RENCANA

KERAJAAN NEGERI MELAKA BANTU PENTERNAK IKAN LAGA

28/11/2018 01:15 PM

Oleh Ahmad Muliady Abd Majid

Bahagian akhir daripada tiga bahagian rencana ternakan ikan laga ini memberi tumpuan kepada kesediaan kerajaan negeri Melaka membantu usahawan dan penternak ikan laga di negeri itu.

 

MELAKA (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka bersedia membantu penternak dan pengusaha ikan laga spesies Betta di negeri ini yang mahu mengembangkan perniagaan mereka, demikian menurut Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee.

Beliau berkata bantuan itu antaranya berupa bentuk latihan dan khidmat nasihat yang boleh dikendalikan ​​​​​​ Jabatan Perikanan Melaka dan agensi berkaitan.

“Pihak kerajaan negeri sedia membantu dengan mengadakan latihan kepada penternak terbabit untuk menghasilkan ikan betta varieti bermutu tinggi setanding dengan ikan betta yang dihasilkan oleh negara pengeluar ikan betta seperti Thailand dan Indonesia.

“Saya percaya bahawa kita mempunyai kepakaran yang cukup untuk mendidik pengusaha ikan betta mengetahui teknik yang betul dalam pembiakan ikan betta, “ kata Norhizam dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menambah, pihak berkenaan perlu membuat kajian potensi industri ini di Melaka terlebih dahulu sebelum merancangkan program yang sesuai bagi membantu pengusaha dan penternak ikan betta di Melaka.

Untuk tujuan ini, beliau sedia mengadakan perbincangan dengan komuniti ikan betta di negeri ini untuk saling bertukar-tukar fikiran dalam usaha mengembangkan industri perusahan ikan betta.

Norhizam berkata sebagai seorang usahawan beliau secara peribadi turut bersedia untuk memberi panduan serta bimbingan perniagaan kepada usahawan muda dalam industri penternakan ikan betta.

“Secara peribadi saya bersedia bertemu dengan mana-mana penternak yang ingin mendapat panduan. Silalah datang ke pejabat saya, “ katanya.

 

GEMAR IKAN LAGA

Ikan laga atau ikan betta sebenarnya amat dekat dengan jiwa Norhizam kerana menangkap ikan itu adalah antara kegiatan jkegemarannya selepas sekolah.

“Saya masih ingat lagi, lepas sahaja habis mengaji Al-Quran saya dan rakan-rakan pasti berkejaran ke parit berdekatan rumah kami untuk menangkap ikan laga.

“Bila balik ke rumah saya masukkan ikan laga yang ditangkap ke dalam botol kaca jernih minuman ringan. Botol yang ada ikan saya susun di dinding rumah.

“Masa itu memang rasa seronok apabila dapat melihat kecantikan ikan laga yang berwarna-warni,” katanya.

Menurut Norhizam, keadaan semakin berubah apabila ikan laga yang dulunya mudah didapati di parit atau sungai kini mempunyai nilai komersial dan sesetengahnya dijual pada harga ribuan ringgit.

Beliau berkata ikan betta atau dalam bahasa latin ‘Betta Splendens’ mempunyai nilai komersial dan berpotensi untuk dimajukan kerana ikan tersebut mempunyai peminat di serata dunia.

“Saya pernah melihat ikan betta yang dijual pada harga ribuan ringgit ketika berkunjung ke Bangkok, Thailand. Ini  membuktikan bahawa ikan betta bukan lagi ikan parit sebaliknya ikan yang mempunyai nilai komersial dan peminatnya yang tersendiri,”ckatanya.

               

POTENSI BETTA LIAR TEMPATAN

Norhizam turut menyentuh tentang spesies betta liar dan menurutnya Malaysia mempunyai 25 spesies betta liar yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Laporan Fishbase 2011 menyebut bahawa sebahagian besar spesies tempatan terdapat di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, lima di Sarawak dan empat di Sabah.

“Antara spesies liar yang terdapat di Malaysia ialah Betta bellica, Betta Coccina, Betta Persephone, Betta Livida, Betta Pulchra, Betta Fusca dan Betta Pugnax,” katanya.

Beliau berkata spesis tersebut mempunyai potensi untuk dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan.

Tambah beliau, spesies yang terdapat di negara ini mempunyai peminat yang tersendiri daripada negara Jerman, United Kindom, Amerika Syarikat, Jepun Taiwan dan China.

 

KHASIAT DAUN KETAPANG

Norhizam berkata daun ketapang kering yang mudah diperolehi di sekitar negeri ini mempunyai khasiat kepada ikan betta, ianya mampu bertindak sebagai pembunuh bakteria yang boleh mendatangkan penyakit kepada ikan betta.

“Khasiat daun ketapang ialah ia dapat merawat luka ikan betta, menurunkan nilai PH air, mencegah ikan betta terkena penyakit, menyerap serta menyahtoksidkan bahan-bahan kimia yang terdapat dalam air dan merangsang pembentukan buih oleh ikan betta jantan ketika mengawan,” katanya.

Beliau berkata daun ketapang juga mempunyai potensi untuk dikomersialkan dan pasti akan mendapat permintaan bukan hanya di dalam tetapi juga dari luar negara.

     

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan