RENCANA

KEUSAHAWANAN BANTU ORANG ASLI TINGKAT TARAF EKONOMI

10/01/2020 12:41 PM

Oleh Nur Natasha Aida Ismail

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang berusaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan Orang Asli bagi memperbaiki status ekonomi dan mengeluarkan masyarakat peribumi ini daripada kepompong kemiskinan. Bahagian terakhir daripada artikel dua bahagian ini memberi fokus terhadap inisiatif JAKOA Negeri Sembilan bagi membantu meningkatkan pendapatan Orang Asli melalui bidang keusahawanan seperti ​​​​​​​ekopelanconagn, inap desa, andaman, pertanian dan ternakan.

 

REMBAU (Bernama) -- Perkampungan Orang Asli Bukit Kepong Pasir Panjang, Port Dickson, kira-kira 42km dari sini, adalah sebuah kampung pelancongan indah yang sentiasa menggamit kedatangan pelawat ke Negeri Sembilan.

Menyedari potensi yang boleh dijana daripada suasana damai perkampungan itu, wanita Orang Asli suku Temuan Faarezan Radzali, 40, bersama keluarganya menjalankan perniagaan inap desa kampung tradisional dan ekopelancongan sebagai sumber pendapatan tambahan.

Dikenali sebagai Homestay Temuan Port Dickson, rumah inap yang diusahakan Faarezan sejak dua tahun lalu, bukan sekadar menjadi destinasi pilihan pelancong dari bandar melarikan diri daripada hiruk-pikuk kesibukan kota raya, malah peluang untuk mereka mempelajari budaya dan warisan masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka Haslin Abdul Razak berkata masyarakat Orang Asli, khususnya belia, kini dilihat berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Saya memang suka melihat mereka (belia Orang Asli) menceburi bidang perniagaan. Apa sahaja bakat yang ada mereka boleh kembangkan dan JAKOA akan bantu.,” katanya kepada ​​​​​​​Bernama, baru-baru ini.

Menurut Haslin, JAKOA bertanggungjawab menguruskan hal ehwal Orang Asli dengan matlamat utama melaksanakan pendekatan pembangunan secara menyeluruh meliputi pembangunan sosioekonomi, pendidikan, kesihatan dan pembangunan modal insan secara terancang dan berterusan.

Haslin berkata, masyarakat Orang Asli dilihat berusaha untuk mengubah kehidupan mereka dan keluar daripada belenggu kemiskinan.

Menyentuh mengenai perniagaan inap desa yang diusahakan penduduk Orang Asli di Perkampungan Orang Asli, Bukit Kepong, Pasir Panjang itu, Haslin berkata rumah inap itu istimewa kerana ia dibina ​​​​​​​daripada sumber alam berasaskan kayu dan pokok hutan.

“Suasana rumah inap ini memang cantik dan selesa kerana kita (JAKOA) sentiasa pantau

memandangkan ia sudah bertaraf kampung pelancongan dan ramai pelancong asing menginap di sini,” katanya.

 

JAKOA BANTU TINGKAT TARAF EKONOMI ORANG ASLI

 

Haslin berkata, kesedaran masyarakat peribumi ini untuk berubah dan meningkatkan taraf hidup mereka timbul setelah melihat masyarakat lain hidup senang dengan berniaga atau ​​​​​terlibat dalam aktiviti keusahawanan.

“Perubahan yang Orang Asli mahukan ini, bukanlah bermaksud mereka mahu meninggalkan perkampungan dan budaya tradisional mereka. Sebaliknya, mereka mahu mengikut peredaran zaman dari segi aktiviti harian serta kaedah menjana pendapatan yang lebih,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa golongan Orang Asli yang ingin berubah rata-ratanya berusia 20-an hingga 50-an.

“Kalau mereka datang untuk dapatkan bantuan bagi mengukuhkan perniagaan mereka, memang kita nampak mereka betul-betul mahu berubah. Cuma adakalanya ada individu yang gagal kerana cabaran yang dihadapi menyebabkan mereka tidak dapat mengekalkan perniagaan itu,” katanya.

Di Negeri Sembilan, majoriti masyarakat Orang Asli terdiri daripada suku kaum Temuan manakala suku kaum Semelai hanyalah minoriti.

Menurut statistik JAKOA, seramai 49 usahawan Orang Asli berjaya dilahirkan bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) manakala 40 usahawan bagi tempoh RMK11 (2016-2020).

 

PERNIAGAAN KRAF TANGAN, INAP DESA DAN ANDAMAN

 

Penghasilan kraf tangan berasaskan sumber alam sememangnya lumrah dan begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat Orang Asli.

Namun, hari ini masyarakat Orang Asli bukan sahaja boleh berbangga dengan pembuatan hasil seni kraf tangan atau perabot yang bernilai tinggi, malah mereka sudah cuba berjinak-​​​​​​​jinak dalam bidang perniagaan seperti dalam sektor pelancongan inap desa, chalet, andaman, penternakan dan pertanian.

“Khidmat andaman mereka ini bukan sahaja ditawarkan dalam kalangan masyarakat Orang Asli sahaja tetapi juga kepada masyarakat Melayu.

“Selain itu, ada juga Orang Asli terlibat dalam bidang ternakan kambing, hasil pertanian, usahawan telur itik, jahitan dan perkhidmatan pengangkutan bas,” katanya..

Menurut Haslin, selaras dengan objektif JAKOA untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup Orang Asli, jabatan menyediakan program Pembangunan Keusahawanan bagi membantu Orang Asli untuk terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Katanya program berkenaan sangat bermanfaat dalam memastikan masyarakat Orang Asli keluar daripada kepompong kemiskinan seterusnya berada dalam kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan sederhana (M40).

“Fokus program ialah membantu usahawan Orang Asli mengembangkan perniagaan dan memasarkan produk mereka,” katanya menambah JAKOA akan memberi bantuan kepada ​​​​​​​individu Orang Asli yang sudah bertapak dalam perniagaan.

“Kita akan bantu individu yang benar-benar serius membangunkan perniagaan dan kita akan nilai sebelum berikan bantuan,” katanya.

Bantuan dalam bidang andaman yang diberikan kepada usahawan Orang Asli termasuk barangan kelengkapan, baju persalinan pengantin, alat mekap dan pelamin.

Bagi sektor pertanian, dalam ternakan kambing misalnya, JAKOA akan memberi bantuan baka kambing dan membina kandang. Sementara untuk perniagaan telur itik, Haslin berkata, anak-anak itik akan dibekalkan sehinggalah itik berkenaan bertelur dan seterusnya dapat dijual.

Bagi perusahaan bas pula, JAKOA akan mempromosikan perkhidmatan mereka dan berusaha mencari pelanggan sekiranya ada jabatan atau agensi ​​​​​​​kerajaan yang mahu menyewa bas, katanya.

 

KHIDMAT SOKONGAN

 

JAKOA juga bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk membantu Orang Asli dalam hasil tanaman sayuran seperti terung.

“Kita berikan kursus bersesuaian supaya terung itu dapat dihasilkan secara berkala sekaligus memastikan pendapatan yang konsisten dapat diraih,” katanya menambah JAKOA juga membantu Orang Asli yang menjalankan perniagaan kedai runcit dan bengkel kereta.

 “Bukan itu sahaja, kita juga memberi kursus kepada Orang Asli yang tidak pandai menguruskan akaun perniagaan dan membantu memantau perjalanan perniagaan mereka,” katanya menambah dalam setiap perniagaan cabaran pasti akan wujud, namun kecekalan dan ketahanan individu itu yang dapat membantu beliau mengatasi segala masalah.

Untuk memastikan barangan Orang Asli berjaya dipasarkan, Haslin berkata JAKOA juga membawa beberapa usahawan Orang Asli dari Negeri Sembilan untuk menyertai Karnival Usahawan Orang Asli yang diadakan setiap tahun.

“Dengan cara ini, mereka dapat menjual produk mereka di luar kawasan termasuk kepada pelancong asing,” katanya menambah bagi mengembangkan lagi perniagaan Orang Asli, JAKOA juga menghantar mereka mengikuti kursus perniagaan digital atau perniagaan dalam talian seperti Facebook dan sebagainya.

Sebagai Pengarah JAKOA negeri, Haslin berkata beliau amat berbangga melihat semakin ramai pemuda Orang Asli yang mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana ia dapat mengetengahkan keunikan dan keupayaan diri mereka.

 “Dengan cara ini, kita dapat melahirkan generasi Orang Asli baharu yang kurang bergantung kepada keluarga, sebaliknya mampu berdikari untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Katanya JAKOA meletakkan harapan yang tinggi untuk melahirkan lebih ramai usahawan Orang Asli pada masa depan dan berharap kerajaan Persekutuan mahupun negeri dapat memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya secara berterusan.

 

Disunting oleh Rafe’aton Md. Ali

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan