RENCANA

PERPADUAN: CUKUPKAH SUMBANGAN KITA?

23/08/2019 11:18 AM

Oleh Ravindran Raman Kutty

Penulis Ravindran Raman Kutty adalah seorang pengamal komunikasi dan felo Institut Perhubungan Awam Malaysia.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Menjelang Hari Kebangsaan yang akan kita raikan tidak lama lagi, marilah kita sekali lagi mengimbau perkara yang telah dan sedang berlaku serta tahap perpaduan yang kita nikmati setakat ini. Tepuk dada dan tanyalah apa sumbangan kita dan sama ada sudah cukupkah apa yang kita lakukan?

Apakah kita masih dibebani perbezaan dalam kalangan masyarakat kita atau menghitung banyaknya perkara yang menjadikan kita semakin bersepakat dan mendapat berkat sebagai sebuah komuniti?

Lihatlah kepada negara lain serta kefahaman rakyat mereka tentang kemerdekaan dan perpaduan. Lihat bagaimana patriotiknya rakyat Perancis, sementara rakyat Jerman pula sudah melupai Tembok Besar Berlin dan begitu teguh perpaduan sesama mereka. Negara China pula kini muncul sebagai kuasa ekonomi dunia terbesar di dunia.

Memandangkan Hari Kemerdekaan akan disambut tidak berapa lama lagi, saya secara peribadi teringat kepada bekas Menteri Penerangan, Allahyarham yang mesra dikenali sebagai Tok Mat, Mat Setia dan malahan Mat Propaganda. Allahyarham Tok Mat akan sentiasa dikenang kerana memperkenalkan program Semarak atau 'Setia Bersama Rakyat', yang bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. 

 

Cuba kita tanya soalan - setinggi mana tahap patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia hari ini? Berapa ramai antara kita yang mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, pejabat atau pun di dewan komuniti?

Sepanjang perayaan Bulan Kemerdekaan, apa program yang perlu rakyat Malaysia sertai untuk meningtkatkan semangat perpaduan dan cintakan tanah air ini?

Negara kita ini unik kerana penduduknya yang berbilang kaum dengan pelbagai kebudayaan dan kita sudah sekian lama hidup penuh harmoni.

Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila tahap toleransi serta saling faham-memahami agama dan kebudayaan masing-masing kian terhakis.

Namun, masyarakat kita yang dikenali dengan sifat penyayang sekali lagi menjadi tumpuan baru-baru ini. Pasukan polis kita dan lebih 350 orang sukarelawan daripada semua kaum dan kepercayaan berganding bahu untuk mencari remaja perempuan warga Ireland, Nora Quoirin,15, yang hilang. Remaja ini datang ke negara ini dari United Kingdom untuk bercuti bersama keluarganya di sebuah pusat peranginan di Seremban, Negeri Sembilan. (Kira-kira 10 hari kemudian, mayat remaja ini ditemui berhampiran kawasan sungai di dalam hutan berhampiran pusat percutian itu).

Semangat kental kumpulan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat remaja ini amat membanggakan. Ibu bapa Nora turut dilaporkan memuji komitmen mereka yang bersungguh-sungguh mencari anak gadis mereka yang hilang itu.

Kemudian kita dikejutkan pula dengan insiden melibatkan perselisihan faham yang berakhir dengan kematian seorang lelaki berusia 29 tahun di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bangi, Kajang. Sesungguhnya kita amat kecewa dengan insiden ini yang menunjukkan ada ketikanya segelintir rakyat Malaysia hilang pedoman apabila memandu di jalan raya.

Bagaimanapun, insiden ini tidak ada kena mengena langsung dengan sebarang isu rasis. Dalam apa juga keadaan, memukul orang adalah satu jenayah dan saya secara ikhlas berharap pihak yang terlibat akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

 

Secara umumnya saya boleh katakan rakyat Malaysia adalah pengasih dan penyayang. Ada ketikanya timbul isu tertentu untuk menguji sejauh mana teguhnya perpaduan dalam masyarakat kita. Kita pernah berdepan dengan konflik perkauman pada masa lalu tetapi saya berpendapat perpecahan antara kita akan bertambah buruk sekiranya kita tidak menangani isu ini secara terbuka dan telus.

Rumah adalah tapak utama untuk membangunkan minda anak-anak kita. Tahun-tahun pembentukan minda anak-anak antara umur setahun dan lima tahun adalah kritikal.

Anak-anak mesti dididik untuk hidup dalam lingkungan masyarakat berbilang kaum dan berlainan agama serta kebudayaan dengan penuh harmoni dan cuba menyesuaikan diri dengan cara hidup masing-masing.

Kita tidak boleh membenarkan ahli politik memecah-belahkan kita. Kita perlu kekal bersatu untuk menangkis sebarang ancaman sosial, agama, ekonomi dan politik.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalin identiti kebangsaan dan tidak mudah tunduk kepada sebarang ancaman yang mungkin menjejaskan ikatan perpaduan yang sedia terjalin. Kita mesti bersatu supaya negara kita dapat menjadi kuasa yang disegani di Asia.

Kemerdekaan negara adalah kebanggaan kita dan ia adalah berkat kegigihan serta komitmen pemimpin-pemimpin negara terdahulu. 

Negara -negara jiran kita dilaporkan menikmati pertumbuhan dua angka dan mencatat impak besar ke atas ekonomi mereka. Malahan Bangladesh menunjukkan kemajuan menggalakkan dalam industri tekstil. 

Sehubungan dengan itu, kita rakyat Malaysia perlu berganding bahu untuk membina sebuah negara yang teguh. Abaikan segelintir ahli politik yang suka membuat kacau. Sebaliknya, berpadu tenaga dengan 99 peratus yang mahu menyumbang yang terbaik untuk negara.

Hari Kebangsaan tahun ini perlu disambut dengan semangat baru. Setiap seorang daripada rakyat Malaysia mesti tahu dirinya adalah komponen negara yang hebat ini.

"Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih".

 

(Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata)

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan