Peruntukan RM86,000 disalur kepada balai bomba dan penyelamat, persatuan bomba sukarela [ 3m ago ]

Berita RENCANA


Semarak Kraf Seiring Wawasan Kemakmuran Bersama

Tarikh kemaskini: 04/11/2019
Peserta Projek Semarak Kraf Orang Asli Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak turut diajar kraf tekstil batik teknik ikat celup. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Sakini Mohd Said

SUNGAI SIPUT (Bernama) -- Dewan Arena Pos Kuala Mu yang dijadikan kelas untuk pembelajaran aneka kraf rimba di perkampungan Orang Asli suku kaum Temiar ini masih lagi lengang.

Meskipun jarum jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi, bilangan peserta yang berada di dalam dewan tidak sampai 10 orang!

Keadaan itu membuatkan salah seorang peserta program, Senuara M Raffi, 27, berasa agak kecewa dengan sikap sambil lewa sesetengah anggota masyarakat di situ kerana tidak memanfaatkan peluang mendapat kemahiran baharu.

Apatah lagi lokasi penempatan mereka terletak agak jauh tersembunyi di dalam Hutan Simpan Piah. Perjalanan dengan kenderaan ke Pos Kuala Mu dari pekan Sungai Siput mengambil masa kira-kira dua jam .

Lokasi yang agak jauh itu juga mungkin membuatkan tidak banyak organisasi atau pertubuhan yang mahu menganjurkan kelas sedemikian.



PELUANG KEEMASAN
Antara yang diajar di kelas Projek Semarak Kraf Orang Asli Pos Kuala Mu ialah kraf anyaman rotan seperti rantai kunci, anting-anting, cincin, rantai, pelapik cawan dan bakul mini di samping pembelajaran kraf tekstil batik teknik ikat celup. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA



Atas sebab itulah, Senuara, suri rumah sepenuh masa dan ibu kepada dua orang anak berpendapat amat sayang sekali sekiranya peluang keemasan tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Pos Kuala Mu yang meliputi empat buah kampung iaitu Kampung Mu, Kampung Toh, Kampung Gapeh (Kampung Gapeh Hilir dan Kampung Gapeh Hulu) mahupun Kampung Bersah ini.

"Saya memang bersemangat kalau ada program begini dan biasanya akan datang awal untuk tolong apa yang patut. Ini kerana sepanjang 27 tahun membesar di sini, inilah pertama kali ada pihak luar datang mengajar kami secara percuma buat kraf rotan dan batik.

“Ini yang membuatkan saya rasa malu kepada pihak penganjur kalau melihat tidak ramai datang, rugilah. Biasanya saya akan pergi ke rumah kawan-kawan dan nasihat mereka untuk datang.

“Selepas banyak kali dipujuk, mereka mula sedar dan semakin ramai yang aktif datang kelas. Boleh dikatakan, kelas berikutnya sentiasa penuh,” ceritanya kepada Bernama.

Senuara adalah antara peserta Projek Semarak Kraf Orang Asli Pos Kuala Mu, program inisiatif Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia). Bernama berpeluang menemubual wanita keturunan Temiar semasa pelancaran projek tersebut di perkampungan ini pada 10 Okt lepas.

Bagi diri Senuara, kemahiran kraf anyaman aksesori rotan yang dipelajari sudah tentu dapat menyuntik nilai komersial untuk produk warisan yang mereka hasilkan supaya menjadi lebih unik dan menarik untuk dijual kepada para pelancong.

Antara yang diajar di kelas tersebut ialah kraf anyaman rotan seperti rantai kunci, anting-anting, cincin, rantai, pelapik cawan dan bakul mini di samping pembelajaran kraf tekstil batik teknik ikat celup.



TUMPUAN PELANCONG



Bagi anak keenam daripada 3 beradik ini, selain mempelbagaikan ilmu kemahiran, dia mempunyai sebab yang lain untuk begitu teruja dan bersemangat sekali menyertai kelas pembelajaran kraf tersebut.

Senuara sebenarnya sudah lama menyimpan impian untuk memiliki sebuah kedai kecil menjual cenderamata, khususnya produk Pos Kuala Mu.

Program Semarak Kraf yang bermula sejak September 2019 dilihat sebagai landasan terbaik untuk wanita ini menjadikan impiannya menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Senuara melihat potensi ekopelancongan di kawasan perkampungannya yang terletak di tanah tinggi Banjaran Titiwangsa ini kaya dengan khazanah alam semula, boleh diperkukuhkan lagi dengan kewujudan kedai cenderamata.

"Pos Kuala Mu memang terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara. Jalan bengkang-bengkok yang perlu diredah dari pekan Sungai Siput ke kampung ini sudah berturap sepenuhnya pada tahun 2017. Jadi semakin ramai pelancong datang setiap hari minggu mahupun menjelang cuti sekolah.

“Kebiasaannya, pengunjung akan tertanya-tanya mana kedai cenderamata. Mereka ingin bawa balik sesuatu berkaitan tempat ini sebagai kenangan atau diberikan kepada rakan selain daripada buah-buahan tempatan mahupun petai, “katanya.

Menurut Senuara, hanya terdapat sebuah kedai cenderamata di kampung itu dan produk yang dijual adalah seperti tikar mengkuang dan bakul biasa yang digunakan oleh masyarakat orang Asli untuk pergi ke kebun.

Pos Kuala Mu terkenal dengan aktiviti alam semula jadi seperti mendaki bukit, mandi sungai, menikmati buah-buahan tempatan dan juga melihat sendiri aktiviti kehidupan Orang Asli seperti menyumpit.



APA ITU SEMARAK KRAF?



Semarak Kraf mempunyai matlamat sangat penting untuk membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu yang terdiri daripada golongan belia/beliawanis, Orang Kelainan Upaya (OKU), komuniti B40 sama ada di bandar mahupun desa, suri rumah, ibu tunggal dan juga Orang Asli serta kaum etnik Sabah dan Sarawak.

Sejak pelaksanaannya pada awal Feb ini, sebanyak 12 projek Semarak Kraf dilaksanakan di seluruh negara. Kraftangan Malaysia turut mendapat sokongan dan kerjasama strategik daripada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam merealisasikan objektif berkenaan.

Menurut Abdul Rahman Omar, Pengarah Seksyen Pembangunan Usahawan Kraf Bahagian Pembangunan Industri, Kraftangan Malaysia, antara objektif projek ini adalah memberi pendedahan dan memupuk minat kepada kumpulan komuniti mengenai produk kraf tempatan.

“Usaha ini dapat memartabatkan hasil industri kraf, meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan serta merancakkan taraf ekonomi penduduk setempat.

“Penentuan kursus kemahiran produk kraf adalah berlainan bagi setiap kawasan. Ia bergantung kepada kesesuaian tempat dan budaya sesuatu masyarakat,” jelasnya.

Untuk projek Semarak Kraf Orang Asli Pos Kuala Mu, ia adalah projek perintis bagi pembangunan komuniti kraf dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Ia turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) cawangan Perak.

Projek ini melibatkan seramai 40 penduduk masyarakat Orang Asli Pos Kuala Mu. Seramai 20 orang adalah untuk pembelajaran anyaman aksesori rotan manakala selebihnya adalah untuk kraf tekstil batik teknik ikat celup.

Abdul Rahman menambah, projek ini bermula pada Sept lepas dengan kelas yang diadakan selama tiga hari di bawah fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ia kemudian diikuti dengan Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf (Fasa 1) pada 8 hingga 10 Okt lepas.

“Kraftangan Malaysia juga akan meneruskan lagi dua aktiviti Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf untuk aksesori anyaman rotan dan kraf tekstil ikat celup menerusi fasa 2 pada Januari 2020 dan fasa 3 pada Jun 2020.

"Ini bagi memastikan komuniti ini kekal komited menjadikan industri kraf sebagai cabang menjana pendapatan,” katanya.



WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA



Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata, kemahiran yang diajar kepada masyarakat Orang Asli di kawasan itu adalah bertepatan dengan masanya memandangkan tahun depan merupakan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020),

"Selain mengajar kemahiran, mereka juga didedahkan dengan strategi pemasaran produk kraf yang dihasilkan dengan membawa peserta di sini mengikuti beberapa program promosi seperti di Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

“Ini bukan kali pertama. Sebelum ini, kami pernah mengadakan program yang sama di Lahad Datu, Sabah. Kita bawa peserta kraf yang terlibat untuk menyertai mana-mana promosi besar supaya mereka ada keyakinan bahawa produk dihasilkan boleh dijual,” katanya.

Menyedari kemahiran teknologi amat penting pada masa kini, beliau berkata masyarakat Orang Asli di perkampungan itu juga akan diajar teknik pemasaran melalui media sosial sebagai memperluaskan lagi jaringan pemasaran produk mereka.

Dalam masa yang sama, produk kraf yang dihasilkan Pos Kuala Mu akan dijual di seluruh butik Karyaneka.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Isa Ab Hamid berkata projek Semarak Kraf ini adalah sejajar dengan konsep kesaksamaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang memastikan golongan minoriti masyarakat Orang Asli tidak terpinggir dalam arus pembangunan pesat negara.

"Saya harap 40 peserta ini akan terus komited. Masyarakat Orang Asli perlu ambil peluang untuk bangunkan industri kraftangan warisan mereka supaya turut sama berdaya saing di luar,” katanya.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff



-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu