RENCANA

BEKAS WARTAWAN LAYARI BABAK BAHARU KEHIDUPAN

07/12/2018 07:51 PM

Oleh Norul Akma Mohd Zain

GEORGE TOWN (Bernama) -- Berpanas, berhujan, mengembara, berdepan bencana alam mahupun kemalangan, adalah antara rencah kehidupan harian seorang wartawan.

Itu belum lagi dikira kemungkinan berhadapan risiko di saman.

Namun, di sebalik pelbagai cabaran tugas yang digalas, kepuasan yang tidak terhingga dirasakan apabila hasil penulisan dapat membawa perubahan positif terhadap masyarakat dan pembangunan negara.

Perkembangan pesat teknologi maklumat menyaksikan industri kewartawanan menjadi semakin meluas terutamanya wujud pelbagai media yang beroperasi dalam talian sekali gus memberi kesan kepada industri media cetak termasuk aliran perdana.

Media tradisional seperti surat khabar mahupun majalah fizikal terpaksa bersaing dengan media digital yang semakin popular dan menjadi pilihan dalam menyebarkan pelbagai maklumat dan berita.

Situasi itu memberi kesan kepada kakitangan dan petugas media di syarikat-syarikat akhbar lantaran pihak pengurusan bertindak mengecilkan saiz operasi maasing-masing dengan memberi pilihan skim pemisahan sukarela (VSS), sebagai usaha meneruskan kelangsungan syarikat terbabit.

TITIK PERMULAAN

Bukan sedikit kakitangan yang terlibat, namun hidup mesti diteruskan. VSS menjadi pilihan sementara mencari pekerjaan lain atau mungkin juga berniaga.

Bagi bekas wartawan Utusan Malaysia Mohd Azeli Ali, 40, keputusannya meninggalkan syarikat akhbar Bahasa Malaysia tertua di negara ini pada 30 Nov lepas, adalah satu titik permulaan baginya.

Kini menjadi ejen insurans, beliau berkata jiwa seorang penulis masih menebal walaupun sudah meninggalkan dunia kewartawanan kerana menyampaikan sesuatu maklumat yang benar dan sahih itu adalah sebahagian daripada fardu kifayah.

Tambah beliau, seorang wartawan perlu mempunyai rasa empati terhadap sesuatu isu selain tabayyun (periksa dengan teliti) setiap kali melaporkan berita.

“Memang rasa puas apabila dapat bantu orang melalui penulisan berita. Mungkin apa yang kita buat itu tidaklah sebesar mana tetapi apabila orang yang dibantu itu hubungi dan ucapkan  terima kasih, kemudiannya ada kesinambungan bantuan yang diterimanya, itu merupakan satu ‘award’ yang susah nak digambarkan,” katanya kepada Bernama. 

Mempunyai pengalaman 12 tahun sebagai wartawan, Mohd Azeli memulakan karier sebagai wartawan kadet di syarikat akhbar itu di ibu kota. Beliau kemudiannya ditugaskan di Kosmo! Pulau Pinang sebelum bertugas di Utusan Malaysia, juga di Pulau Pinang.

Beliau yang berasal dari Terengganu memegang jawatan terakhir sebagai Penolong Ketua Biro Utusan Malaysia Pulau Pinang.

“Sebenarnya tidak terlintas untuk menjadi wartawan, tetapi ketika Tingkatan 3, saya pernah menghantar sebuah artikel kepada Utusan Malaysia mengenai pengalaman mengikuti kursus Biro Tata Negara dan tak sangka artikel itu disiarkan. Memang gembira, tambahan pulak saya menerima honorarium sebanyak RM75.

“Bagaimanapun, kewartawanan bukanlah karier pertama saya selepas tamat persekolahan. Pada mulanya saya bekerja sebagai eksekutif pentadbiran di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur sebelum diterima bekerja sebagai wartawan akhbar Kosmo! beberapa tahun kemudian,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

TAMPARAN HEBAT

Sementara itu, bekas wartawan sambilan Harian Metro, Rudy Syareme Sherifuddin, 43, berkata keputusan syarikat menamatkan kontraknya sebagai wartawan sambilan pada Oktober lalu memberi tamparan hebat buat dirinya.

“Pada mulanya, agak sukar untuk menerima kenyataan kerana saya merupakan tulang belakang keluarga serta banyak tanggungan. Keluarga juga terkejut, namun hidup perlu diteruskan,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Beliau berkata walaupun sehingga kini dirinya mengambil masa untuk menerima keputusan itu, namun tidak sesaat pun hilang minatnya terhadap bidang yang memberi kepuasan kepadanya. 

“Seronok apabila kita dapat ‘melancong’ ke luar negara atas tiket kerja malah dapat mengukuhkan jaringan dengan pelbagai pihak dan atas kelebihan yang diperoleh.

“Tidak mahu menguburkan minat yang mendalam dalam bidang penulisan, saya kini menghasilkan sebuah portal berita sendiri iaitu ‘mercikkk.com’,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun sebagai wartawan sambilan.

BUKA LEMBARAN BAHARU

Bekas Ketua Biro Kosmo! Pulau Pinang, Noor Hasliza Nusi, 35, yang juga menerima tawaran VSS baru-baru ini pula berkata walaupun terpaksa ‘menekan pedal brek’ di kemuncak kerjayanya, tidak mungkin dapat melupakan dunia kewartawanan begitu sahaja kerana ia sudah sebati dalam jiwanya sejak 12 tahun lalu.

Beliau yang merupakan bekas graduan Malaysian Institute of Integrative Media (MIIM) mengakui tidak akan menolak jika diberi peluang untuk kembali ke bidang kewartawanan.

“Tidak pernah terdetik pun untuk berhenti menulis, namun kini saya perlu membuka lembaran baharu iaitu mencari peluang dalam bidang komunikasi korporat, bak kata orang seperti ‘sireh pulang ke gagang’...doakan saya,” kata beliau yang pernah bekerja dalam bidang itu sebelum menjadi wartawan.

 

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan