Man seriously hurt after pet macaque bit him [ 4h ago ]

Berita SUKAN


IWWF perkenal Anugerah Asia pada kejohanan dunia

Tarikh kemaskini: 13/08/2019
Aaliyah Yoong Hanifah
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Peluncur air dari Asia kini mempunyai sebab untuk menantikan Kejohanan Ski Air Dunia 2019 berikutan Persekutuan Luncur Air & Wakeboard Antarabangsa (IWWF) telah meluluskan kategori ‘Peluncur Air Terbaik Asia’ untuk dipertandingkan seiring dengan kejohanan utama dunia yang bermula hari ini di Tasik Putrajaya.

Ia merupakan langkah penting bertujuan memberi pengiktirafan terhadap minat dan dedikasi peluncur air Asia di samping memberi lonjakan kepada pembangunan sukan itu di rantau ini.

Berikutan luncur air di Asia masih ketinggalan di belakang negara seperti Amerika dan Eropah, berkemungkinan besar kelibat peluncur air dari Asia tidak akan kelihatan dalam kejohanan dunia apabila mereka perlu melepasi pusingan awal sebelum layak ke final.

“Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) amat berbesar hati apabila acara pada tahun ini menarik sejumlah 143 penyertaan dari 32 negara.

"Bagaimanapun yang penting sekali, kami juga sangat teruja dengan rekod 24 peluncur Asia dalam kejohanan dunia yang bersaing untuk merebut anugerah terbaik Asia,” kata ketua jurulatih MWWF Hanifah Yoong.

Tujuh negara Asia mengambil bahagian dalam Kejohanan Ski Air Dunia 2019 IWWF iaitu China, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Ratu peluncur air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah yang ketika ini berada pada ranking ke-12 IWWF, adalah wakil tunggal Asia yang menempatkan diri dalam 12 kedudukan teratas pada pusingan awal untuk melangkah ke final.

Bagaimanapun, laluan masih sukar bagi atlet berusia 16 tahun itu yang perlu bersaing dengan beberapa peluncur terbaik dunia iaitu Neilly Ross dari Kanada dan Anna Gay serta Erika Lang dari Amerika Syarikat.

Pemenang pingat emas Sukan SEA sebanyak tiga kali itu perlu melipatgandakan usaha untuk mencatat sekurang-kurangnya 8,200 mata -- catatan yang belum pernah dicapainya dalam mana-mana kejohanan, untuk berjaya ke pusingan akhir. Catatan terbaik beliau ketika ini adalah 7,600.

Anugerah kategori Asia akan mengiktiraf tiga peluncur terbaik Asia masing-masing dalam empat disiplin -- slalom, tricks, jump dan keseluruhan bagi lelaki serta wanita.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu