JKKP terima 7,258 kes penyakit, keracunan pekerjaan tahun lepas [ 2m ago ]

Berita RENCANA


Dasar Inklusif, Peluang Saksama Untuk Pelajar OKU

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kekurangan kemudahan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) adalah antara punca kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta sukar untuk menerima kemasukan pelajar golongan itu.

Menurut Dr Ruzita Mohd Amin, Profesor Ekonomi yang juga Ketua Unit Perkhidmatan OKU (DSU) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kebimbangan tidak dapat memenuhi keperluan pelajar OKU bagaimanapun tanpa disedari menafikan hak mereka untuk menempatkan diri ke menara gading lebih-lebih lagi di universiti pilihan.

“Disebabkan alasan itu, kita seolah-olah tidak memberi peluang yang saksama kepada pelajar OKU.

“Jadi untuk mengelak perkara ini berterusan kerajaan baru-baru ini melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di IPT dalam usaha memperbaiki serta menaiktaraf kemudahan dan sistem sokongan di universiti supaya mereka tidak perlu lagi menolak permohonan pelajar OKU untuk melanjutkan pelajaran,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ruzita yang juga OKU dari segi fizikal dan menggunakan kerusi roda bermotor untuk memudahkan pergerakannya, memulakan karier beliau di UIAM sejak 1987.



SISTEM SOKONGAN

Menerusi garis panduan yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia itu, kesemua 20 universiti awam di seluruh negara wajib melaksanakan Dasar Inklusif OKU dan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU bermula sesi kemasukan pelajar 2019/2020.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 5 Sept lepas berkata, Dasar Inklusif OKU dilaksanakan bertujuan menghapuskan pengasingan pelajar OKU daripada pelajar lain di samping memastikan kemudahan dan sistem sokongan pendidikan berterusan diberikan kepada pelajar OKU yang berjaya mendapat tempat di universiti awam dan swasta.

Antara universiti awam dan swasta yang menggubal dan mula melaksanakan Dasar Inklusif OKU ialah UIAM, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Nottingham.

Mengulas lanjut, Ruzita berkata ??kemudahan yang dimaksudkan bukan semata-mata dari segi fizikal yang merangkumi infrastruktur dan prasarana seperti bangunan dan kelas yang mesra OKU sebaliknya turut melibatkan sistem sokongan bagi proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

“Sistem sokongan ini antaranya dalam bentuk kelonggaran atau fleksibiliti yang diberikan kepada pelajar OKU. Ini termasuklah masa tambahan ketika menduduki peperiksaan, menjalani peperiksaan di tempat berasingan disebabkan keperluan khusus serta kelonggaran dari segi jumlah maksimum tempoh pengajian mereka.
Dr Ruzita Mohd Amin bersama seorang penuntut OKU UIAM, Muhammad Salim Harmanain, 29. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Mereka adakalanya tidak mampu untuk mengambil beban kerja yang sama dengan pelajar lain (bergantung kepada tahap ketidakupayaan mereka). Perkara ini perlu diambil kira, sama juga seperti program pendidikan khas atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang ada kelonggaran tertentu untuk pelajar OKU di sekolah,” katanya.

Menurut Ruzita, DSU di UIAM ditubuhkan pada 2012 bagi memberi sokongan kepada pelajar OKU dari pada pelbagai kategori dalam semua aspek pengajian dan kehidupan di universiti, membantu kakitangan dan pelawat OKU, dan yang terkini perkhidmatannya diperluas bagi membantu kumpulan kakitangan (akademik dan bukan akademik) yang mempunyai anak-anak OKU.

Pendekatan yang diambil dalam mengatasi perkara yang menjadi halangan fizikal, komunikasi, sistem dan juga sikap kepada suasana inklusif termasuklah penyediaan peralatan sokongan seperti kerusi roda bermotor (termasuk penyelenggaraan), alat prostetik seperti kaki palsu, alat bantuan pendengaran dan ‘ipad’ bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan.



PERKASA OKU

Ruzita menambah, memperkasa golongan OKU melalui pendidikan adalah jalan terbaik bagi membantu mereka berdikari dan seterusnya menyumbang kembali kepada bangsa dan negara.

Kerajaan, kata beliau, perlu memastikan sistem pendidikan dan infrastruktur di negara ini terutama di sekolah dan universiti bersifat kondusif untuk pelajar OKU.

“Kekangan kewangan itu memang ada untuk menyediakan kemudahan lengkap di semua institusi. Oleh itu, pendidikan sebenarnya tidak boleh berdiri sendiri tetapi memerlukan ekosistem yang lengkap di setiap peringkat.

“Contohnya daripada aspek prasarana di tempat tinggal OKU, kemudahan pengangkutan untuk memudahkan pergerakan mereka di sekolah atau universiti termasuk dalam penglibatan aktiviti pembangunan sahsiah dan kokurikulum… semuanya perlu bersifat komprehensif.

“Untuk itu kita mungkin boleh melaksanakan inisiatif kerjasama awam-swasta, tanggungjawab sosial korporat oleh pihak swasta dan sebagainya terutama dalam usaha menaik taraf bangunan dan kemudahan sedia ada supaya lebih bersifat mesra OKU. Usaha ini boleh dilakukan secara berperingkat sebab kita sedia maklum ia memerlukan masa untuk melaksanakannya,” katanya.

Menjelang Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan pada Jumaat 11 Okt, Ruzita berharap kerajaan turut menyediakan peruntukan khusus bagi menaik taraf sistem pendidikan di universiti dan sekolah terutama bagi memenuhi hak dan keperluan golongan OKU.

Menurut beliau, bagi mencapai matlamat pendidikan bertaraf dunia, ia juga bermaksud tidak akan ada pihak yang terpinggir dalam sistem pendidikan negara.

“Kalau nak capai world class university, kita juga perlu bersedia untuk memastikan nilai kebersamaan sistem pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan pelajar termasuk OKU, tanpa halangan dan rasa sukar disebabkan ketidakupayaan mereka.

“Di samping itu, komuniti universiti yang terdiri daripada kakitangan pentadbiran, pensyarah dan mereka yang terlibat perlu mempunyai kesedaran OKU, kemahiran berkaitan pendidikan inklusif termasuklah memahami keperluan pelajar OKU yang terdiri daripada berbagai kategori,” katanya.

Sehingga September 2019, terdapat 92 orang pelajar OKU di UIAM daripada tujuh kategori ketidakupayaan iaitu OKU penglihatan, pendengaran, fizikal, pertuturan, pembelajaran, mental dan pelbagai, manakala terdapat 10 kakitangan akademik dan bukan akademik OKU.

UIAM juga katanya turut menyediakan unit rumah kediaman bagi kakitangan OKU dan kemudahan alat bantuan mengajar bagi pensyarah OKU.



ZERO REJECT POLICY

Pensyarah Jabatan Pendidikan Khas, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Kuala Lumpur, Mohd Sabrinordin Mohd Yusoff berkata Dasar Inklusif OKU memperkukuhkan lagi Zero Reject Policy oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini yang dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini bagi murid berkeperluan khas (MBK).

Zero Reject Policy merupakan dasar sedia ada yang dimantapkan daripada segi pelaksanaannya untuk memastikan MBK menerima pendidikan yang selari dengan ketidakupayaan mereka sama ada ke sekolah arus perdana melalui PPKI dan Program Inklusif atau ke Sekolah Pendidikan Khas.

“Saya melihat melalui Dasar Inklusif OKU, sistem sokongan dapat dipertingkat supaya pelajar OKU mendapat akses pendidikan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, sejauh mana kesediaan masyarakat terutama tenaga pengajar IPT sendiri untuk menerima golongan OKU?

“Ada antara mereka yang mempunyai persepsi OKU sebagai kekurangan fizikal semata-mata sedangkan ia terdiri daripada pelbagai kategori. Bagaimana sekiranya mereka perlu berhadapan dengan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran yang turut melibatkan aspek emosi dan tingkah laku, masalah kognitif yang agak rendah dan sebagainya?

“Pendedahan dan kesedaran perlu diberi kepada tenaga pengajar supaya mereka juga lebih memahami keperluan golongan OKU. Mereka juga pada masa sama perlu melihat potensi dan kelebihan yang ada pada golongan OKU supaya tidak menidakkan hak golongan itu untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Beliau menambah, IPG sebagai contoh turut menerima pelajar OKU yang antaranya daripada kategori masalah penglihatan dan pendengaran bagi setiap sesi pengambilan pelajar baru.

“Pada tahun ini pengambilan agak ramai dan mereka diberi peluang memilih pelbagai bidang contohnya opsyen awal kanak-kanak, Pendidikan dengan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), pengajian Bahasa Melayu dan pelbagai lagi berbanding sebelum ini hanya kepada opsyen pendidikan khas sahaja.

“Inilah rentetan inisiatif daripada pelaksanaan Zero Reject Policy. Lebih banyak ruang dan peluang terbuka untuk golongan OKU,” katanya.



PELUANG, BERDAYA SAING

Berkongsi pengalaman, penuntut tahun tiga Ijazah Dasar Sosio-Budaya Melayu, UM, Muhammad Faiz Zainuddin, 23, berkata, pelaksanaan Dasar Inklusif OKU memberi peluang yang lebih cerah kepada pelajar OKU kerana lebih banyak universiti bersedia membangunkan kemudahan dan menawarkan kursus kepada golongan berkenaan.

Beliau yang mengalami cacat penglihatan kategori B2 (rabun teruk) turut menyifatkan perkara itu sebagai lebih menjaga kebajikan pelajar OKU sekaligus menghapus persepsi bahawa mereka dipinggirkan terutama dalam bidang pendidikan.

Anak ketiga daripada lima beradik yang berasal dari Bentong, Pahang, itu berkata pelbagai kelebihan dinikmati hasil inisiatif yang digembleng UM dalam membantu pelajar OKU yang terdiri daripada pelbagai kategori yang memerlukan keperluan berbeza.

“Kemudahan seperti lif, ramp dan bilik kuliah khas antara yang memudahkan pergerakan OKU. Saya turut diberi kebenaran merakam kuliah yang disampaikan pensyarah, bahan pembelajaran dalam format salinan lembut (soft copy) serta mendapat masa tambahan sewaktu menjawab peperiksaaan.

“Sokongan seperti inilah yang banyak membantu pelajar OKU. Jika ia dapat dilaksanakan di lebih banyak universiti ia akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar OKU untuk lebih berdaya saing,” katanya sambil menambah pelajar OKU turut berpeluang menyertai aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka.

Selain berharap setiap universiti terlibat diberi peruntukan sewajarnya bagi membangunkan kemudahan untuk pelajar OKU, beliau berpendapat bantuan kewangan khususnya untuk OKU dari keluarga B40 wajar ditingkatkan selain mewujudkan dana khas bagi tujuan menghasilkan lebih banyak bahan ilmiah yang sesuai berdasarkan pelbagai kategori pelajar OKU.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu