TFC dedikasi kemenangan buat Mohd Suffian - jurulatih sementara [ 23m ago ]

Berita SUKAN


JDT II kekal rekod tanpa kalah Piala Cabaran

Tarikh kemaskini: 15/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Naib juara Liga Premier 2019, Johor Darul Ta'zim (JDT II) meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Cabaran setelah menundukkan Kelantan 1-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.

Keputusan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan kekal menerajui Kumpulan A dengan kutipan enam selepas beraksi dua perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Kota Bharu, penyerang antarabangsa Lubnan, Mohamad Ghaddar menanduk masuk gol tunggal perlawanan hasil hantaran Nicolas Alberto Fernandez pada minit ke-32.

Kelantan sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Azwan Mohd Aripin mengutip kad kuning kedua pada babak terakhir perlawanan kerana mengasari pemain pelawat.

Dalam pada itu, juara bertahan, Terengganu FC II (TFC II) gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 2-2 dengan naib juara musim lepas, UKM FC dalam aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Keputusan itu menyaksikan UKM FC dan TFC II berkongsi empat mata selepas dua perlawanan, namun UKM FC kekal selaku pendahulu Kumpulan B menerusi kelebihan jaringan.

Pada aksi di Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah berada di hadapan hasil sepakan penalti Bruno Suzuki pada minit ke-20, selepas bola terkena tangan pemain pertahanan UKM FC, K. Reuben dalam kotak penalti.

TFC II menggandakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi pemain import dari Ivory Coast, Dechi Marcel yang memanfaatkan hantaran Mohd Shahrul Aizad Zulkifli.

Kelebihan dua gol berkenaan, bagaimanapun, gagal dipertahankan oleh TFC II setelah UKM FC bangkit meledak dua gol pada babak kedua perlawanan.

Gol pertama skuad 'The Varsity Boys' hadir pada minit ke-55 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh pemain import dari Iran, Milad Zanidpour, sebelum pemain gantian, Faiz Hanif Adnan menyamakan kedudukan untuk UKM FC pada minit ke-88.

Satu lagi aksi Kumpulan B antara pasukan Liga Super, Kuala Lumpur dan wakil Liga Premier, Selangor United akan berlangsung esok di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu