RENCANA

FIKIRLAH: MENGAPA MASIH SUKA BUANG SAMPAH MERATA-RATA?

18/02/2019 03:28 PM

Oleh Sakini Mohd Said

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Lama saya perhatikan lelaki warga emas itu menyapu tangga dan kawasan sekitar Perumahan Awam Sri Perlis 2. Lazimnya tukang pencuci yang saya lihat terdiri daripada warga asing tetapi saya pasti lelaki yang saya perhatikan itu adalah warga tempatan. 

Saya yang berdiri tidak jauh dari lokasi dia menyapu sampah boleh mendengar suaranya bercakap dengan beberapa orang lain yang saya agak juga tukang pencuci. “Pakcik ni macam orang Melayu,” bisik hati saya.

Secara kebetulan saya berada di situ kerana mahu membeli beberapa perkakas di kedai yang terdapat di kawasan perumahan berkenaan. Yang membuatkan saya berhenti memerhatikan warga emas itu ialah cara dia menjalankan kerjanya serta gaya bercakap dengan pekerja-pekerjanya. Tidak ada herdikan. Langsung saya terfikir untuk membuat artikel “Fikirlah” ini yang berkait dengan tabiat buruk masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata terutama di kawasan perumahan kos rendah.

Saya dapat tahu kemudian lelaki itu adalah penyelia mereka tapi masih turut melakukan kerja-kerja menyapu. Ketika berbual dengan lelaki warga emas itu kemudiannya, beliau memberitahu saya namanya Salim Adam.

Bila dia sebut umur, saya bagaikan tidak percaya. Bukan sikit-sikit umur, sudah masuk 65 tahun! Lebih mesra dipanggil Pak Kamil, dia sudah 15 tahun bekerja sebagai penyelia dengan syarikat yang diberi kontrak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menjaga persekitaran kawasan tersebut.

 

Tugasnya setiap hari tidak hanya tertumpu mengawal selia dan memantau tukang sapu di bawahnya bahkan dia juga bertanggungjawab sama membersihkan kawasan perumahan ini mengikut apa yang dijadual dan ditetapkan syarikat. 

Sepanjang menjalankan tugasnya, bapa kepada empat orang anak ini sudah faham sangat ragam penghuni perumahan kos rendah ini apatah lagi dia juga menetap di situ selama 41 tahun.

Pelbagai gelagat masyarakat yang dia ketemui sepanjang tempoh melebihi empat dekad itu yang menggembirakannya. Biarpun demikian, ada satu sikap penghuni yang membuatkannya dia 'pening kepala', tidak kiralah sama ada penghuni lama mahupun generasi baharu. 

Terdapat lima blok iatu block A, B, C, D dan E. Kawasan ini tidak pernah berhadapan masalah buang sampah dari tingkat atas. 

Cuma, tabiat buruk penduduk sini adalah mereka suka melonggok sampah di tepi tangga ataupun tidak buang sampah dengan cara betul. Contohnya, bungkusan sampah diletakkan di tepi atau atas tong sampah biarpun ruang dalam tong itu masih lagi kosong.

 

Ceritanya, kebanyakan tukang sapu di bawah seliaannya banyak kali merungut dengan sikap acuh tak acuh segelintir penghuni yang gemar melonggokkan sampah di tepi tangga biarpun kemudahan pembuangan sampah sudah disediakan. 

Ada dua waktu, sampah boleh ditemui di tepi tangga. Satu ketika awal pagi iaitu kira-kira jam 9 pagi, semasa kami mula bertugas membersihkan kawasan. 

Kemudian dalam pukul 11 pagi atau tengah hari, ada lagi sampah yang kami temui dibuang di tangga sebaik sahaja selesai membersihkan kawasan. Mereka ini hanya fikir nak senang kerja dan beranggapan tukang cuci kan ada, boleh angkut sampah, nanti tidak ada kerja pula.

Sikap buruk sebahagian penduduk di sini, menyebabkan tukang sapu ini terpaksa membuat kerja yang sama banyak kali sedangkan masa yang ada itu boleh digunakan untuk membersihkan kawasan lain di sekitar perumahan itu. 

Menurut Pak Kamil, kebanyakan penghuni hanya mahukan unit kediaman sendiri bersih walhal melonggok sampah di tepi tangga sebenarnya turut menjejaskan dan menjijikkan pemandangan sekeliling secara keseluruhannya. 

Selain membangkitkan bau yang menyesakkan dan kedatangan vektor pembawa penyakit seperti tikus dan nyamuk aedes. 

“Apa guna rumah sendiri bersih tetapi kawasan luar penuh sampah, orang tetap akan mengata juga. Lagipun, tak maluke kalau orang luar datang dan tengok sampah berlonggok di tangga. 

“Tidak ada kemudahan lif disebabkan perumahan ini empat tingkat bukanlah membolehkan mereka membuang sampah merata-rata,” keluh beliau kepada penulis.

 

Hakikatnya, isu sampah di negara ini tidak pernah ada titik noktahnya apatah lagi apabila ia melibatkan soal sikap majoriti besar daripada kita yang masih lagi gagal mengamalkan budaya pembersihan di kawasan awam serta pembuangan sampah dengan sebetulnya. 

Walhal kalau dilihat dari sudut umur negara yang sudah mencecah 61 tahun merdeka serta mencapai pelbagai kemajuan ekonomi, pendidikan, teknologi dan pembangunan lain, adalah sewajarnya pemikiran dan sikap masyarakat lebih bertamadun berbanding sebelum. 

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Agak menyedihkan, apabila sikap masyarakat pada hari ini dalam perihal berkaitan penjagaan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar masih lagi mundur atau di tahap rendah berbanding masyarakat di negara maju. 

Mungkin ada yang mahu menidakkan kenyataan ini dengan seribu satu alasan, bagaimanapun inilah realiti yang harus diterima bahawa negara masih lagi berhadapan dengan isu lama seperti membuang sampah merata-rata, amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang masih rendah serta pembuangan sisa pepejal secara haram. 

Tidak susah, lihat sahajalah di mana-mana kawasan sekali pun, taman rekreasi, tepi jalan, di dalam longkang, tandas awam, tempat beribadat mahupun di dalam lif, pastinya akan ada sampah. Daripada sekecil-kecil puntung rokok mahupun lebih besar seperti almari. 

Malah, saya pernah melihat longgokan sampah di kiri kanan jalan semasa melalui satu kawasan tapak pasar malam yang baharu sahaja selesai operasi iaitu kira-kira jam 10 malam. 

Terasa seolah-olah merentasi jalan ke tapak pelupusan sampah, situasi itu sebenarnya agak memalukan kerana tapak pasar malam berkenaan merupakan antara susur masuk jalan ke kawasan riadah popular dalam kalangan pelancong. 

Sekiranya saya sendiri pun terkejut melihat persekitaran kotor akibat sikap tidak bertamadun peniaga dan masyarakat ini, apa pula pandangan pelancong luar yang kebanyakannya gemar mengunjungi beberapa restoran makanan laut yang beroperasi di situ?

 

Alasan tidak ada atau kurang tong sampah kerap kali diberikan bagi ‘menghalalkan’ tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab untuk membuang sisa pepejal mereka sesuka hati. Malah, ada pula yang terlebih kreatif mengikat sisa pepejal mereka itu di pokok mahupun membuangnya di mana-mana celah rimbunan semak ataupun pokok bunga. 

Sebenarnya, isu kekurangan tong sampah bukanlah punca utama kepada permasalahan ini kerana negara Jepun yang tidak banyak tong sampah pun tidak menjadikan Tokyo sebagai sebuah bandar yang kotor walaupun mempunyai kepadatan penduduk agak tinggi. 

Malah, semasa menerokai perumahan Sri Perlis 2 bersama Pak Kamil, saya melihat sendiri tong sampah masih ada ruang kosong tetapi timbunan buangan sisa diletakkan di tepi atau atas tong sampah itu. Tidak tahulah mengapa, hendak dikatakan penutup tong sampah itu berat sangat pun, rasanya tidak.

Isu sampah serta sikap masyarakat negara ini tentang perkara tersebut turut mendapat perhatian serius Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. Beliau baru-baru ini dipetik sebagai berkata kira-kira  60 peratus daripada 32 juta populasi rakyat Malaysia masih gagal membuang sampah ke dalam tong sampah meskipun kemudahan itu telah pun disediakan secukupnya.

"Saya ingat tabiat (membuang sampah ke dalam tong sampah) belum jadi darah daging mereka (rakyat) lagi, mereka tidak tahu mengurus sampah termasuk sampah peribadi di rumah.

"Di negara-negara maju, sampah contohnya mereka simpan dalam beg tangan atau poket dulu sebelum buang dalam tong sampah. Sekarang kita nak budaya orang cari tong sampah, bukan tong sampah cari orang," katanya.

 

Disebabkan itu, beliau dilaporkan sebagai berkata publisiti dan kempen kesedaran secara lebih meluas akan dilaksanakan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan penduduk supaya pengurusan sampah secara betul dapat dibudayakan dalam kehidupan masyarakat. 

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana masalah pengurusan sampah secara betul mempunyai kesan buruk bukan sahaja kepada manusia bahkan juga alam sekitar dan hidupan lain seperti marin. 

Pada tahun lepas misalnya, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas bangunan blok 102, PPR Seri Pantai. Manakala berkaitan kesihatan awam, sudah ramai yang terkena penyakit berkaitan akibat sampah seperti denggi dan kencing tikus. 

Masyarakat harus sedar menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan bukannya hanya terletak di bahu PBT semata-mata. Adakah kita mahu diri sendiri atau sesiapa sahaja daripada ahi keluarga menjadi mangsa, baharulah hendak berubah kerana ketika itu menyesal sebanyak mana pun sudah tidak berguna lagi. 

 

(Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis)

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan