KIP kembali beraksi, duduki tempat keempat pramusim Moto3 [ 3m ago ]

Berita SUKAN


Kehadiran Muhd Faris mampu naikkan kembali TFC - Nafuzi

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
KUALA TERENGGANU, 8 Nov -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yakin kehadiran pemain kelahiran Singapura, Muhd Faris Ramli dapat membantu menaikkan kembali nama pasukan itu di Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Nafuzi berkata beliau sudah lama mengikuti perkembangan pemain sayap tersebut ketika mewakili pasukan Lions XII dan berjaya membantu pasukan berkenaan menjuarai Piala FA pada 2015 sebagai pasukan jemputan.

Beliau berkata dengan pencapaian sebagai pemain terbaik Singapura tahun ini iaitu dengan 16 jaringan, Muhd Faris adalah pilihan tepat untuk mengisi posisi sayap TFC dan bergandingan dengan dua lagi pemain import iaitu Sanjar Shaakhmedov dan kapten pasukan, Lee Tuck.

"Saya tertarik dengan Muhd Faris kerana dia memiliki corak permainan yang serasi dengan taktikal diterapkan TFC.

"Jadi saya harap kehadirannya dapat memberi impak positif kepada pasukan hitam putih musim depan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata Muhd Faris sepatutnya tiba di negeri ini awal Disember depan, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa tugasan yang belum selesai.

Menurut beliau buat masa ini khidmat Muhd Faris masih diperlukan bagi membantu skuad kebangsaan Singapura menghadapi temasya Sukan SEA di Filipina yang bakal berlangsung sehingga pertengahan Disember depan.

"Saya harap peminat skuad Penyu dapat bersabar menanti ketibaan Muhd Faris dan sama-sama memberikan sokongan bagi memajukan lagi bola sepak negeri musim depan," katanya.

Muhd Faris yang berusia 27 tahun pernah beraksi bersama pasukan PKNS FC pada 2018 dan kemudiannya berkhidmat untuk Hougang United FC dalam Liga Singapura tahun ini.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu