RENCANA

KEPERLUAN PENDIDIKAN BERLANDASKAN IR 4.0

23/01/2020 08:02 PM

Oleh Sakina Mohamed and Aisha Hani Nor Azmir

(Artikel ini ditulis sempena sambutan Hari Pendidikan Sedunia pada 24 Januari.)

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ibu bapa hari ini sibuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan secukupnya agar masa depan mereka terjamin kerana pada hemat mereka, kalau akademik cemerlang mudahlah nanti mendapat pekerjaan.

Bagaimana pun, menurut laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2016, 65 peratus kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah pada tahun itu dijangka mendapat pekerjaan yang belum wujud hari ini.

WEF juga meramalkan lebih lima juta pekerjaan akan hilang menjelang tahun ini dan trend itu dijangka berterusan.

Kalau begitu keadaannya, bagaimana hendak membantu anak-anak membuat persediaan yang mencukupi untuk suatu bentuk pekerjaan sekiranya ia belum lagi wujud?

 

PENDIDIKAN KALIS PERUBAHAN

Langkah utama tentunya untuk memastikan sistem pendidikan sentiasa ditambah baik mengikut peredaran masa agar generasi akan datang siap siaga menghadapi tuntutan tenaga kerja masa hadapan.

Salah satu matlamat Kementerian Pendidikan ialah untuk menjadikan graduan tempatan kalis perubahan dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang sesuai, kemampuan tinggi serta nilai kemanusiaan melalui satu transformasi pendidikan.

Kementerian itu turut maklum bahawa globalisasi dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) bakal mengubah landskap pekerjaan masa hadapan dengan lenyapnya pelbagai jenis pekerjaan yang masih wujud hari ini.

"Kita akan memerlukan pelbagai jenis kepakaran untuk menghadapi berbagai bidang baru dalam menghadapi era IR 4.0. Maka, anak-anak perlu dilengkapi dengan teknologi IR 4.0," kata Maszlee Malik pada tahun lepas ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Pendidikan.

Bagaimana pun, beliau berkata, institusi pendidikan hari ini masih belum menawarkan kemahiran yang sesuai dan ini menyebabkan siswazah Malaysia kurang laku di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Untuk menangani masalah itu, Kementerian Pendidikan kini mendapatkan bantuan pemain industri untuk membuat penilaian tahunan terhadap program dan aktiviti ko-kurikulum yang ditawarkan di institusi pendidikan tinggi untuk memastikan ia menepati kehendak industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan. 

Presiden Persatuan Industri 4.0 Malaysia, VKK Rajasekaran yang bersetuju dengan tindakan kementerian turut menyarankan kementerian berkenaan menyediakan kursus dan program yang bertepatan dengan kehendak IR 4.0.

"Lebih 60 peratus siswazah lepas pengajian masih menganggur selepas setahun. Ini sebahagiannya disebabkan ketakpadanan antara program (universiti) yang ditawarkan dan keperluan pasaran. 

“Perlu ada anjakan selari dalam bentuk pendidikan di sekolah dan universiti kerana pada masa ini, apa yang sedia ada tidak menepati keperluan pasaran pekerjaan," katanya kepada Bernama, sambil menambah keperluan mengelakkan bakat tempatan ke luar negara untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik atau lumayan.

Namun begitu, tambah beliau, sudah ada universiti dan kolej tempatan yang peka terhadap keperluan industri dan menawarkan program sarjana yang antaranya mengajar reka bentuk Internet Benda (IOT), kejuruteraan robotik, sains data dan reka bentuk pengkomputeran awan.

“Bagaimana pun mereka perlu menguar-uarkan tentang kursus  sedemikian dan menggariskan kepentingannya dalam pasaran pekerjaan masa hadapan," katanya.

 

SELAMATKAH MATA PENCARIAN KITA?

Ramai yang risau hilang pekerjaan apabila berlaku anjakan ke IR 4.0. Kerisauan ini bukanlah tidak berasas kerana satu kajian pada 2017 menunjukkan sehingga 800 juta pekerja seluruh dunia akan hilang pekerjaan menjelang 2030.

Kajian yang dijalankan oleh McKinsey Global Institute ke atas 800 syarikat di 46 negara mendapati kebanyakan pekerjaan akan diambil alih kecerdasan buatan (AI) dan automasi robotik.

Bagaimana pun, ia mendapati yang paling kurang terkesan ialah pekerjaan yang bersandarkan interaksi manusia dan kerja khusus bergaji rendah.

Namun begitu, Rajasekaran yakin kehilangan pekerjaan disebabkan automasi dapat diimbangi dengan pewujudan pekerjaan baru bagi memenuhi keperluan IR 4.0.

"Kita akan menyaksikan permintaan meningkat untuk pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi dan sederhana kerana pekerjaan yang rutin dan mudah akan dijalankan oleh mesin," jelasnya.

Lanjutan itu,  keperluan untuk mendapatkan pendidikan tinggi akan meningkat kerana pekerjaan yang tidak memerlukan ijazah akan berkurangan.

"Kita perlu mempersiapkan pelajar hari ini menghadapi tuntutan pekerjaan masa hadapan dengan memperkenalkan kursus yang berkaitan di peringkat sekolah menengah dan juga TVET (Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional)," katanya.

 

PENGLIBATAN AGENSI KERAJAAN

Dr Sumitra Nair, naib presiden pembangunan bakat dan keusahawanan digital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Talent Development berkata terdapat pelbagai cara untuk memperkasa sistem pendidikan agar pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran IR 4.0, namun aspek pendidikan lain turut perlu diberikan perhatian.

"Semua negara serata dunia sedang berlumba membangunkan bakat masa hadapan mereka dengan menggunakan pendekatan pelbagai pihak berkepentingan. Mereka tidak hanya fokus kepada sistem pendidikan semata-mata," katanya.

Untuk memastikan bakat teknologi tempatan sentiasa dibangunkan, MDEC kini bekerjasama dengan pelajar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi selain daripada tenaga kerja sedia ada dan bakat terpendam.

"Kita akan terus memupuk bakat teknologi masa hadapan dan menguatkan kebolehpasaran graduan teknologi. Kita mahu memastikan kemampanan perkembangan kerjaya bagi tenaga kerja sedia ada dan ini termasuk bakat terpendam," katanya.

MDEC yang di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia diamanahkan untuk memajukan ekonomi digital negara ini. Untuk mempelopori pergerakan digital di sekolah, MDEC melancarkan #mydigitalmaker tiga tahun lalu.

Inisiatif kerjasama awam-swasta-akademia itu membantu mencungkil bakat digital di sekolah dan memupuk bakat mereka menjadi pengeluar digital.

 

Diterjemah oleh Sakina Mohamed dan disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan