutan HPM 2007,
acara Karnival Sukan Pengguna 2007
ini akan diadakan bagi mendidik
pengguna supaya mengamalkan gaya
hidup sihat. Beberapa acara disusun
bagi memeriahkan lagi karnival sukan
ini seperti pertandingan futsal,
bola jaring, sepak takraw dan
beberapa sukan tadisional seperti
permainan gasing, galah panjang dan
sukan rakyat.
3.3.11 Treasure Hunt Pengguna
2007
Acara ini pertama kali diadakan
dengan tujuan untuk menguji minda
para peserta tentang perkara-perkara
yang berkaitan kepenggunaan.
Dijangkakan sebanyak 75 keluarga
akan mengambil bahagian dan para
peserta akan dilepaskan oleh Y.B
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan
Hal Ehwal Pengguna. Dicadangkan
“route” bagi Treasure Hunt Pengguna
2007 ini bermula dari Putrajaya dan
berakhir di Damai Laut, Lumut, Perak.
Acara ini terbuka kepada pegawai
KPDNHEP dan orang ramai.
3.3.12 Anugerah Pengguna
Seperti sambutan-sambutan yang
terdahulu, pada tahun ini
penganugerahan beberapa kategori
anugerah akan dikekalkan. Anugerah
tersebut ialah:
- Tokoh Pengguna 2007
- Akhbar Pengguna Terbaik 2007
- Organisasi Pengguna Terbaik 2007
- Syarikat Mesra Pengguna 2007
- Tokoh Pengguna Peringkat Sekolah
3.3.13 Program/ Aktiviti di
peringkat negeri dan daerah
Sambutan Hari Pengguna Malaysia di
peringkat negeri akan diadakan
selepas pelancaran peringkat
kebangsaan dan akan diuruskan oleh
MHEPN masing-masing. Program dan
aktiviti yang akan diadakan haruslah
bersesuaian dengan objektif sambutan
dan keperluan setempat.
3.4 Tema HPM 2007
Adalah dicadangkan pemilihan tema
untuk sambutan HPM tahun 2007 adalah
berdasarkan tema HPM ’07 iaitu
“Pengguna
Bijak, Penjana Ekonomi Negara."
Logo dikekalkan sama dengan logo HPM
‘06.
BAHAGIAN HAL EHWAL PENGGUNA
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI
DAN HAL EHWAL PENGGUNA
|
|