Man seriously hurt after pet macaque bit him [ 5h ago ]

Berita SUKAN


Malaysian Tigers raih keyakinan berdepan pasukan ranking lebih tinggi

Tarikh kemaskini: 13/08/2019
Mohamad Sukri Abdul Mutalib
SEPANG, 13 Ogos (Bernama) -- Keyakinan dan pemahaman mendalam terhadap corak permainan baharu merupakan dua elemen penting diraih skuad hoki lelaki negara sepanjang tiga minggu bersaing dalam Siri Jelajah Eropah, berakhir semalam.

Ketua pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib mengakui keputusan dicatat dalam enam aksi pertama daripada sembilan perlawanan keseluruhan, membuktikan kualiti dimiliki pemain negara dalam menyaingi kehebatan pasukan gergasi dunia.

“Apabila kita bermain enam perlawanan awal dengan baik, kita berjaya dapat satu keyakinan yang membuatkan kita rasa kita mampu bersaing dengan mereka (gergasi dunia). Ia satu motivasi yang baik dan amat diperlukan pasukan.

“Kedua, kita lebih memahami struktur baharu permainan diterapkan jurulatih. Bila pemain memahami struktur tersebut, kita mampu catat keputusan baik dan itu akan berterusan selagi kita memahami struktur berkenaan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Pemain berusia 33 tahun itu, bagaimanapun mengakui masih terdapat ruang untuk diperbaiki terutama kelemahan jelas dilakukan dalam tiga aksi terakhir berdepan pasukan ranking ketiga dunia, Belanda dan aksi berdepan skuad di ranking kedua dunia yang juga Juara Piala Dunia 2018, Belgium.

“Kelemahan ketara berdasarkan tiga aksi terakhir ialah kita agak sedikit kepenatan menyebabkan kesilapan mudah dilakukan seperti hilang tumpuan ketika bertahan. Tetapi itu semua mampu untuk dimantapkan selepas kita membuat penilaian nanti,” katanya.

Skuad Malaysian Tigers yang menduduki ranking ke-12 dunia mengharungi sembilan perlawanan, dengan enam merupakan perlawanan ujian dan tiga aksi di Kejohanan Jemputan Empat Negara yang menyaksikan Malaysia muncul juara selepas mengejutkan Sepanyol 4-3 dan Ireland 2-1 sebelum seri 3-3 berdepan England.

Baki enam perlawanan pula menyaksikan anak buah Roelant Oltmans menang 4-2 ke atas Jerman sebelum tewas 0-1 di tangan Sepanyol, diikuti kekalahan dalam kedua-dua aksi menentang Belanda (4-6 dan 2-6) serta Belgium (1-5 dan 0-8).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu