RENCANA

VIDEO KEMESRAAN TUN SITI HASMAH TULAR DI PAKISTAN

27/11/2018 03:25 PM

Oleh Shakir Husain

Pewarta Bernama di New Delhi, Shakir Husain berkongsi perkembangan dari ibu negara India.

 

NEW DELHI (Bernama) -- Tun Dr Siti Hasmah, wanita pertama Malaysia yang amat disegani dan dihormati kini mempunyai peminat baru di Pakistan dan di negara lain.

Video di mana isteri Perdana Menteri Malaysia ini dengan penuh santun bertanya kepada Perdana Menteri Pakistan Imran Khan sekiranya beliau boleh memegang tangannya ketika sesi bergambar dikongsi secara meluas dalam media sosial.

"Sudah tentu," Imran menjawab sambil tersenyum, menyebabkan yang hadir tertawa termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kebanyakan yang menonton video itu menganggap saat itu sebagai paling manis sepanjang lawatan dua hari Imran ke Malaysia minggu lalu.

 

Wartawan Pakistan Meher Bokhari menyifatkannya "video paling comel", merujuk kepada gelagat Siti Hasmah “seakan remaja yang begitu teruja" dan begitu juga "sikap hormat Imran" memenuhi permintaan isteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memegang tangannya ketika bergambar.

Meher berkata suasana itu "begitu menyegarkan" memandangkan dunia diplomasi dan politik ada kalanya begitu ketat mengikut protokol."

Ada juga yang membuat ulasan dalam Twitter: "Amat menyenangkan melihat video ini."

Hassan Choudary, yang meletakkan video ini di halaman Twitternya mengulas: "Comel sungguhlah gaya Wanita Pertama Malaysia ni ketika bertanya kepada Perdana Menteri Imran Khan sekiranya beliau boleh memegang tangannya ketika sesi bergambar."

Perdana menteri Pakistan kemudiannya menyiarkan dalam Twitternya pada penghujung lawatan beliau ke Malaysia: "Saya ingin mengucapkan penghargaan terutamanya kepada isteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyediakan hidangan makan tengahari yang sedap untuk kami."

Karier Imran dalam sukan kriket menjadikan beliau bintang antarabangsa. Bagaimanapun dunia politik penuh dengan kesukaran kerana jangkaan tinggi untuk beliau menangani banyak masalah termasuk keadaan ekonomi Pakistan yang semakin mencabar.

Apa pun kejayaan beliau dipilih sebagai perdana menteri sebuah negara dengan jumlah penduduk beragama Islam kedua terbesar di dunia pastinya satu pencapaian yang hebat.

Imran sejak sekian lama menyanjung tinggi dasar luar dan pengurusan ekonomi Dr Mahathir.

 

 Dalam sidang akhbar bersama dengan Dr Mahathir beliau melahirkan pandangan tingginya terhadap Dr Mahathir.

"Kami menyanjung tinggi Dr Mahathir sebagai seorang negarawan, yang berjaya melakukan perubahan di negara ini. Kami mengikuti kemajuan Malaysia, terutamanya sejak Dr Mahathir menyandang jawatan Perdana Menteri. Kami mahu belajar daripada pengalaman Malaysia, “ kata Imran.

Tun Mahathir amat disegani di Pakistan dan kebanyakan negara Islam kerana ketokohannya sewaktu menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Perlantikan beliau sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-14 Mei lepas menjadikan beliau semakin disegani kerana dasar-dasar yang diperkenalkannya.

Tun Siti Hasmah adalah tonggak kekuatan suaminya sepanjang karier beliau dalam bidang politik.

Mereka bertemu sewaktu belajar di Kolej Perubatan Kolej King Edward VII di Singapura pada 1947 dan mendirikan rumah tangga pada 1956.

Video yang memaparkan Dr Mahathir dan isterinya mendapat liputan meluas .

"Daripada sekarang saya akan sentiasa mengikuti perkembangan beliau, “ kata ahli akademik Azize Boshnak dari Istanbul.

Beliau juga memuji video yang memaparkan isteri perdana menteri Malaysia itu dan memberi pandangan dari perspektif kebudayaan Turki.

"Beliau seakan wanita Turki yang juga mudah mesra dengan orang lain seperti konsep adik dan abang. Dalam situasi video itu, Tun Siti Hasmah bagaikan 'abla' (kakak dalam bahasa Turki) yang menunjukkan sifat penyayang terhadap adik lelakinya."

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan