PATI lari dari Depot Tahanan Imigresen Miri ditahan semula [ 6m ago ]

Berita RENCANA


Mama Pinky Badut Pencinta Kucing Jalanan

Tarikh kemaskini: 06/11/2019
Perunding kecantikan, Nazirah Abd Rahman, sanggup melakukan kerja sambilan sebagai badut pada setiap hujung minggu untuk menyara 50 “anak-anak” si comel berbulu yang dipeliharanya sejak tiga tahun lalu. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Nadia Jumri

IPOH (Bernama) -- ‘Ambil belon dan derma seikhlas hati untuk bantu kucing jalanan. Tq’. Demikian tertera tulisan pada sekeping papan tanda hitam kecil yang diletakkan bersama-sama sebekas belon yang ditulis “Mama Pinky”, si badut wanita.

Nazirah Abd Rahman, 42, seorang perunding kecantikan sanggup melakukan kerja sambilan sebagai badut pada setiap hujung minggu di Konda Kondi Cafe, Jalan Sultan Idris Shah di sini demi untuk menyara 50 “anak-anak” si comel berbulu yang dipeliharanya sejak tiga tahun lalu.

Kehadiran Mama Pinky tepat pukul 9 malam pada setiap hujung minggu dan cuti umum di kafe berkenaan bertujuan untuk mencari duit poket tambahan bagi membeli makanan haiwan kesayanganya itu.

Oleh demikian, sebaik selesai tugas sebagai perunding kecantikan di bandar Ipoh, Nazirah yang lebih mesra dengan panggilan 'Mama' akan mengenakan pakaian badut berwarna merah jambu dan solekan wajah yang ceria.

Kerjaya dan kemahiran solekan badut serta teknik menggubah belon dipelajari Nazirah melalui laman sosial Youtube dan badut 'Piweet dan ‘Bobo’ dari komuniti ‘Kami Clown’ di Taiping.

Belon berwarna-warni dengan pelbagai bentuk seperti bunga, jantung (love) dan binatang diletakkan di dalam bekas di suatu sudut kafe itu, menyasarkan pengunjung yang membawa anak-anak kecil.

Matlamat utama Mama Pinky, ialah mahu menarik perhatian sebagai penghibur dan berharap agar pengunjung kafe menghulurkan sumbangan dan menderma secara ikhlas.

Gelagat Mama Pinky yang sentiasa mengukirkan senyuman ternyata menghiburkan pelanggan dengan pelbagai aksi yang mencuit hati. Malangnya, langit tidak selalunya cerah, meskipun belon diambil, adakalanya sumbangan tidak dihulurkan.

Namun, Mama Pinky tetap tabah dan sentiasa menggukirkan seyuman kerana beliau ikhlas membantu kucing jalanan. Duit poket lebihan itu akan digunakan untuk membeli makanan kucing dan anjing jalanan selain kucing jalanan yang dikutip dan dibelanya.



KASIH TERHADAP HAIWAN

Didikan ibu bapa agar sentiasa menyayangi haiwan menyebabkan wanita kecil molek ini begitu kasih dan sayang terhadap haiwan, tidak kira fizikalnya.

Kini, Nazirah membela sebanyak 50 ekor kucing di rumahnya di Batu Gajah. Ada dalam kalangan kucing berkenaan dikutip dari beberapa pejabat veterina setelah ditinggalkan pemiliknya.

Nazirah juga sanggup menaiki motosikal setiap malam tanpa mengira waktu untuk singgah di Pasar Pinji di Ipoh untuk memberi makan kucing serta anjing yang berkeliaran di sekitar pasar berkenaan.

"Mama risau kalau tidak singgah situ, semua kucing tetap tunggu. Ada seekor kucing berwarna putih tompok-tompok hitam pun dah sedia tunggu Mama kat pasar itu.

“Jadi biar apapun, Mama akan singgah untuk beri makanan,” katanya. Kos makanan kucing mencecah antara RM400 dan RM500, tidak termasuk kos rawatan di klinik, sekiranya kucing sakit.

"Kalau kucing sakit, Mama selalu hantar mereka ke Ipoh Garden Animal Clinic, Jean Veterinary Centre dan Klinik Haiwan Menglembu mengikut keadaan dan jenis kesakitan kucing,” katanya.

Menurut Nazirah, tiga anak lelakinya Muhd Nur Zikry Azamuddin, 23, Muhd Nur Aqil Naqimuddin, 22, dan Muhd Nur Danial Hafizuddin, 20, turut dididik menyintai haiwan.

“Anak-anak Mama pun sayang kucing. Tolong bawa kucing pergi veterinar kalau kucing sakit semasa Mama bekerja. Jika jumpa kucing jalanan yang sakit mereka akan bawa balik untuk dirawat dan kalau mati, akan dibawa balik untuk ditanam,” katanya.



'TABAH’ &”TUAH RAMADAN” KUCING YANG MENAWAN HATI

Nazirah, anak kedua daripada lima beradik, turut berkongsi kisah kucing kesayangannya yang diberi nama 'Tabah' dan bagaimana si bulu oren itu menjadi kucing pertama yang benar-benar berjaya menawan hati beliau.

"Tabah, kucing jantan yang Mama jumpa ketika merayau-rayau dekat pasar raya Ipoh Parade dengan keadaan comot, busuk dan kaki kanannya berulat. Mama ambil dan bawa ia untuk dapatkan rawatan doktor,” katanya menambah kaki Tabah bagaimana pun terpaksa dipotong.

Nazirah berkata, walaupun beliau menghabiskan banyak wang untuk kos rawatan Tabah, namun beliau tetap gembira kerana Tabah dilihat begitu cergas dan bersemangat.

Namun, katanya umur 'Tabah' tidak panjang, kerana ia mati akibat Leukemia pada November 2018.

Selepas kematian Tabah, dek terlampau cinta dan kasih terhadap haiwan comel ini, Nazirah sanggup datang ke ibu negara untuk mengambil anak kucing yang putus kedua-dua tanganya di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cheras, akibat tersepit dalam enjin sebuah trak forklift.

“Mama terbaca berita mengenai kucing itu dan terus membuat keputusan untuk mengambil dan menjaganya,” katanya.

“Kucing yang saya namakan ‘Tuah Ramadan’ itu diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn di Balakong, Cheras” katanya sambil menambah beliau ada juga mengambil kucing peliharaan yang ditinggalkan tuan akibat sakit di Pejabat Veterinar Bukit Minyak, Seberang Perai.



HAIWAN JUGA PERLU DIKASIHI

Nazirah berkata masyarakat perlu mempunyai perasaan belas kasihan terhadap haiwan jalanan,dan kucing peliharaan kerana mereka mengharapkan manusia untuk mendapatkan perlindungan dan makanan.

"Kita perlu menganggap haiwan kesayangan sebagai sebahagian daripada keluarga dan bukan sebagai haiwan ternakan. Kita perlu menjaga haiwan itu hingga ke akhir hayat. Jika sakit bawa ke klinik untuk rawatan,” katanya.

Beliau juga meminta masyarakat agar tidak meninggalkan kucing peliharaan di jalanan kerana haiwan itu sukar untuk berdikari.

“Sebelum ni, mereka ada tuan yang menguruskan makanan dan tempat tingal. Tindakan meninggalkan kucing belaan di pasar atau kedai makan amat tidak selamat untuk haiwan, ia sangat bahaya,” katanya dengan penuh harapan.



Disunting oleh Rafe'aton Md. Ali

BERNAMA












       Berita Utama Terdahulu