75.10 peratus peruntukan tahunan KPLB dibelanjakan [ 16m ago ]

Berita SUKAN


Cheng Hoe cari formula terbaik daripada aksi menentang Tajikistan

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Malaysia akan menggunakan kesempatan aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Tajikistan esok untuk merangka formula terbaik bagi menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Thailand dan Indonesia.

Selepas tewas dua daripada tiga aksi Kumpulan G, Malaysia harus memanfaatkan aksi di laman sendiri menentang dua negara jiran itu pada 14 dan 19 Nov untuk kekal relevan dalam saingan memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Dengan kehadiran dua ‘jurutera’ finalis Piala Malaysia, kapten pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar dan Muhammad Afiq Fazail dari Johor Darul Ta’zim (JDT) ke dalam pasukan, kombinasi terbaik dan keupayaan pemain mengekalkan corak permainan dalam intensiti tinggi adalah ditagih ketua jurulatih Tan Cheng Hoe ketika berdepan Tajikistan, esok.

“Bukan senang untuk dapatkan perlawanan Tier 1 berdepan pasukan lebih baik dari segi ranking. Kita perlu bermain dengan pasukan lebih kuat untuk dapatkan keyakinan dan belajar sesuatu daripada taktikal dan juga menyesuaikan diri dengan intensiti.

“Perlawanan esok untuk kita mencari lagi kombinasi dan akan beri peluang kepada pemain yang belum beraksi untuk mencari ramuan pasukan terbaik. Saya juga mahu melihat pemain konsisten dengan corak permainan pasukan,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Selepas tiga aksi pusingan kedua kempen kelayakan itu, Thailand berada di kedudukan teratas Kumpulan G berkongsi tujuh mata bersama Vietnam sementara Malaysia di tangga keempat dengan tiga mata.

Malaysia melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta sebelum tewas dua perlawanan masing-masing kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) (1-2) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi.

Sementara itu, pemain Pahang Muhamad Nor Azam Abdul Azih yang kembali bersama skuad kebangsaan selepas terlepas aksi di Hanoi akibat kecederaan menyifatkan jumlah pemain tengah yang ramai di dalam skuad kebangsaan ketika ini akan memberi kelebihan kepada pasukan.

Pemain tengah berusia 24 tahun itu berharap perlawanan berdepan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil esok akan memberi impak positif terhadap jentera tengah negara menjelang dua aksi penting bertemu Thailand dan Indonesia.

“Saya gembira dengan bahagian tengah ketika ini… sangat baik kerana ada kombinasi pemain lama dan baharu seperti Baddrol, Brendan (Brendan Gan) dan Afiq yang baru dipanggil. Ia satu pilihan tepat oleh jurulatih dan saya harap ia akan membuahkan hasil ketika lawan Thailand nanti.

“Saya mahu dapatkan kemenangan esok dan melihat tahap keserasian dalam pasukan,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu