RENCANA

BERSATU DENGAN BAHASA

11/09/2019 05:43 PM

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sejak sekian lama bahasa Melayu menjadi alat perhubungan antara kaum di Malaysia.

Bahasa Melayu juga diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan digunakan dalam pertuturan serta tulisan kerana difahami oleh pelbagai kaum di negara ini.

Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan berkata penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu mencerminkan jalinan hubungan rakyat Malaysia yang harmoni kerana kemampuan pelbagai etnik secara bersama untuk menuturkan bahasa tersebut. 

Menurut beliau, daripada sebelum kemerdekaan negara sehinggalah ke hari ini, hanya bahasa Melayu sahaja yang dapat merentas sempadan ilmu, budaya dan bahasa etnik yang berbeza di negara ini, justeru melayakkan bahasa itu diangkat sebagai bahasa perpaduan.

"Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perdagangan, pendidikan, pentadbiran, undang-undang dan bahasa ketatanegaraan sejak zaman kegemilangan tamadun Melayu di Melaka lagi.

"Para pedagang yang terdiri daripada pelbagai kaum yang datang ke alam Melayu untuk berdagang telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (Lingua Franca) dalam aktiviti perdagangan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

BAHASA KEBANGSAAN MILIK SEMUA

Beliau menegaskan, pada masa kini terdapat keperluan untuk mengubah persepsi rakyat terhadap bahasa tersebut dan hal ini perlulah diberi perhatian oleh kerajaan.  

“Ubah persepsi masyarakat terhadap bahasa Melayu. Jangan anggap bahasa Melayu sebagai milik orang Melayu sahaja

"Kementerian Pendidikan harus mengutamakan usaha untuk mengubah persepsi kaum lain terhadap bahasa Melayu yang mempunyai nilai dalam pelbagai bidang ilmu,” kata Zurinah yang juga penulis wanita pertama menerima Anugerah Sastera Negara pada 2015, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Anak kelahiran Alor Star, Kedah itu juga pernah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award ) pada 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara ASEAN) pada 2013.

Jelas beliau, Kementerian Pendidikan harus mengutamakan usaha untuk mengubah persepsi ini supaya masyarakat berbilang kaum khususnya pelajar sekolah dan generasi muda celik sejarah dan memahami mengapa bahasa Melayu layak dijadikan bahasa perpaduan di negara ini.

Selain itu, beliau turut menggesa pemimpin negara untuk menjadi teladan kepada rakyat dalam mengangkat bahasa kebangsaan.

“Pemimpin mestilah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi samada dalam ucapan, ceramah atau temubual. Jangan menunjuk sikap mengagungkan bahasa Inggeris.

“Sepatutnya ucapan diperindah dengan pantun, sajak dan sebagainya,” kata Zurinah.

 

BAHASA KEBANGSAAN LAMBANG KEPERIBADIAN BANGSA

Penyair dan penterjemah Dr Raja Rajeswari Seetha Rama berkata penggunaan bahasa kebangsaan perlu diperkasa dalam kalangan rakyat.

“Malaysia telah lama merdeka tetapi masih ada rakyat yang tidak tahu berbahasa kebangsaan.

"Tugas mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab setiap insan yang lahir di negara ini,” kata penyair kelahiran Kuala Kurau, Perak itu.

Beliau berkata, bahasa kebangsaan bukan sekadar bahasa tetapi juga lambang keperibadian dan identiti rakyat Malaysia.

“Ke mana-mana kita pergi kita membawa identiti nasional iaitu bahasa kebangsaan kita, dan kita lebih dihormati dan disanjung di pentas antarabangsa apabila kita membawa identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya yang juga seorang penterjemah bertauliah.

Menurut Raja Rajeswari, beliau menerima banyak permintaan pihak luar, seperti dari Sepanyol, India dan Brazil yang mahu mempelajari bahasa Melayu, sekaligus menunjukkan bahawa pihak luar menghayati dan menghargai bahasa tersebut.

“Kadang-kadang saya rasa hairan, bahasa kebangsaan kita mendapat penghargaan yang begitu tinggi di luar negara, tetapi mengapa sikap kita di negara ini sebaliknya,” katanya.

 

CINTA BAHASA

Penyair yang banyak menghasilkan sajak dalam bahasa Melayu itu berkata cintanya pada bahasa kebangsaan bermula pada zaman kanak-kanak lagi dan ibu bapanya juga menggalakkan beliau membaca bahan dalam bahasa Melayu.

Memandangkan kedua-dua ibu bapanya adalah guru, mereka tinggal di kuarters guru dan di situ beliau banyak bergaul dengan pelbagai kaum khususnya orang Melayu.

“Ayah saya seorang juga penyair tetapi beliau banyak berkarya dalam bahasa Tamil. Mungkin saya terpengaruh daripada beliau untuk turut menulis puisi tetapi saya menulis dalam bahasa Melayu kerana saya lebih selesa dengan bahasa ini yang selalu saya gunakan,” katanya yang menghasilkan buku kumpulan puisi persendirian bertajuk Mekar Bunga, Antologi Puisi Bahasa Yang Sama.

Selain itu, puisinya diterbitkan dalam 80 antologi puisi bersama penulis lain.

Antara pengikhtirafan yang diterima Rajeswari termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007, Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI 2018, Anugerah Citra Sahabat Dewan Bahasa dan Pustaka 2016, Anugerah Ekologi Amerika Tengah 2018, Anugerah Mewadev Laurel Amlor Banda 2018 dan Anugerah Srikandi Numera (Nusantara Melayu Raya) 2018.

Naskhah terjemahan beliau meliputi koleksi puisi penyair tersohor antarabangsa seperti penyair Bangladesh Aminur Rahman, penyair Russia Viacheslav Kupriyanov, penyair Portugal Mario Do Sameiro Barroso dan Penyair India Swapna Behera, yang diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Beliau yang juga pemegang ijazah Doktor Falsafah Universiti Melayu dalam bidang Kesusasteraan Melayu itu aktif menterjemahkan puisi untuk majalah Point Editions di Sepanyol dan blog Poetry Bridges di Poland.

 

PADAM SYAK WASANGKA DENGAN BAHASA

Sementara itu, penyair Lim Swee Tin berkata rakyat Malaysia akan mampu menyelesaikan banyak salah faham dan keraguan seandainya penguasaan bahasa Melayu diperkukuh dan dipraktikkan dalam segala jurus kehidupan.

“Ia (bahasa Melayu) mudah untuk kita jadikan bahasa perhubungan. Melalui bahasa Melayu kita dapat satukan hati dan perasaan kerana ia memadamkan syak wasangka, curiga-mencurigai dan jurang yang ada antara kaum dan bangsa.

“Sekarang banyak salah faham berlaku. Takkanlah setelah merdeka 62 tahun, untuk memahami pertuturan, pendapat dan ucapan kita masih menggunakan khidmat penterjemah,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Lim berkata, mungkin ada pihak yang mempersoalkan apa kaitan cinta kepada negara dengan bahasa, namun beliau yakin dengan menghormati dan kemudian menggunakan dengan meluas bahasa Melayu prasangka sesama kaum dapat dielakkan.

“Perasaan kekitaan mudah dipupuk. Rasa pemilikan pada bahasa ini pula memudahkan kita tambah memperkasakan penggunaannya,” ujar pensyarah Universiti Putra Malaysia itu.

Beliau memberi contoh isu pengenalan tulisan Jawi dan khat yang diperbesar oleh sesetengah pihak yang tidak memahami kedudukan bahasa Melayu dengan jelas.

"Malaysia (secara umumnya) tiada masalah. Yang bermasalah adalah sekerat dua ahli politik yang celupar. Jawi itu ilmu," katanya.

Menurut Lim beliau sudah mengenali tulisan Jawi sejak tahun 1959 iaitu semasa di sekolah rendah lagi.

“Saya sedih, teramat sedih. Saya berduka. Hanya kerana mengajar khat sudah dianggap proses Islamisasi," katanya.

 

KAJI CARA PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DI SEKOLAH

Lim turut berpendapat terdapat keperluan untuk mengkaji semula cara pembelajaran bahasa Melayu di sekolah yang disifatkan beliau terlalu idealistik.

Jelas beliau, pembelajaran bahasa Melayu pada masa kini membolehkan seseorang pelajar lulus peperiksaan dengan cemerlang tetapi gagal mempraktikkan bahasa itu dalam kehidupan harian. 

“Pada tahap awal persekolahan tekankan aspek komunikasi. Tidak perlukan disogokkan ilmu tatabahasa yang berat-berat.

“Utamakan bagaimana anak-anak kita dapat berkomunikasi dengan berkesan melalui bahasa Melayu dan bagaimana mereka boleh memberi pendapat dan pandangan, boleh bercakap tentang perihal kenegaraan, kehidupan, kerjaya dan kemasyarakatan dengan baik,” cadang beliau yang juga merupakan bekas guru.

Katanya, penekanan pada aspek yang lebih berat seperti tatabahasa dan semantik boleh dilakukan pada peringkat yang lebih tinggi.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan