RENCANA

SEKURITI AIR PENYELESAIAN ISU SUMBER AIR MENTAH

24/01/2020 12:20 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

SHAH ALAM (Bernama) -- Sekuriti air perlu dijadikan aspek paling penting dalam pengurusan sumber air negara memandangkan krisis berterusan pencemaran sungai terutamanya akibat pembuangan bahan toksik.

"Air adalah keperluan asas manusia dan untuk itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengutamakan sekuriti air yang meliputi kuantiti serta kualiti air terhadap kesihatan, kehidupan dan aktiviti manusia, " kata pakar kualiti air Malaysia, Dr Zaki Zainudin.

Beliau menegaskan, sekiranya sekuriti air negara mantap, bekalan air tidak akan terganggu dan pengguna tidak akan dibebani masalah bekalan air jika berlaku pencemaran sungai.

Menurut beliau,  walaupun pihak berkuasa mengambil beberapa langkah positif bagi mengurangkan masalah pencemaran sungai yang menjadi sumber air mentah, namun nampaknya ia masih belum mampu menangani isu gangguan bekalan air kepada pengguna.

"Masalah ini berpunca daripada pengurusan lembangan sungai yang masih lemah di negara ini, yang mengakibatkan masalah gangguan bekalan air terus berlaku.

"Kita juga tidak ada pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai. Memandangkan lembangan sungai di Malaysia sangat luas, sepatutnya beberapa strategi perlu dirangka untuk mengatasinya terutama ketika berlaku kecemasan, " katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata antara strategi yang boleh dipertimbangkan ialah membina kolam simpanan air, melindungi kawasan tadahan air dan mengadakan sistem rawatan air yang lebih canggih.

 

BINA KOLAM SIMPANAN AIR

Menurut Zaki, walaupun penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas kepada pelaku harus diperkemaskan, namun sekuriti air dilihat lebih membantu dalam mengatasi masalah gangguan bekalan air terutama dalam jangka masa pendek.

Beliau yang antara anggota pasukan siasatan punca pencemaran Sungai Kim Kim berkata, sekuriti air bukan sahaja perlu menjadi fokus kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan tetapi juga syarikat pembekal air.

Antara langkah yang seharusnya dilaksanakan oleh semua negeri ialah mewujudkan kolam untuk takungan air yang boleh digunakan ketika kecemasan terutama apabila berlaku pencemaran sungai yang akan menyebabkan gangguan bekalan air.

Dalam hal ini, beliau memuji langkah negeri Selangor yang menerusi Lembaga Urusan Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan pendekatan ini untuk memberi jaminan sekuriti air dengan perlaksanaan program Hybrid Off River Augmentation System (HORAS).

"Ini merupakan kolam sandaran di mana air disimpan di dalam kolam-kolam  yang besar dan jika berlaku pencemaran di muka sauk, air daripada kolam-kolam ini akan digunakan.

"Apabila berlaku insiden di Sungai Semenyih pada hujung 2019, mereka gunakan air daripada HORAS ini tetapi ia masih tidak mencukupi. Jika tidak ada kolam ini, mungkin keadaan gangguan bekalan air di Lembah Klang ketika itu menjadi lebih teruk," katanya.

Beliau berkata cadangan untuk menggunakan air dari Tasik Putrajaya yang pernah dicetuskan beberapa tahun lalu perlu dilihat semula bagi membantu Loji Rawatan Air Semenyih sekiranya berlaku kecemasan.

 

URUS DAN LINDUNGI  KAWASAN TADAHAN AIR

Lembangan sungai  bermula dari  hulu akan mengalir ke hilir sungai  sebelum masuk ke kuala dan seterusnya dilepas ke laut.

Menurut  Zaki, kelaziman strategi yang digunakan adalah dengan meletak muka sauk di kawasan hilir sungai memandangkan kuantiti isi padu air lebih tinggi di kawasan berkenaan.

"Masalah dengan strategi ini adalah dengan peredaran masa, kawasan hulu akan terus pesat membangun dengan pembukaan kilang dan kawasan perumahan yang boleh melepaskan punca pencemaran ke dalam sungai terus ke hilir .

"Kita ambil contohnya Sungai Semenyih. Muka sauk adalah di kawasan hilir sungai (sebelum pertemuan dengan Sungai Langat). Jadi tidak memeranjatkan lokasi ini mudah mengalami pencemaran kerana di hulu sungai sudah berlaku pembangunan yang pesat," katanya.

Bagi menjamin sekuriti air, pihak berkuasa perlu mewartakan kawasan tadahan sungai sebagai kawasan perlindungan tadahan air bagi mengelakkan pencemaran terutama di kawasan muka sauk.

Menurut beliau, dengan langkah itu, kawasan berkenaan akan dilindungi undang-undang bagi mengelakkan sebarang pembangunan dijalankan di sekitar kawasan tersebut.

"Jika kita tidak ambil langkah ini, jangan terkejutlah bila berlaku pencemaran yang kronik kerana susah untuk dikawal.

"Ini amat merisaukan dan pihak berkuasa perlu serius untuk merangka bagaimana cara sekuriti air lebih terjamin tidak kira dalam keadaan sungai tercemar ataupun tidak agar bekalan air sentiasa ada tanpa kompromi," katanya.

 

PERLU SISTEM RAWATAN AIR LEBIH CANGGIH

Selain itu, bagi menjamin sekuriti air yang lebih mantap, Malaysia juga perlu meningkatkan sistem rawatan air bagi membolehkan air yang tercemar dapat terus dirawat tanpa perlu menutup loji rawatan air seperti yang berlaku sekarang.

Jelas Zaki, sistem rawatan konvensional yang digunakan sekarang sebenarnya setara dengan sistem rawatan yang digunakan di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Belanda mahupun di England.

Menurut beliau, sistem ini bagaimanapun ada hadnya iaitu dengan syarat air di muka sauk tidak terlampau kotor.

Di Amerika Syarikat air yang dirawat tidak terlalu kotor kerana kawalan pengurusan lembangan sungai mereka lebih baik dan air yang masuk ke loji rawatan masih mampu dirawat tanpa sebarang masalah.

"Keadaan ini berbeza di Malaysia kerana pencemaran yang tinggi. Mungkin sudah tiba masa sistem teknologi rawatan termaju dipertimbang untuk digunakan di sini seperti yang digunakan di Singapura di mana mampu merawat air kumbahan dan dikitar semula menjadi air minuman melalui  program NEWater.

"Teknologi rawatan ini sememangnya sudah ada, isunya tentulah kos. Adakah kerajaan dan pengguna sanggup melabur untuk itu? " soalnya, sambil menambah, jika langkah yang beliau cadangkan dapat dilaksanakan, sekuriti air tidak menjadi isu lagi.

 

KAJI KEMAMPUAN SUNGAI MENERIMA BEBAN PENCEMARAN 

Zaki yang berpengalaman luas dalam penyelidikan kualiti air menekankan bahawa fokus kepada isu pencemaran sungai memerlukan masa yang panjang untuk diselesaikan.

Secara peribadi beliau menyatakan amat sukar untuk mengatasi pencemaran sungai terutama pembuangan sisa tidak dibenarkan ke dalam sungai kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa meskipun dengan ada penguatkuasaan sekali pun.

Sungai, jelas beliau, (secara semula jadi) mempunyai kebolehan menerima bahan cemar tetapi dengan kapasiti tertentu untuk mengelakkan berlaku pencemaran.

Kebolehan sungai menerima bahan tercemar bergantung kepada isi padu air yang ada di dalam sungai tersebut. Kalau isi padu air lebih tinggi, ia boleh menerima banyak bahan cemar, jika saiz sungai kecil, isi padu air berkurangan maka kemampuan sungai menerima bahan cemar adalah kurang.

"Contohnya apabila musim kemarau, kadar pencairan di dalam sungai berkurangan.  Bahan cemar yang masuk ke dalam sungai mungkin dibenarkan undang-undang tetapi disebabkan sungai tidak mampu hendak menerima bahan-bahan tersebut, maka akan tetap berlaku pencemaran," katanya.

Undang-undang yang ada katanya harus dinilai semula dengan melihat isu kemampuan sungai menerima beban pencemaran.

Beliau mengambil contoh Amerika Syarikat yang mengambil kira bukan sahaja kepekatan pencemaran tetapi juga kemampuan sungai untuk menerima bahan-bahan tercemar di dalam menguatkuasakan  undang-undang pencemaran sungai.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar pihak berkuasa, khasnya kerajaan negeri, menetapkan sasaran kualiti air sungai bagi memastikan sungai yang ada tidak menurun kualitinya.

Ini memandangkan sumber air negeri berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menurut Zaki, sasaran ini boleh dibuat mengikut segmen sungai daripada hulu sampai ke hilir dengan menetapkan kualiti sasaran pada segmen tersebut.

"Perlu dibuat satu peta untuk melihat keseluruhan menetapan kualiti pada segmen yang ditetapkan sebagai panduan untuk semua agensi yang terlibat.

"Sekiranya pembangunan ingin dilakukan, wajib dipastikan ia tidak akan menjejaskan kualiti sungai yang ditetapkan di segmen tersebut," tegasnya.

Setakat ini tidak ada penetapan kualiti sungai dilakukan sebaliknya hanya sekadar melakukan pengkelasan kualiti air di sungai. Pada masa ini sungai di Malaysia diletakkan di bawah lima kategori - I, II, III, IV dan V - berdasarkan kualiti air, dengan kelas I dianggap baik dan kelas V sebagai paling tercemar.

"Untuk meningkatkan kualiti air sungai sangat-sangat susah terutama apabila ia tercemar. Contohnya sungai Kelas II. Kita nak pastikan dalam masa lima tahun ia masih kekal Kelas II, bukan jatuh ke Kelas III. Percaya cakap saya dalam tempoh lima tahun itu akan berlaku banyak pembangunan baharu yang sisa bahan-bahan cemar akan masuk ke dalam sungai. 

"Jadi sebelum pembangunan berlaku kita kena pastikan dan tetapkan kualiti sungai dapat dipertahankan," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan