RENCANA

KOMUNITI PENTING DALAM PEMBANGUNAN GEOPARK

31/05/2019 11:48 AM

Oleh Noorazlina Jindeh

Bahagian akhir artikel dua siri mengenai proses penilaian Geopark Kinabalu untuk diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan. Bahagian ini membawa pembaca ke beberapa geotapak di daerah Kota Belud dan Kota Marudu yang dilawati para penilai baru-baru ini.

 

KOTA BELUD (Bernama) -- Kampung Kiau Nuluh terletak di kaki Gunung Kinabalu, kira-kira 70km dari sini (Kota Belud) adalah antara geotapak Geopark Kinabalu yang dinilai oleh Jawatankuasa Pelaksana (JKP) Geopark Kebangsaan baru-baru ini.

Geopark Kinabalu akan diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan apabila penilaian ke atas geotapak yang terletak dalam kawasan seluas 4,750 kilometer persegi, meliputi sebahagian daripada daerah Ranau, seluruh kawasan Kota Belud dan Kota Marudu, mendapat kelulusan JKP Geopark Kebangsaan. 

Wujud sejak sebelum 1924, kampung yang kaya dengan sejarah dan budaya itu terletak pada ketinggian 600 hingga 1,400 meter dari aras laut dengan dikelilingi hutan hujan tropika.

Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kampung Kiau Nuluh memakan masa kira-kira dua jam termasuk laluan merentasi Sungai Kadamaian dan melalui dua buah kampung iaitu Kampung Taburi dan Kampung Tomodo (Kampung Bersatu).

Walaupun kedudukannya agak terpencil, kampung yang dihuni kira-kira 2,000 penduduk itu giat menjalankan aktiviti inap desa sejak dua tahun lalu.  Apabila Geopark Kinabalu disenaraikan sebagai Geopark Kebangsaan, pastinya industri inap desa di sini lebih berdaya maju.

Sejumlah 14 daripada 100 buah rumah di kampung itu terlibat dalam industri inap desa yang dilaksanakan bagi meningkatkan sosioekonomi penduduknya - terdiri daripada suku kaum Dusun.

 

MALIM GUNUNG

Penasihat Geopark Kinabalu, Prof Dr Felix Tongkul, 59, berkata Kampung Kiau Nuluh dicadangkan sebagai tapak kebudayaan bukan sahaja kerana kedudukannya berhampiran kaki Gunung Kinabalu malah kerana kaya dengan sejarah dan budaya tersendiri.

Kampung itu bukan sahaja pernah menjadi laluan ke puncak Gunung Kinabalu malah penduduknya merupakan yang pertama menjadi malim gunung. Sehingga kini kebanyakan malim gunung berasal dari kampung itu.

“Melalui konsep geopark, masyarakat setempat membantu menjaga kawasan berkenaan yang berada di luar kawasan Taman Kinabalu. Selain itu dapat memperkenalkan industri inap desa termasuk produk masyarakat setempat ke peringkat dunia,” katanya.

Sementara itu Penyelaras Guas Nabalu Homestay, Hanteh Ginsos, 32, memberitahu Bernama bahawa Kampung Kiau Nuluh wujud sebelum 1924.

Pentadbir British yang merupakan seorang ahli alamiah, Sir Hugh Low adalah orang asing pertama mendaki Gunung Kinabalu pada 1851.  Pendakian kedua Low pada 1858 menggunakan khidmat orang tempatan serta laluan di situ - ketika itu kawasan berkenaan masih berhutan.

“Bagaimanapun, orang-orang lama kampung yang memang arif dengan kawasan itu kerana sudah lama berburu di situ, tidak mendokumentasi laluan berkenaan kerana ketika itu tidak ada yang tahu menulis,” jelas beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Geologi dan Ijazah Sains Gunaan Geofizik.

 

KEUNIKAN KAMPUNG

Ginsos yang bertugas di sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Pulau Pinang berkata sejak inap desa di kawasan tanah tinggi itu beroperasi, ramai pelancong asing berkunjung ke sana, antaranya dari Jerman, China, Amerika Syarikat dan Singapura.

Antara aktiviti inap desa itu adalah meredah hutan ke Air Terjun Diba Titiu yang setinggi kira-kira 300 meter, mendaki bukit Nuluh Lingion (1,420 meter), melawat kebun nanas dan menikmati makanan tradisional.

“Kampung ini ada keunikan tersendiri, selain suhunya sederhana sejuk, terdapat spesies haiwan dan tumbuhan endemik sebagai tarikan pelancong,” katanya sambil menambah bahawa selain berulang-alik ke kampung, kemudahan teknologi memudahkan perhubungan dengan pembantunya ‘menguruskan’ inap desa itu apabila bertugas di Pulau Pinang.

Antara haiwan endemik adalah Whitehead’s Broadbill’, Kupu-kupu Raja atau Borneo birdwing, Giant Red Leech (sejenis lintah), Black Shrew (mamalia terancam yang kelihatan seperti tikus dan hanya terdapat di Gunung Kinabalu). Paphiopedilum rothschildianum (okid selipar) adalah antara tumbuhan endemik di kampung itu.

“Inap desa ini menjalin kerjasama dengan ejen pelancongan yang membantu mempromosi kampung Kiau Nuluh kepada pelancong,” katanya yang berharap kampung itu menjadi pusat penyelidikan alam sekitar dan spesies haiwan endemik dalam tempoh lima hingga 10 tahun kelak.

 

‘TOPI RAJA’

Semasa lawatan JKP Geopark Kebangsaan ke kampung itu, pelbagai makanan tradisi dihidangkan antaranya bosou nangka (makanan tradisi menyerupai pekasam atau jeruk), ayam kampung sup kundur, sayur campur tombotung (sejenis sayur)/kantan/bilis, serunding bunga betik, taduk(keladi) masak asam, ubi keladi liar, ikan basung pinarasakan (masakan ikan selayang) dan ikan masin lada putih (cili padi putih).

Lebih menarik, makanan itu dihidangkan dalam batang buluh dan menggunakan sudu, mangkuk serta cawan juga diperbuat daripada buluh.

Nasi daripada padi bukit dihidangkan dalam bungkusan (linopot) - menggunakan daun mangaung dan daun tintap. Ada kalanya nasi dihidang dalam tempurung kelapa yang diukir cantik.

Penilaian seterusnya adalah di Kampung Lingkungan,  24 kilometer dari pekan Kota Belud, di mana terdapatnya sebuah bongkah batu besar dinamakan ‘Topi Raja’.

‘Topi Raja’ adalah sebahagian daripada batu granit berasal dari Gunung Kinabalu, dibawa arus lumpur ketika pencairan glasier sekitar 10,000 tahun lalu sebelum diendapkan di bawah permukaan tanah di situ.

Bentuk alur pada bongkah batu terjadi daripada hakisan air bawah tanah dan kemudiannya terdedah ke permukaan bumi.

Selain bongkah itu, terdapat empat lagi bongkah ditemui iaitu di Kampung Lobong-Lobong, Kampung Podos, Kampung Sayap dan Kampung Langsat - kesemuanya di daerah Kota Belud.

 

WALAI TOBILUNG

Destinasi terakhir adalah Walai (rumah) Tobilung di Kampung Minansad kira-kira 20 kilometer dari pekan Kota Marudu.

Ketibaan rombongan penilai dan pemerhati disambut oleh komuniti Dusun Tobilung dengan mempersembahkan kemahiran bermain alat muzik tradisional seperti kulintangan (seperti idiofon), sompoton (seperti erofon) dan gong mengiringi lagu, ‘Sayang Kinabalu’.

Walai Tobilung dibina pada 2010 bercirikan komuniti etnik Dusun Tobilung, bertujuan  memelihara  dan mengetengahkan budaya serta warisan sebagai salah satu subetnik Kadazan-Dusun, selain digunakan  untuk  meraikan  tetamu, perkahwinan, demonstrasi  dan  menjual produk  tempatan serta penginapan.

Rumah tradisional berbentuk pentagon itu dibina menggunakan hasil hutan seperti kayu, buluh dan rotan manakala atapnya daripada daun nipah.

Antara yang dipamerkan termasuk alat menangkap ikan daripada buluh, tudung saji, nyiru, gong, pasu dan dapur kayu yang digunakan pada zaman dahulu.

Sejak 2017, pelbagai aktiviti diaktifkan khusus untuk pelancong ke Walai Tobilung - dibuka setiap hari dari 8 pagi - 5 petang kecuali pada hari Ahad.

 

KETERBUKAAN KOMUNITI

Penilai JKP Geopark Kebangsaan Dr Tanot Unjah, 43, berkata tujuan lawatan ke geotapak adalah untuk melihat lebih dekat lokasi masing-masing, biologi dan budaya seperti yang terkandung dalam buku cadangan (dossier).

Pensyarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata buku cadangan berkaitan menyenaraikan kawasan geotapak yang berpotensi untuk dijadikan Geopark Kebangsaan di tiga daerah berkenaan iaitu Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu.

Antara kriteria penilaian termasuk melihat kewujudan tapak geologi, biologi dan keterbukaan komuniti untuk menerima pembangunan jika kawasan itu dijadikan Geopark Kebangsaan.

“Kita bukan sekadar melawat tapak geologi, warisan sejarah malah tempat makan, selain kemudahan asas jika kawasan itu dibuka untuk pelancongan, sama ada bersedia memberi penginapan, bersesuaian atau tidak.

“Di sini saya dapati tapaknya bertaraf antarabangsa seperti yang dinyatakan dalam dossier, bagaimanapun masih ada unsur komuniti yang belum diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata walaupun kesemua geotapak yang dinyatakan dalam dossier tidak dapat dilawati namun lawatan ke beberapa lokasi sudah dapat memberikan gambaran keadaan Geopark Kinabalu itu.

Tambah beliau, penilaian geotapak penting bagi membolehkan penilai membuat laporan sebelum Geopark Kinabalu layak menjadi Geopark Kebangsaan.

Seorang lagi penilai, Dr Sharina Abdul Halim, 40, berkata penglibatan komuniti merupakan aspek utama dalam komponen geopark.

Ketua Program Penyelidikan Warisan Budaya dan Kelestarian, Pusat Penyelidikan Langkawi, LESTARI, UKM, itu berkata taman geologi bukan hanya berkaitan batu-batuan malah melibatkan manusia, masyarakat dan komuniti.

“Usaha pembangunan sesebuah geopark menjadi lebih mudah apabila komuniti dilibatkan secara langsung. Kita lihat usaha itu sudah ada cuma perlu dimantapkan,” katanya.

Proses penilaian itu turut disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Taman-Taman Sabah dan pejabat daerah setiap kawasan.

 

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan