Punca air hitam di Sungai Lukut Kechil bukan disebabkan pencemaran - exco [ 5m ago ]

Berita SUKAN


Detik Bermakna Anwarul Hafiz Dipanggil Sarung Jersi Negara

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Sudah pasti menjadi satu keinginan dan kebanggaan seorang atlet untuk mewakili negara ke pentas antarabangsa, sekaligus menjadi penanda aras kepada karier mereka dalam bidang sukan.

Bagi pemain ragbi negara Anwarul Hafiz Ahmad, momen pertama kali dipanggil menyarung jersi kebangsaan adalah saat terindah kerana sudah lama menyimpan impian untuk mengikuti jejak langkah abangnya Anwarul Aswad yang mewakili Malaysia juga dalam sukan ragbi.

Beliau berkata laluan untuk mendapatkan 'call-up' menyarung jersi negara bukanlah mudah kerana dirinya sendiri terpaksa menempuh pelbagai cabaran sebelum mendapat peluang keemasan itu.

"First cap (tahun 2012) memang bangga sebab dapat ikut jejak abang. Sebelum ini (saya telah) cuba macam-macam usaha, tetapi tidak dapat masuk team (skuad ragbi negara), bagaimanapun pada tahun 2012 dapat call-up ke senior team disebabkan performance di team junior.

"Kali pertama main untuk Malaysia memang gementar, hendak buat apa pun serba tidak kena tetapi dari perlawanan ke perlawanan dalam kejohanan (Kejohanan Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) Bawah 19 Tahun), saya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan ketika itu," katanya kepada Bernama.

Detik berharga buat Anwarul Hafiz atau nama gelarannya 'Goncang' ketika kejohanan pertama beliau mewakili negara menyaksikan skuad ragbi bawah 19 tahun Malaysia berjaya menawan Asia selepas dijulang sebagai juara pada kejohanan itu.

"Setelah wisel penamat ditiup (dalam perlawanan akhir) saya terus menangis sebab kerja keras yang dilakukan selama ini dibalas dengan kejayaan. Rasa bangga juga ada sebab dah capai kejayaan, lebih-lebih lagi untuk Malaysia," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Tiga tahun kemudian, Anwarul Hafiz sekali lagi menjadi antara wakil Malaysia ke Sukan SEA 2015 di Singapura dalam skuad ragbi 7s negara, namun mengalami pengakhiran yang berbeza.

"Selepas kami berjaya masuk final Sukan SEA 2015, sekali lagi air mata terkeluar kerana kali terakhir Malaysia beraksi di final pun adalah ketika jurulatih kami masih bergelar pemain. Satu pasukan menangis dengan kejayaan itu, tetapi apakan daya pada final, kami hanya mampu membawa pulang pingat perak untuk negara," katanya.

Selepas episod Sukan SEA 2015, Anwarul Hafiz yang juga 'utility player' dalam skuad ragbi mencuba nasib dalam sukan bola sepak dan sempat menjadi pemain profesional mewakili pasukan UiTM FC sebagai penyerang dari tahun 2016 hingga 2018.

Bagaimanapun, jodoh ragbi dan Anwarul Hafiz ternyata kuat apabila beliau kembali ke arena sukan itu pada 2019 selepas tidak menyambung semula kontrak bersama skuad bola sepak UiTM FC.

"Untuk tahun 2019, ketika itu pengurus pasukan ragbi 7s Malaysia bertanya sama ada saya minat masuk dalam pasukan atau tidak, jadi saya fikir kenapa tidak masuk balik pasukan ragbi. Saya hendak pingat emas kali ini sebab 2017 tidak dapat," katanya.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat emas ragbi 7s pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, namun Anwarul Hafiz ketika itu tidak beraksi dalam skuad kebangsaan.

Selain bidang sukan, Anwarul Hafiz juga bergelar mahasiswa di UiTM Shah Alam dan ini menuntut beliau untuk bijak mengagihkan masa antara pelajaran dengan sukan kerana kedua-duanya amat bermakna untuk dirinya.

Menurut Anwarul Hafiz, rutin harian beliau bermula seawal 8 pagi dengan latihan di gimnasium sebelum ke kelas pada 10 pagi di UiTM Shah Alam dan kembali ke Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk sesi latihan pada sebelah petang dari pukul 5 hingga 7 petang dan meluangkan masa satu jam untuk mengulangkaji pelajaran sebelum tidur pada 10 atau 11 malam.

Katanya, sebagai atlet kebangsaan beliau perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk sentiasa berdepan pelbagai cabaran kerana rintangan akan hadir dalam pelbagai bentuk.

"Menggalas tanggungjawab membawa harapan penyokong bukan satu perkara yang mudah sebab kita sering akan diganggu dengan kesan sekiranya keputusan tidak memihak kepada kita, apa akan terjadi nanti

"Itu bukanlah alasan untuk sesiapa yang mewakili negara tidak mampu beraksi dengan baik sebab harapan penyokong itu sebenarnya adalah sokongan kepada kita juga untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Tambahnya, segala kritikan harus diambil dari sudut positif bagi memastikan prestasi seseorang atlet tidak terjejas, malah dapat menambah baik mutu persembahan masing-masing ketika menyarung jersi negara.

Anwarul Hafiz turut menegaskan, peluang untuk mewakili negara bukan satu perkara yang boleh diambil mudah kerana ramai lagi mereka yang lain menyimpan hasrat sama tetapi tidak bernasib baik.

"Ada ramai lagi orang di luar sana yang nak jadi wakil Malaysia di pentas antarabangsa, jadi mereka yang diberi peluang itu perlulah bersungguh-sungguh dalam apa jua yang dilakukan kerana membawa nama Malaysia," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu