RENCANA

DULU MAINAN ORANG ASLI, KINI KRAF TANGAN BERNILAI

09/01/2020 02:18 PM

Oleh Nur Natasha Aida Ismail

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), sedang berusaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan Orang Asli bagi memperbaiki status ekonomi dan mengeluarkan masyarakat peribumi ini daripada kepompong kemiskinan di samping mengekalkan warisan dan budaya mereka. Bahagian pertama daripada artikel dua bahagian ini memfokuskan kejayaan pemuda Orang Asli dari suku Temuan yang menjalankan perniagaan kraf tangan dan chalet.

REMBAU (Bernama) -- Sewaktu di usia kanak-kanak, Helmi Naim Ahmad, pemuda Orang Asli sering menjadikan sumber alam seperti rotan, akar kayu dan pokok hutan sebagai mainan untuk menghiburkan hatinya.

Hampir setiap hari Helmi, 24, dari suku Temuan menghabiskan masa berkreativiti menggunakan hasil rimba seperti tunggul kayu dan pokok-pokok hutan yang diperoleh di sekitar kampungnya iaitu Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Rembau, dekat sini.

Kampung Orang Asli Ulu Chembong yang didiami kira-kira 500 suku kaum Temuan, terletak sejauh 83km dari Kuala Lumpur dan 21km dari Seremban.

Bemula dengan mencipta mainan dari tunggul kayu dan batang-batang pokok hutan, anak tunggal wanita  berusia 53 tahun bernama Wook Bamut ini menjadi semakin hari semakin kreatif sehingga berupaya menghasilkan pelbagai kraf tangan dan perabot untuk kegunaan keluarga.

Sejurus menamatkan alam persekolahan pada tahun 2013 ketika baru berusia 18 tahun, Helmi menceburi bidang perniagaan tanpa dirancang dengan menjual produk kraf tangan, perabot dan hiasan rumah rekaan sendiri di Temuan Abo Craft.

Selepas tiga tahun berjinak dalam dunia perniagaan kraf tangan, atas tekad dan keyakinan tinggi, Helmi usahawan muda Orang Asli ini memperluaskan perniagaannya. Kali ini dalam bidang ekopelancongan dengan mengusahakan Chalet Temuan Abo Craft, pada tahun 2016.

Menurut Helmi, ilham untuk mengusahakan Chalet Temuan Abo Craft bertujuan mempromosi kampungnya itu dalam sektor ekopelancongan kepada masyarakat luar.

“Saya dapat ilham untuk bina chalet ini kerana tidak banyak perkampungan Orang Asli di negara ini dibangunkan sebagai destinasi pelancongan …kampung saya, Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Rembau ini mempunyai banyak potensi ekopelancongan yang boleh diketengahkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sehingga kini, Helmi mempunyai lapan buah chalet kayu yang boleh memuatkan seramai tiga hingga lima orang dalam satu-satu masa dan resort berkenaan juga mempunyai sebuah asrama yang dibina berasaskan kayu dan batu serta boleh memuatkan seramai 38 orang.

Kebiasaannya tempahan diterima dari pihak sekolah, kolej dan universiti bagi menjalankan program sempena cuti sekolah dan program jati diri.

“Pakej yang kita perkenalkan di sini lebih kepada mengenali gaya hidup masyarakat Orang Asli mengikut peredaran zaman,” katanya sambil menambah terdapat pakar motivasi dan kebudayaan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang akan membimbing dan membantu dalam aktiviti tetamu yang menginap di chalet berkenaan.

Helmi berkata beliau sangat berharap untuk menjadi belia Orang Asli yang mampu mengubah perkampungan Orang Asli Ulu Chembong sebagai kampung untuk aktiviti kebudayaan dan pelancongan yang terkenal di seluruh negara.

 

HOBI JADI PERNIAGAAN

 

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya dalam bidang keusahawan kraf tangan di kampung itu, Helmi berkata meskipun tidak mempunyai modal, beliau bergantung kepada sumber hutan dan daya kreatif sendiri untuk menghasilkan kraf tangan yang bernilai tinggi.

“Semuanya bermula tanpa perancangan, daripada aktiviti rutin ketika kecil, lama-lama jadi hobi, dari hobi, saya fikir lebih baik jadikan sumber pendapatan...jadi saya mula aktif keluar masuk hutan untuk mencari bahan mentah dan hasilkan pelbagai produk kraf tangan dan hiasan rumah,” katanya.

Katanya daripada produk bersaiz kecil, beliau memberanikan diri untuk menghasilkan produk yang bersaiz lebih besar seperti kerusi dan meja yang diperbuat dari kayu balak tembusu.

“Hasil kerja tangan saya biasanya bergantung kepada bahan mentah yang ditemui, saya tidak boleh tetapkan apa yang saya ingin buat, sebaliknya saya perlu fikir apa yang saya boleh hasilkan sama ada untuk dijadikan arca, kerusi, meja atau barang hiasan,” kata Helmi yang masih bujang.

Katanya, harga produk pula bergantung kepada kehalusan kerja tangan yang dihasilkan serta persembahan sesuatu produk itu.

Yang pasti, setiap tahun seni kraf tangan Helmi sentiasa mempunyai evolusi dan disesuaikan dengan kehendak pelanggan.

Pada 2015, beliau mempopularkan hiasan air pancut daripada tunggul kayu dan setahun selepas itu, beliau menjadikan arca sebagai cenderahati.

Pada 2017, Helmi menggunakan buluh dan kayu tembusu untuk dijadikan set kerusi dan meja buluh yang berharga lebih RM5,000. Produk ini begitu mendapat sambutan.

Pada 2018, beliau menghasilkan kraf dalam bentuk pemegang pen dan tahun lepas (2019) beliau mencipta air pancut bersaiz kecil.

 

KUKUHKAN PERNIAGAAN, PROMOSI DAN PEMASARAN

 

Helmi menjalankan perniagaan secara sendirian dengan dibantu oleh beberapa pekerja Orang Asli yang diupah secara sambilan apabila beliau menerima tempahan yang banyak.

“Orang Asli ini tidak suka kerja yang terikat, saya ada juga bahagikan kerja kepada Orang Asli yang agak berusia untuk mereka peroleh pendapatan,” katanya.

Bagi membolehkan beliau terus aktif dalam dunia perniagaan, Helmi turut mendaftarkan diri dengan agensi berkaitan kraf tangan, pelancongan dan industri kecil. Antaranya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sembilan, Kraftangan Malaysia, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan sebagainya.

“Melalui jabatan dan agensi-agensi ini, saya dapat menyertai karnival dan produk kraf tangan saya dapat dipromosi dan dipasarkan dengan lebih meluas, tidak hanya bergantung pada jualan di kedai atau bilik pameran,".

“Saya juga berpeluang menyertai pelbagai karnival dan pameran di seluruh Malaysia bahkan di luar negara antaranya di Itali dan Jerman,” katanya.

Selain berniaga di kedai, ruang pameran dan karnival, Helmi juga belajar menceburi perniagaan menerusi laman sosial dengan mewujudkan temuanabocraft.blogspot.com dan Facebook iaitu Temuan Abo Craft Malaysia.

“Bila ada laman sosial, promosi lebih meluas, orang dari jauh juga boleh tengok produk kraf tangan saya dan jika mereka berminat, tempahan boleh dibuat tanpa sebarang bayaran. Biasanya pelanggan akan datang ke kedai dan sekiranya berpuas hati, baru mereka beli,” katanya.

Menurut Helmi, setakat ini pembelian hasil kraf hanya boleh dibuat di kedai atau di ruang pameran selain karnival yang disertai beliau.

“Kita belum ada cara bungkusan yang selamat untuk dihantar menerusi pos…hasil kraf saya kebanyakannya melibatkan cantuman dan mudah pecah,” katanya.

 

KARYA BERNILAI TINGGI

 

Menurut Helmi, terdapat dalam kalangan pelanggannya termasuk pelancong asing sanggup membeli hasil kerja tangannya sehingga mencecah ribuan ringgit.

Ketika menyertai Karnival Usahawan Desa di Putrajaya pada 2013, Helmi didatangani seorang pelancong warganegara Jepun yang berminat dengan hasil kerja tangan beliau iaitu arca Angkor Wat dan mahu membeli produk berkenaan pada harga RM21,000.

“Arca ini diperbuat daripada kayu hutan dan saya jual pada harga RM1,200 sahaja. Mulanya, saya memaklumkan kepada pelancong itu bahawa harga kraf itu boleh dikurangkan lagi jika beliau benar-benar berminat. Tetapi beliau tetap mahu membeli dengan harga RM21,000 kerana hasil kerja tangan saya ini ada maksud yang tersirat,” kata Helmi.

Selain itu, Helmi berkata usahawan kosmetik terkenal tanah air, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman juga merupakan pelanggannya yang pernah membeli perhiasan rumah bernilai sehingga RM40,000, semasa Karnival Orang Asli di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Helmi juga pernah menjual senduk tempurung kepada seorang pengusaha restoran dari Dubai semasa menyertai karnival perdagangan di Frankfurt, Jerman sekitar tahun 2017.

Pada tahun 2015, semasa karnival perdagangan di Itali bersama Pebadanan Kemajuan Kraftangan  Malaysia, Helmi memperlajari serba sedikit bahasa Itali untuk menarik pelanggan tempatan.

  “Semasa di karnival itu (Itali) , saya mempamerkan hasil kerja berkisarkan peristiwa kapal Titanic yang saya buat seakan-akan kapal itu terbelah dua. Ada pelanggan melihat karya saya ini dengan linangan air mata kerana penceritaan di sebalik produk itu,” katanya menambah rekaan itu dibeli dengan harga RM680.

Menurut Helmi setiap produk kraf yang dibawa untuk dijual di luar negara akan dipastikan mempunyai nilai yang tinggi dan ciri-ciri kebudayaan sesuatu kawasan.

“Kita akan bawa produk yang membanggakan Malaysia sebagai contoh replika gasing, sumpit dan sebagainya. Setakat ini, produk paling mahal pernah saya jual di luar negara berupa arca kecil berharga RM1,500,” katanya.

Ketika ini, Helmi berkata beliau menyimpan sebuah tunggul kayu berbentuk naga yang ditemui di sebuah sungai di Kampung Batu, Rembau dan sekiranya ia dijual boleh mencecah nilai RM100,000.

“Selepas dibersihkan, tunggul kayu ini sememangnya berupa seperti dua ekor naga - besar dan sederhana. Seolah-olah naga jantan dan naga betina. Ada orang dari pihak hotel pernah berhasrat membelinya, tetapi harga yang ditawarkan tidak berpatutan. Kerana itu, 'harta’ itu masih dalam simpanan saya,” katanya.

 

Disunting oleh Rafe'aton Md. Ali

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan