Man seriously hurt after pet macaque bit him [ 4h ago ]

Berita SUKAN


Malaysia calar rekod tanpa kalah Australia

Tarikh kemaskini: 13/08/2019
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Skuad Bawah 18 tahun (B-18) negara mencatat kemenangan selesa selepas mengejutkan pasukan pilihan Australia 3-0 dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019 di Vietnam hari ini.

Dengan kemenangan ketiga yang dicatat hari ini, skuad negara melonjak ke tangga teratas kumpulan B, berkongsi sembilan mata dengan pasukan Australia.

Bagaimanapun, kedudukan ini belum muktamad kerana skuad negara perlu berdepan Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 15 Ogos.

Dalam aksi di Stadium Thanh Long, skuad kendalian ketua jurulatih sementara Brad Maloney mempamerkan tahap keyakinan yang tinggi berdepan pasukan pilihan biarpun Australia dilihat menguasai minit awal perlawanan.

Penyerang licik negara Luqman Hakim Shamsudin meletakkan skuad Malaysia di hadapan apabila menyempurnakan umpanan jauh Mohd Nasip Mohammad Zain pada minit ke-17.

Pertahanan Australia dihukum pada minit ke-27, apabila pemain pertahanan negara Muhammad Azam Azmi Murad yang tidak dikawal berjaya menyudahkan hantaran hasil sepakan penjuru, menewaskan penjaga gol lawan Jackson Henry Sidney Lee.

Luqman Hakim sekali lagi meledak gawang lawan pada minit ke-39 menerusi gerakan solo yang berjaya mengelecek pertahanan Australia sebelum sekali lagi merembat tepat ke dalam gawang Lee.

Skuad Australia mendapat peluang pada separuh masa kedua menerusi sepakan sudut namun gagal disempurnakan dengan baik Fabian Andres Monge sebelum wisel penamat dibunyikan.

Skuad negara yang juga juara bertahan sebelum ini bermula dengan langkah kiri apabila tewas perlawanan pertama kepada tuan rumah, Vietnam 0-1 sebelum menemui semula rentak apabila menewaskan Singapura 3-1 dan Kemboja 3-0 pada aksi kumpulan B.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu