RENCANA

PENTINGNYA AKREDITASI MQA

16/05/2019 03:56 PM

Oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pelaksanaan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) adalah sebahagian daripada strategi penting bagi meningkatkan kualiti dan reputasi sistem pendidikan tinggi negara. 

Agenda itu direalisasikan dengan memastikan ketelusan, objektiviti dan keadilan serta mengintegrasikan amalan bijak antarabangsa dengan nilai-nilai unik pengajian tinggi Malaysia.

Ia juga bagi menjayakan hasrat kerajaan untuk menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada seluruh rakyat.

 

PENTINGNYA AKREDITASI

Secara umumnya, banyak kelebihan yang diperoleh bagi program yang memperoleh akreditasi MQA.

Ini penting kerana program pengajian yang diperakukan oleh MQA dan badan-badan autoriti memiliki kelebihan tersendiri seperti peluang penajaan dari badan-badan penaja serta peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dengan pindahan kredit.

Selain itu, ia memudahkan graduan mencari pekerjaan dan pertimbangan untuk berkhidmat di sektor awam serta institusi berpeluang membuat francais program ke institusi lain.

 

HEBAHAN MAKLUMAT

Hebahan maklumat berkaitan akreditasi dan kualiti pengajian oleh pihak MQA, kementerian dan pelbagai pihak dilaksanakan secara berterusan bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat serantau dan antarabangsa. 

MQA sering mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan atau pihak awam dalam menyebarluaskan maklumat berkenaan jaminan kualiti pendidikan tinggi. 

Ia juga secara berterusan mengadakan sesi dialog bersama-sama pihak berkentingan selain mengadakan Hari Mesra Pelanggan yang diadakan pada setiap Khamis minggu pertama dan setiap Khamis minggu ketiga. 

Di samping itu, MQA secara konsisten menyertai karnival pendidikan atau program pameran dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam dengan turut menerima jemputan untuk menyampaikan taklimat kepada pelajar sekolah atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Selain promosi di media sosial rasmi, MQA juga tampil di radio dan televisyen dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam berkenaan kepentingan akreditasi, panduan pemilihan program yang diakredit dan sebagainya. 

Pada masa ini, kesedaran orang awam terhadap kepentingan akreditasi didapati meningkat dari semasa ke semasa. 

Portal MQR merekodkan peningkatan pelawat yang membuat semakan iaitu sebanyak 313,486 bagi tempoh Januari hingga April 2019 berbanding 253,131 bagi tempoh sama pada 2018. 

Namun, pihak Kementerian Pendidikan dan MQA sentiasa berusaha menyampaikan maklumat berkenaan akreditasi kepada masyarakat agar semua bakal graduan boleh memilih program yang diberi akreditasi.

 

SARANAN

Kepada bakal mahasiswa, sebelum ingin mengikuti mana-mana program di PPT tempatan disaran untuk menyemak status program tersebut sama ada mendapat Perakuan Akreditasi Sementara atau Perakuan Akreditasi Penuh di portal MQA.

Ini sangat penting kerana pengajian dengan akreditasi MQA menjamin pengiktirafan ijazah dan memudahkan laluan kerjaya graduan.

Perkara sama juga perlu dilakukan apabila seseorang ingin melanjutkan pengajian di luar negara dengan memastikan status akreditasi atau pengesahan kualiti oleh pihak berkuasa negara terbabit bagi menjamin penerimaan kelayakan yang diperoleh apabila tamat pengajian kelak.

Pelajar, ibu bapa dan badan penaja dinasihatkan supaya membuat semakan dan mengesahkan status akreditasi atau jaminan kualiti program yang ditawarkan oleh universiti tempatan atau asing sebelum mendaftarkan diri di mana-mana institusi.

Senarai program yang mendapat akreditasi boleh diperoleh dengan menyemak di portal Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di www2.mqa.gov.my/mqr bagi senarai akreditasi penuh.

Semakan juga boleh dibuat di senarai akreditasi sementara di www2.mqa.gov.my/pasp dan Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di www2.mqa.gov.my/esisraf.

 

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan