RENCANA

BERITA TIDAK BENAR TERUS BELENGGUI RAKYAT MALAYSIA

17/05/2019 12:57 PM

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

CYBERJAYA (Bernama) -- Penipuan melalui Internet termasuk penyebaran berita tidak benar terus menjadi "duri dalam daging" buat rakyat Malaysia apabila semakin ramai diperdaya sehingga menjadi mangsa jenayah siber sejak 2016.  

CyberSecurity Malaysia (CSM) menerusi pusat aduan rasminya Cyber999 mendapati aduan diterima mengikut sembilan kategori jenayah siber iaitu yang berkaitan kandungan, gangguan siber, penafian perkhidmatan, penipuan, pencerobohan, cubaan pencerobohan, kod hasad, spam dan laporan yang lemah atau mudah terdedah kepada ancaman.

Daripada 2,977 jumlah laporan yang diterima bagi tempoh Januari hingga April 2019, aspek penipuan merupakan laporan tertinggi yang diterima iaitu sebanyak 1,963 diikuti kod hasad (390), pencerobohan (339), berkaitan kandungan (100), gangguan siber (88), spam (37), percubaan pencerobohan (34), laporan yang lemah (21) serta penafian perkhidmatan (lima).

Pada 2018, laporan berkaitan penipuan turut mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 5,123 diikuti oleh cubaan pencerobohan (1,805) dan kod hasad (1,700).

Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan sehingga Disember 2018, Malaysia mempunyai 28.7 juta pengguna Internet yang merupakan 87.4 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 4.2 juta pengguna berbanding 24.5 juta pengguna yang dicatatkan pada 2016.

Sejumlah 39.2 peratus pengguna menghabiskan satu hingga empat jam melayari Internet setiap hari, 23.9 peratus melayari Internet antara lima ke lapan jam sehari, 13.4 peratus menggunakannya antara sembilan ke 12 jam sehari manakala 8.1 peratus pengguna melayari Internet lebih 18 jam sehari.

 

JENIS PENIPUAN

Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata pihaknya mendapati antara kegiatan penipuan Internet adalah penyebaran berita tidak benar, penyamaran identiti dan penawaran perkhidmatan yang tidak wujud.

“Berita, laporan, rakaman audio dan video sama ada yang sepenuhnya tidak benar atau separa tidak benar telah disebarkan, disensasikan oleh pihak tertentu untuk mencemari individu atau organisasi tertentu. Ada kalanya ia bermotifkan keuntungan,” katanya kepada Bernama.

Sifat Internet yang mampu menyebarkan maklumat dengan laju dan membenarkan pengguna mengguna perkhidmatan dengan identiti rekaan adalah antara sebab mengapa penipuan dan penyebaran berita tidak benar dapat dilakukan dengan mudah.

Sikap pengguna yang tidak acuh dengan ketelusan maklumat yang diterima mereka pula memburukkan lagi keadaan.

Amirudin berkata laporan Edelman Trust Barometer 2018 menunjukkan bahawa 73 peratus pengguna Internet di Malaysia bimbang tentang kesan negatif berita tidak benar tetapi pada masa sama, sebanyak 45 peratus daripada pengguna Internet memilih untuk tidak merujuk kepada saluran berita utama bagi mendapatkan sumber berita.

Mereka lebih memilih untuk merujuk kepada sumber yang dikongsi di laman sosial dan ini meningkatkan risiko mereka terdedah kepada berita tidak benar.

“Tambah merisaukan, sebanyak 63 peratus daripada warganet Malaysia tidak dapat membezakan antara berita yang bersifat khabar angin berbanding berita kewartawanan baik,” jelasnya.

Memandangkan warganet tidak mampu membezakan berita benar dan tidak benar, mereka biasanya menerima seadanya sesuatu berita tanpa menyemak kesahihannya.

Kajian organisasi antarabangsa, IPSOS yang berpusat di Paris, Perancis, pula menunjukkan sebanyak 50 peratus warganet Malaysia mempercayai sesuatu berita sehinggalah mereka sedar ia sebenarnya berita tidak benar. 

“Setiap berita tidak benar memberi impak besar kepada persepsi mahu pun reputasi pihak yang terlibat dalam berita itu. Lebih dibimbangkan apabila perkauman, agama dan lain-lain isu sensitif dimainkan kerana ia bukan hanya menggugat individu tetapi turut mengancam kedaulatan negara,”katanya.

Walaupun fakta benar dapat disiarkan untuk menyangkal berita tidak benar namun, persepsi negatif yang disemai tidak mudah dipadamkan dalam masa yang singkat.

 

CAPAIAN MUDAH

Data MCMC menunjukkan 88.6 peratus rumah mempunyai sambungan kepada talian Internet.

Selain itu, terdapat pelbagai sumber capaian Internet bagi rakyat Malaysia seperti perkhidmatan ‘on-the-go’ (68.1 peratus), tempat kerja (56.4 peratus) dan pusat komersial (26 peratus).

Sumber lain termasuklah Wi-Fi percuma (36.3 peratus), menumpang capaian Intenet jiran (38.7 peratus), pusat komuniti (18.2 peratus) dan pusat pendidikan (12 peratus).

Peranti utama yang digunakan pula adalah telefon pintar (93.1 peratus), komputer riba (44.2 peratus) dan komputer meja (28.1 peratus) diikuti tablet (20.4 peratus).

Berikutan itu, pihak berkuasa berdepan cabaran kepelbagaian platform penyebaran maklumat termasuk laman sosial di mana pengguna boleh mencipta identiti palsu untuk membuka akaun dan menyebarkan berita tidak benar.

Penggunaan laman pesanan ringkas seperti WhatsApp, Telegram, Line dan WeChat turut menyumbang kepada penularan berita tidak benar.

Hanya dengan mengirim semula mesej yang diterima, jumlah penerima berita tidak benar boleh meningkat berkali ganda dalam jangka masa amat singkat.

Meskipun ada penyedia perkhidmatan yang mengetatkan syarat untuk menyiar semula mesej namun, dengan jumlah pengguna terkumpul melebihi 1.5 bilion di seluruh dunia, langkah menyekat penularan berita tidak benar bukanlah semudah yang disangka.

 

#MYVIRALVOW

 

Dari aspek penguatkuasaan, kerajaan menyediakan agensi seperti MCMC untuk memantau dan menyiasat sebarang aktiviti melibatkan salah guna Internet melalui peruntukan dalam Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Namun, Amirudin mengakui antara senjata paling ampuh menghadapi berita tidak benar di Internet adalah tahap kesedaran pengguna tentang risiko menyebarkan berita palsu.

Melalui inisiatif CSM, kempen #myviralvow dijalankan sejak 2017 bagi mendidik warganet supaya lebih cakna dalam penggunaan Internet.

“Cara paling baik adalah memberikan pendidikan dan kesedaran kepada pengguna Internet ketika mereka di alam maya. Apabila terima sebarang maklumat, pastikan dahulu sama ada berita itu benar atau tidak.

“Jika benar, apakah berita itu baik dan jika berita itu baik, adakah ia perlu disebarkan atau cukup berita itu tamat setakat pada diri kita sahaja,” katanya.

Amirudin menggalakkan mana-mana pihak yang merasakan mereka menjadi mangsa salah laku penggunaan Internet supaya membuat laporan kepada CSM melalui Cyber999.

Laporan juga boleh dibuat melalui telefon di talian 1-300-88-2999, melalui e-mel  di cyber999@cybersecurity.my, melalui sms di nombor 15888 atau melalui aplikasi pintar Cyber999 yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.

Selain itu, mereka boleh membuat laporan di ibu pejabat CSM di Menara Cyber Axis, Jalan Impact, Cyberjaya.

 

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan