RENCANA

SUKAN INSPIRASI TEMA FILEM TAMIL

06/12/2019 12:25 PM

Oleh Ravindran Raman Kutty

Penulis Ravindran Raman Kutty adalah pengamal komunikasi dan felo Institut Perhubungan Awam Malaysia.

KUALA LUMPUR (Bernama) - Kesempatan cuti Deepavali yang lalu memberi peluang kepada saya dan keluarga menghabiskan masa bersama-sama berkumpul dan menikmati pelbagai hidangan di rumah ibu kami.

Pada malam sambutan Deepavali, kami menjamu selera secara tradisional berpinggankan daun pisang sambil duduk di lantai.

Bagi mengisi masa lapang, pada hari Deepavali kami menonton filem Karate Kid yang dibintangi Jackie Chan dan Jaden Smith di saluran HBO.

Filem itu benar-benar menghiburkan dan kami menghayati jalan cerita, adegan aksi dan bakat lakonan pelakon cilik Smith.

Seperti kebanyakan filem-filem Hollywood, jalan cerita filem ini juga memberi inspirasi. Mesej filem berkenaan ialah ketekunan dan disiplin akan menjamin kejayaan hidup anda.

Kami sekeluarga juga berkesempatan menonton di pawagam filem Tamil terbaharu Bigil yang bermaksud wisel. 

Jalan cerita filem ini mengisahkan watak utama Michael (dibintangi pelakon Tamil Vijay) mengambil tanggungjawab sebagai jurulatih pasukan bola sepak wanita Tamil Nadu dan ​​​bagaimana Michael yang pernah menjadi pemain bola sepak, memimpin pasukan berkenaan sehingga berjaya.

Kedua-dua filem Karate Kid dan Bigil mempunyai persamaan tema sukan dengan filem pertama sukan karate dan filem kedua sukan bola sepak.

 

Keberkesanan sesebuah filem dalam realiti kehidupan juga telah menyebabkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik baru-baru ini menyarankan setiap guru mencontohi watak utama sebuah filem Tamil Raatchasi yang berjaya menghidupkan peranan seorang guru.

Mesej yang ingin disampaikan dalam filem Bigil pula ialah sukan bola sepak dapat memupuk perpaduan rakyat melangkaui orang miskin, kurang kemampuan mahupun yang terpinggir.

Senario ini, sesuai dikaitkan dengan golongan B40 di Malaysia sama ada yang tinggal di luar bandar atau bandar serta berdepan dengan pelbagai cabaran.

Filem berkenaan juga mengiktisarkan bagaimana bakat tersembunyi seseorang individu terutamanya wanita boleh digilap dan tidak seharusnya dibiarkan malap.

Ini dipaparkan dalam plot filem Bigil yang mengisahkan bagaimana dua pemain bola sepak wanita negeri yang terpaksa bersara bermain bola sepak selepas mendirikan rumah tangga dan diserang asid oleh bekas kekasih.

Kedua-dua watak ini sinonim dengan realiti senario wanita di India yang kerap kali dinafikan hak mereka sama ada dalam kerjaya ataupun memegang jawatan tertentu setelah mendirikan rumah tangga.

Satu lagi watak menarik dalam filem Bigil adalah bapa hero yang pernah menjadi gangster, namun telah insaf dan kembali ke pangkal jalan. Beliau meminta anak itu agar "memberi tumpuan kepada permainan (kerja yang dilakukan)".

Malah beliau mahu anaknya memperkenalkan bola sepak kepada lebih ramai anak muda di kampung berkenaan untuk mengelakkan mereka terlibat dengan kegiatan gangsterisme atau gejala sosial lain.

Pada penghujung filem berkenaan, watak antagonis dalam cerita itu akhirnya turut membawa anak remajanya untuk dilatih hero.

 

 

Kesimpulannya sukan adalah penyuntik yang akan mengubah masa depan mana-mana individu kerana ia bukan sahaja menjadikan anda sihat dan cergas malah membuatkan anda aktif. Bersukan juga dapat membentuk disiplin diri anda.

Amalan disiplin ini boleh diamati dalam filem Karate Kid, semasa Jackie Chan memaksa Jaden Smith menanggal dan menggantungkan jaketnya berkali-kali sebagai latihan wajib sebelum memulakan latihan formal.

Secara ringkasnya, begitulah cara untuk mengajar remaja anak-anak kita mengenai disiplin dan mematuhi arahan.

Kedua-dua filem Bigil dan Karate Kid menyampaikan mesej bahawa disiplin dan jurulatih yang serasi boleh menjadikan seseorang individu itu sebagai juara dunia.

Dalam filem Tamil itu, kemenangan tercipta selepas berulang kali gagal dan berusaha untuk mengurangkan kesilapan. Hero yang melakonkan watak jurulatih akhirnya mendapat kepercayaan daripada para pemainnya.

Sesungguhnya, sukan tidak mengenal batas kaum, agama mahupun status sosial. Seseorang ahli sukan yang berjaya tidak diukur berdasarkan latar belakangnya sama ada miskin ataupun kaya. Sebaliknya, rata-rata rakyat akan bersorak dan melaungkan kepada mereka  “andalah yang terbaik."

Atlet dan ahli sukan terkenal tanah air termasuk bekas pelari pecut negara Tan Sri Dr Jegathesan, bintang badminton negara Datuk Lee Chong Wei, ratu skuasy negara Datuk Nicol David, ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg, peluncur ais negara Julian Yee Zhi-Zie, jaguh trek negara yang juga  pemegang pingat perak Olimpik Azizulhasni Awang dan ratu boling Shalin Zulkifli 

Kesemua jaguh negara ini diingati setiap rakyat Malaysia. Tatkala atlet ini bertanding di peringkat antarabangsa, kita bersorak dan berdoa kerana mereka wira rakyat Malaysia dan bukan kerana mereka itu Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

Maka atas semangat kesukanan ini, saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia dari kumpulan B40 terlibat dalam acara sukan kerana ia menjanjikan kehidupan yang lebih baik.

Bigil mungkin tidak mengajar anda bagaimana untuk bermain bola sepak dengan cekap, tetapi ia memberi panduan bagaimana sukan boleh mengubah nasib mereka yang tertindas untuk mengecapi kejayaan hasil daripada disiplin, latihan dan bimbingan yang betul.

 

(Artikel ini adalah komentar peribadi penulis)

 

Diterjemah dan disunting oleh Rafe’aton Md. Ali 

 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan