Peruntukan RM86,000 disalur kepada balai bomba dan penyelamat, persatuan bomba sukarela [ 3m ago ]

Berita SUKAN


Melaka United ikat dua pemain perkuat benteng pertahanan

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
MELAKA, 8 Nov-- Melaka United mengikat dua pemain pertahanan sebagai memperkuatkan benteng skuad Sang Kancil bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) menerusi kenyataannya berkata pasukan itu menawarkan kontrak kepada pemain kacukan, Curran Singh Ferns yang beraksi di posisi 'defensive midfielder' dan pertahanan tengah selain mengekalkan khidmat pemain Korea Selatan, Jang Suk Won.

Ferns, 26, kelahiran Darwin, Australia mempunyai darah kacukan Malaysia-Australia, memulakan karier profesionalnya pada 2015 bersama kelab Brisbane City FC yang beraksi di Divisyen 2 Australia, National Premier Leagues sebelum berhijrah ke Malaysia.

"Terdahulu beliau pernah beraksi dalam saingan liga tempatan negara ini dengan menyertai Johor Darul Ta'zim 2 pada 2016, sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan untuk dua musim iaitu 2016 dan 2017.

"Kemudiannya beliau menyertai Felda United FC dan menjadi tonggak penting skuad The Fighters menamatkan saingan Liga Super 2017 di tempat ke-3 selain membantu pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim 2017," katanya.

Fern juga pernah menyertai kelab Thailand, Sukhothai FC yang beraksi di Thai League 1 2018 dan 2019 sebelum kembali ke Australia dengan menyertai Port Melbourne SC pada pertengahan musim 2019.

Sementara itu Jang, 30, pemain import Asia dalam skuad bimbingan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan musim lalu turut ditawarkan kontrak lanjutan untuk terus bersama skuad Hang Tuah musim 2020.

"Kita berharap dengan kemasukan kedua-dua pemain ini mengekalkan prestasi terbaik dan membantu Melaka United dengan pengalaman yang ada bagi memperkuatkan lagi pasukan untuk muncul sebagai salah sebuah pasukan yang mampu mencabar kejuaraan dalam semua pertandingan musim depan," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu