RENCANA

BEKAS WARTAWAN LAKAR KEJAYAAN URUS INAP DESA

14/02/2019 02:38 PM

Oleh Niam Seet Wei

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tiada siapa yang dapat meramalkan apa yang akan berlaku apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang melangkaui kebiasaan zon selesanya.

Begitu juga bagi bekas wartawan Lee Meng Fun apabila memutuskan untuk berhenti kerja sepenuh masa pada 2016, untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Pertaruhan 50-50 dengan memanfaatkan gelombang ekonomi perkongsian, Lee, 37, tidak pernah membayangkan bahawa beliau akhirnya akan berjaya dalam bidang yang diterokainya iaitu mengusahakan inap desa atau ‘homestay’.

Dalam tempoh kira-kira lebih dua tahun, perniagaan yang baharu diceburinya menampakkan peningkatan dan kini beliau menguruskan 15 buah inap desa di Cameron Highlands, Pahang.

“Hingga ke hari ini saya masih sukar mempercayai perniagaan saya boleh berjaya kerana saya tidak pernah tahu bahawa terdapat permintaan tinggi terhadap inap desa, ” kata Lee, yang pernah berkhidmat di akhbar harian Cina tempatan selama lebih lima tahun sejak 2005.

 

LANGKAH AWAL

Mengimbas kembali usaha pertamanya dalam dunia perniagaan, yang mana beliau benar-benar tidak mempunyai sebarang asas, Lee memberitahu Bernama bahawa pada mulanya beliau hanya mahu menyewakan pangsapuri tiga biliknya di Brinchang, Cameron Highlands, melalui “Airbnb”. (Airbnb adalah perkhidmatan pasaran dalam talian dan perhotelan yang membolehkan pemilik menyewakan hartanah mereka.)

Beliau membelanjakan kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 untuk membuat beberapa pengubahsuaian ringkas dengan tema anime Jepun yang mesra keluarga.

Menamakannya ‘Bricks Homestay’, beliau mendaftar hartanahnya dengan Sistem Cukai Pelancongan Malaysia - sistem penyerahan dan pembayaran dalam talian untuk cukai pelancongan di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pada Jun 2016.

Tidak lama kemudian, beliau menyenaraikan ‘Bricks Homestay’ di laman sesawang Airbnb dan pasaran Facebook, tanpa menyedari bahawa beliau sebenarnya sudah memulakan langkah untuk menjadi pengusaha yang berjaya.

 

PERMINTAAN TINGGI 

“Permintaan yang diterima sangat memberangsangkan setelah saya meletakkan pangsapuri pertama saya di kedua-dua platform dalam talian,” kata Lee.

Beliau banyak menerima pertanyaan ketika musim cuti akhir tahun 2016 sehinggakan tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa menolak beberapa permintaan kerana ruang apartmennya yang terhad.

“Permintaan yang tidak putus-putus membuatkan saya berasa tidak selesa kerana tidak dapat memenuhi kesemuanya, apartmen saya hanya tiga bilik,” katanya.

Permintaan yang menggalakkan, bagaimanapun, mendorongnya untuk memikirkan langkah seterusnya - mengembangkan perniagaan itu.

“Saya mula bertanyakan jiran-jiran jika mereka mahu menyewakan unit mereka kepada saya,” katanya.

Dan, dari situ, perniagaan inap desa Lee berkembang. Dua tahun setengah kemudian, Lee menjadi pengurus inap desa yang menguruskan 15 unit hartanah, terdiri daripada tujuh pangsapuri, tujuh penthouse dan sebuah rumah berkembar. Kesemuanya di Cameron Highlands.

“Kecuali yang saya miliki, selebihnya semua unit yang disewa,” katanya.

 

KERJASAMA STRATEGIK

Menurut Lee, maklum balas terhadap rumah inap desanya sangat menggalakkan dengan purata kadar penghunian untuk semua unit adalah 20 hari sebulan.

“Percaya atau tidak, saya mula menerima tempahan untuk Tahun Baharu Cina 2019 pada Ogos tahun lepas, dan menjelang akhir 2018, semua unit ditempah sepenuhnya sehingga hari keempat dan kelima bulan Lunar (8 Feb dan 9 Feb), 2019),” katanya.

Prestasi yang memberangsangkan menyaksikan catatan jualan setahun penuh sebanyak RM480,000 pada 2018, peningkatan 60 peratus daripada RM300,000 pada 2017.

“Ia juga merupakan lonjakan besar daripada RM25,000 yang saya rekod sepanjang enam bulan pertama selepas memulakan perniagaan, iaitu dari bulan Jun hingga Disember 2016,” katanya.

Untuk membantu beliau menampung pertanyaan yang tidak putus-putus dan menyelesaikan masalah-masalah remeh tetapi mendesak di rumah inap desanya, Lee, yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Malaya, memutuskan untuk bekerjasama dengan bekas rakan sekerja dari sebuah syarikat pengurusan acara, Chia Ching Hie, pada April 2017.

Mereka kemudiannya bekerjasama dengan pemilik syarikat pembersihan, Kenny Hew, untuk menguruskan perkhidmatan pembersihan di rumah inap desa mereka.

“Selain menguruskan perkhidmatan pembersihan, Hew juga melayani aduan tetamu, seperti yang berkaitan peralatan elektrik yang rosak,” kata Lee, sambil menambah bahawa dengan kerjasama strategik, beliau dapat menumpukan perhatian kepada pengajiannya di Kuala Lumpur dan hanya perlu melawat Cameron Highland dua atau tiga kali sebulan untuk melakukan “pemeriksaan”.

 

MEMPELBAGAIKAN PERNIAGAAN

Mengakui bahawa beliau adalah antara kumpulan pertama “orang luar” yang membantu perkhidmatan Airbnb di Cameron Highlands untuk berkembang, Lee berkata: “Saya masih ingat dengan jelas, apabila saya mula mendaftar dengan laman web Airbnb pada 2016, terdapat kurang daripada 50 rumah inap desa yang sedia di Cameron Highlands dan sebahagian besarnya tidak dilengkapi perabut.

“Sekarang, anda boleh lihat terdapat lebih 400 buah inap desa yang disenaraikan di laman tempahan.”

Bagaimanapun, industri inap desa yang berkembang pesat menimbulkan persaingan antara pemilik unit Airbnb, bahkan mencetuskan perang harga yang tidak sepatutnya berlaku.

“Ada yang mengurangkan kadar (sewa) sehingga serendah RM120 seunit bagi satu malam, iaitu hampir separuh daripada kadar saya, kira-kira RM200 untuk semalam pada hari biasa dan RM380 semalam pada hujung minggu,” jelas beliau.

Untuk menandingi pesaingnya, Lee mempelbagaikan perniagaannya pada Jun 2018 melalui kerjasama dengan pemilik restoran untuk perkhidmatan penghantaran ‘hotpot’.

“Sekali lagi saya terkejut dengan sambutan yang mengagumkan Sekarang ini saya bekerjasama dengan dua hingga tiga pemilik restoran, untuk bukan sahaja menghantar steamboat tetapi juga sarapan pagi tempatan seperti nasi lemak dan telur rebus sehingga ke pintu tempat penginapan mereka,” katanya.

 

RANCANGAN MASA DEPAN

Selain pemilik restoran tempatan, Lee juga mencari peluang untuk bekerjasama dengan kalangan pemandu pelancong dan perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) untuk menawarkan pakej penginapan dan pelancongan kepada para tetamunya.

Beliau juga mendedahkan bahawa pada tahun lepas, terdapat beberapa pihak yang ‘merisik’ untuk menjalin perniagaan dengannya di mana mereka akan membawa kumpulan pelancong dari tanah besar China untuk tinggal di inap desanya sebagai sebahagian daripada program lawatan.

Perkongsian seperti itu akan menguntungkan perniagaannya, “tetapi, tentu saja, saya masih perlu mengkaji dengan teliti sebelum mempersetujui mana-mana perjanjian,” katanya, dengan harapan kerjasama itu dapat ditandatangani tahun ini.

Lee yang bercita-cita tinggi juga mendedahkan bahawa beliau dan Chia sedang mengusahakan satu projek lain, iaitu mewujudkan tempat untuk majlis perkahwinan, ruang untuk pertemuan berkumpulan, malah kafe tanpa pekerja di tanah seluas 6,758 kaki persegi di Cameron Highlands.

“Kami sedang berusaha menyediakannya, diharapkan dapat memulakan perniagaan di sana pada September tahun ini,” katanya.

Mengenai rancangan seterusnya, Lee bercadang untuk memperluaskan perniagaan inap desa ke Pulau Pinang atau Langkawi tetapi menggunakan model perniagaan yang berbeza.

“Daripada menyewa unit dan menjalankan perniagaan seperti apa yang saya lakukan setakat ini, saya lebih suka menubuhkan sebuah syarikat pengurusan dan memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan saya dalam menguruskan inap desa. Mungkin, saya boleh, menguruskan keseluruhan blok pangsapuri) bukannya (menguruskan) homestay berdasar unit,” katanya.

Visi jangka panjang Lee adalah menubuhkan taman kebudayaan dan kreatif di Cameron Highlands tetapi untuk mendapatkan tanah bagi projek itu adalah cabaran terbesar baginya.

“Mudah-mudahan, saya akan dapat berbuat demikian tidak lama lagi,” katanya.

 

Diterjemahkan oleh Sarimah Othman

BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan