RENCANA

JOKI KONGSI PETUA JINAK DAN PACU KUDA

15/02/2019 02:15 PM

Oleh Hafzi Mohamed

 

KOTA BHARU (Bernama) -- "Kuda, jika kita dapat naik ke atas belakangnya, kita adalah raja". Mohd Nasrizi Mohd Nawi, seorang joki berkongsi pengalamannya menjinakkan haiwan tersebut sehingga mampu menjadi kuda lumba.

Berasal dari Kampung Taman Buaya, Pantai Cahaya Bulan di sini, beliau bagaimanapun berkata bukan mudah untuk menjinakkan seseekor kuda malah lebih sukar lagi untuk memacunya.

"Bagi membolehkan kuda itu memecut dengan laju, kuda dan joki harus mempunyai hubungan yang baik, interaksi disertakan dengan sentuhan membolehkan kuda memahami naluri penunggangnya," katanya ketika diwawancara Bernama di sini baru-baru ini.

Mohd Nasrizi, 31, yang lebih dikenali dengan panggilan Jiey kini memiliki dua ekor kuda kacukan Kelantan.

Beliau yang terlibat dalam melatih kuda sejak berumur 13 tahun berkata jika seseorang itu sering bercakap dengan kuda peliharaannya, haiwan itu akan faham malah bau tuannya pun kuda itu boleh kenal.

Memelihara kuda adalah sebahagian daripada tradisi rakyat di Kelantan dan pemiliknya bukan sahaja golongan mewah tetapi juga nelayan dan petani.

Namun ia bukan berteraskan perniagaan atau kegunaannya tetapi sekadar untuk mereka mengisi masa lapang.

Kerap kelihatan anak-anak muda menunggang kuda tanpa pelana dan tanpa berkasut menyusuri pantai atau merentas desa dalam keadaan santai.

Suasana ini dapat dilihat antaranya di lokasi tumpuan pelancong seperti di Pantai Cahaya Bulan di sini, Pantai Irama di Bachok dan Pantai Sri Tujuh di Tumpat.

Kelantan terkenal dengan pertandingan tradisi, antaranya yang sinonim di mata masyarakat ialah perlumbaan kuda di mana joki yang menunggang kuda tersebut tidak menggunakan pelana dan ini menjadikan perlumbaan kuda itu lebih unik.

 

JOKI KUDA PECUT

Selain menjadi joki kuda lumba, Mohd Nasrizi juga seorang pelatih kuda dan beliau turut melatih sesiapa yang berminat untuk menjadi joki.

Beliau menempa nama sebagai joki dan pelatih kuda seawal usia 13 tahun selepas memenangi beberapa siri perlumbaan kuda di Kelantan pada tahun 2000.

"Pada masa itu saya masih belajar di tingkatan satu, (waktu lapang) saya berlumba kuda dengan rakan-rakan di Pantai Cahaya Bulan.

"Waktu bermula, kuda joki lain semua jalan ke depan, kuda saya mengundur. Dengan semangat dan tahu memujuk kuda supaya bergerak ke depan, saya teruskan perlumbaan dan akhirnya menjadi juara. Sejak itu, ramai pemilik kuda mencari saya untuk menjadi joki kuda mereka," katanya.

Beliau tidak berguru dengan sesiapa tetapi minatnya yang mendalam terhadap kuda menyerlahkan bakatnya untuk bergelar joki.

 

JENIS KUDA

Kuda di Kelantan terbahagi kepada beberapa jenis seperti kuda padi, kuda kacukan Kelantan dan kuda Belima Arab. Kebanyakan kuda yang dipelihara di Kelantan adalah kacukan antara baka kuda padi dan kuda Belima Arab.

Antara kelebihan kuda Kelantan ialah tahan lasak dalam menghadapi ragam cuaca, mempunyai daya tahan yang kuat menghadapi penyakit dan kos penyediaan makanan yang rendah kerana ia turut memakan rumput biasa selain dedak.

Anak kuda kacukan Kelantan dijual mengikut gred antara RM6,000 dan RM10,000 seekor manakala anak kuda Belima Arab dijual dengan harga lingkungan RM15,000 seekor.

"Kuda kacukan ini (kuda kampung) mempunyai keistimewaannya sendiri contohnya ia lebih lasak, tidak takut air, mampu berenang pada paras air yang dalam dan paling penting kuda kacukan ini lebih murah berbanding kuda Belima Arab," kata Mohd Nasrizi.

 

TIP MENJADI JOKI

Berkongsi pengalamannya menjadi joki, beliau berkata seorang joki dipilih mengikut saiz badan dan umur iaitu lagi ringan joki lagi laju kuda boleh memecut.

"Sebab itu kebanyakan joki terdiri daripada budak sekolah. Majoriti kanak-kanak ini dilatih seawal usia 10 tahun. Dalam soal berat badan pula 45 kg ke bawah. Ini bergantung kepada kategori kuda yang dipertandingkan.

“Joki muda pula dipilih supaya interaksi antara dia dan kuda lebih lama. Joki harus ada sifat berani, tidak serik jika jatuh dan dipijak oleh kuda. Untuk mengendalikan kuda, joki perlu berani," katanya.

Mohd Nasrizi sendiri berkata beliau banyak kali jatuh kuda, pernah cedera di muka yang perlu dijahit.

“Pada usia 13 tahun saya sudah jatuh kuda dan cedera akibat ditendang kuda,” tambahnya.

Mengenai cara melatih kuda. Untuk permulaan, kuda dilatih dengan membawa haiwan itu bersiar-siar untuk mendapatkan keserasian antara joki dan kuda.

Beliau berkata kuda diajar memecut sejauh 400 meter bagi membolehkan haiwan itu biasa dengan situasi perlumbaan sebenar dan kuda dibawa berlatih di atas permukaan berpasir seperti di pantai untuk membina kekuatan otot disusuli dengan latihan dalam air.

Katanya latihan dalam air bertujuan memastikan kuda dapat memecut di saat akhir ketika perlumbaan sebenar.

"Melatih kuda melibatkan masa dan penelitian. Pendek kata mahu melatih kuda memerlukan masa yang sepenuhnya dengan kuda. Kesukaran yang sering dihadapi ketika melatih seperti kuda tidak mengikut arahan joki, tidak bergerak.

“Jika kuda tak mahu bergerak, apa yang joki perlu lakukan ialah memujuk kuda tersebut," katanya.

 

TUNGGANG TANPA PELANA

Mohd Nasrizi berkata kuda yang jinak memang mudah untuk dinaiki tetapi kuda liar boleh menendang, menggigit dan jika tidak pandai menunggang boleh menyebabkam kecederaan.

"Kuda yang liar biasanya akan dijinakkan dahulu sebelum ditunggang. Penunggang perlu membelai, menggosok dan berinteraksi dengan kuda bagi menjinakkan kuda itu," katanya.

Cabaran lain ialah menunggang kuda yang tidak berpelana kerana ia memerlukan daya imbangan badan dan jika kita dapat menguasainya ia lebih menyeronokkan.

"Jika tidak berpelana, joki perlu duduk di atas kuda dengan betul, salah kedudukan, kuda akan menjadi berat dan tidak dapat memecut dengan laju," katanya sambil menambah, ia berbeza dengan kuda yang dipakaikan pelana, joki lebih mudah untuk naik di atasnya dan mudah untuk mengawal pecutan.

Mohd Nasrizi berharap sama ada kerajaan negeri mahupun badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta dapat menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan kuda di Kelantan seperti pertandingan lumba kuda supaya sukan berkenaan dapat menarik minat generasi muda selain menjadi produk pelancongan.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan