Aksi tidak konsisten Felda United bawa padah [ 10m ago ]

Berita SUKAN


Duplan-Fribourg laung amaran awal

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Bintang muda Eropah, Louis Duplan-Fribourg dilihat muncul sebagai pencabar utama apabila mengungguli sesi pertama pusingan awal acara jump lelaki pada Kejohanan Ski Air Dunia 2019 di Pusat Sukan Air Putrajaya, di sini hari ini.

Dalam tempoh hampir sebulan, peluncur Perancis berusia 19 tahun itu berjaya memadamkan catatan terbaik peribadi 62.8 meter (m) apabila mencatatkan jarak baharu 63.7m, sekali gus meninggalkan rakan sepasukan Tanguy Dailland di tempat kedua dengan catatan 60.1m.

Tempat ketiga menjadi milik peserta Slovakia, Marek Mlynek dengan catatan 58.4m.

Duplan-Fribourg, yang bercita-cita menjadi jaguh dunia, sebelum ini merekodkan catatan terbaik peribadi iaitu 62.8m untuk menghuni tempat ketujuh pada Kejuaraan Terbuka Eropah-Afrika (E&A) di Sesena, Toledo, Sepanyol, 18 Julai lalu.

Sesi pertama acara jump lelaki hari ini menyaksikan 16 peserta bersaing manakala baki 24 peserta akan bertanding pada sesi kedua pusingan awal esok.

Hanya 12 peserta daripada pusingan awal layak ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Dalam pada itu, pasangan adik beradik negara, Aiden Yoong Yoong Hanifah, 12 dan adiknya, Adam, 10, gagal ke pusingan akhir selepas masing-masing menduduki tangga tercorot daripada 16 peserta pada sesi pertama pusingan awal.

Aiden menghuni tempat ke-15 dengan catatan jarak 16m dan Adam dengan jarak 15m.

Mereka turut menghuni tempat ke-24 (Adam) dan ke-25 (Aiden) dalam pusingan awal acara slalom.

Pasangan adik beradik itu menyifatkan penampilan sulung pada kejohanan dunia itu merupakan pengalaman berharga buat mereka berdua apabila dapat berpeluang bertanding bersama sama dengan peserta utama dunia.

Sementara itu, juara Asia acara slalom lelaki, Chang Tae Ho tersingkir daripada pusingan akhir selepas hanya mampu meraih kedudukan ke-28 daripada 31 peserta sesi pertama dengan keputusan 0.5 boya, kelajuan 58km/sejam, jarak talian 18.25m.

Peserta Korea Selatan berusia 19 tahun itu melahirkan rasa kecewa dalam acara kegemarannya itu selepas melakukan latihan keras untuk kejohanan tersebut.

“Terlalu banyak tekanan. Saya cuba mendapatkan talian yang lebih panjang dengan bermula 14m berbanding kebiasaan 13m bagi memastikan aksi yang lancar,” katanya kepada pemberita di sini.

Peserta New Zealand, Morgan Diehl dan Diego Font dari Mexico mengungguli sesi pertama pusingan awal dengan catatan sama 4.00/58/11.25.

Tempat ketiga disandang oleh Duplan-Fribourg, dikuti Alexander Samoilov dari Ukraine. yang turut berkongsi catatan sama iaitu 2.50/58/11.25.

Dalam acara tricks wanita, peserta Britain, Eleanor Benjamin menghuni tempat pertama daripada lapan peserta dalam sesi pertama dengan catatan 4,130 mata, diikuti Jaime Metcalfe dari New Zealand (4,120 mata) dan wakil Republik Czech, Anna Cespivova dengan 3,790 mata.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu