BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
RENCANA

KEMPEN PEMAKANAN BERKHASIAT UNTUK KANAK-KANAK DI INDIA

18/03/2019 11:45 AM

Oleh Shakir Husain

Pewarta Bernama di New Delhi, Shakir Husain berkongsi perkembangan di ibu negara India.

 

NEW DELHI (Bernama) --  Hampir satu pertiga kanak-kanak di India terbantut pertumbuhan dan separuh daripada penduduk wanitanya pula menghidap anemia.

Sudah tentu statistik ini menggemparkan memandangkan India meletak sasaran ekonomi yang tinggi dan berharap untuk menjadi ekonomi ilmu yang utama dengan kedudukan kukuh dalam modal insan serta perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Sebagai usaha mengurangkan masalah pemakanan tidak seimbang (malnutrisi), satu skim baru dilancarkan dengan penglibatan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) serta sektor swasta India.

Skim yang dikenali sebagai “IMPAct4Nutrition” ini akan membantu program yang diperkenalkan di negara ini iaitu "Poshan Abhiyaan" (Kempen Nutrisi) bagi meningkatkan kedudukan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak serta wanita daripada golongan yang dipinggirkan.

Alok Kumar, birokrat yang menasihatkan kumpulan pemikir dasar kerajaan, NITI Aayog mengenai kesihatan dan nutrisi, berpandangan India tidak akan berkembang sebagai ekonomi berasaskan ilmu sekiranya sebahagian besar kanak-kanaknya mengalami pertumbuhan terbantut.

"Jika kita tidak tangani masalah ini sekarang, kita tak akan mampu melakukannya kemudian, “ kata Kumar.

Tanpa perkembangan mental dan otot, kanak-kanak tersebut tidak akan dapat turut serta dalam ekonomi ilmu, katanya.

 

Boleh dikatakan sebagai agak memalukan untuk sebuah negara seperti India dengan pencapaian cemerlang dalam bidang teknologi maklumat dan sains angkasa lepas untuk berdepan dengan masalah malnutrisi yang teruk.

Isu malnutrisi tidak boleh dipertanggungjawabkan keseluruhannya ke atas kemiskinan atau kurang sumber, demikian menurut Arjan de Wagt, yang mengetuai program nutrisi UNICEF di India.

"Dua puluh peratus keluarga paling miskin di India mempunyai 50 peratus anak-anak mereka terbantut pertumbuhan dan 20 peratus anak-anak yang dilahirkan dalam 20 peratus keluarga paling kaya juga terbantut pertumbuhan. Jadi ini bukan soal kemiskinan semata-mata, “ beliau memberitahu Bernama.

India bagaimanapun mampu mengatasi masalah ini dengan menyebar luaskan maklumat mengenai nutrisi, kata de Wagt.

Masalah berkenaan juga bukan terhad kepada kawasan pedalaman yang kekurangan pembangunan moden. Purata kanak-kanak di New Delhi mengalami cirit-birit sebanyak enam kali setiap tahun.

 

Di samping isu kanak-kanak yang terbantut pertumbuhan di kalangan keluarga miskin dan kaya, golongan kurang bernasib baik di India mengalami malnutrisi yang teruk dan masalah berkaitan seperti kebersihan, kematian bayi serta kurang peluang untuk mendapatkan pendidikan, khidmat kesihatan dan pekerjaan.

Kerajaan India Mac tahun lalu melancarkan kempen kebangsaan untuk meningkatkan paras nutrisi dalam kalangan kanak-kanak, wanita dan remaja perempuan.

Matlamatnya adalah untuk mengurangkan peratus pertumbuhan terbantut bagi kanak-kanak di bawah umur enam tahun dari 38.4 peratus kepada 25 peratus menjelang 2022.

Di sebalik kedudukan sebagai negara pengeluar utama dan pengeksport makanan, India berdepan dengan cabaran yang unik dalam memerangi malnutrisi.

Akibat alasan kebudayaan dan agama, bahan makanan seperti daging dan telor tidak diterima oleh sebahagian besar penduduk India yang berjumlah 1.3 bilion.

Ada juga isu wilayah tertentu seperti yang berlaku di daerah Lalitpur, negeri Uttar Pradesh di mana bayi yang baharu dilahirkan tidak dapat minum susu ibunya kerana kepercayaan susu pertama ibu perlu disembahkan kepada “dewa”.

Bagaimanapun, kepercayaan ini akhirnya berjaya ditangani menerusi usaha pendidikan. Skim yang disokong UNICEF dibuat sebegitu rupa untuk melibatkan sektor korporat India serta masyarakat tempatan untuk “perubahan tingkah laku” serta lebih banyak sumber bagi menangani isu malnutrisi.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan