RENCANA

USAHA PROMOSI LABUAN PERLU DIPERHEBAT

19/11/2018 03:00 PM

Oleh Jailani Hasan

 

LABUAN (Bernama) -- Usaha yang lebih agresif diperlukan untuk meningkatkan industri pelancongan di Labuan yang mempunyai potensi besar untuk berkembang, demikian menurut Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia, Datuk Tan Cheng Kiat.

Beliau menekankan pulau bebas cukai yang turut menjadi hab kewangan antarabangsa dan minyak serta gas itu mempunyai banyak tarikan yang boleh menambat hati pelancong dalam dan luar negara.

Tan adalah antara 17 orang pelabur dari Semenanjung yang melakukan kunjungan eksplorasi tiga hari ke Labuan minggu lepas.

Dalam temu bual dengan Bernama, mereka melahirkan rasa bimbang melihatkan kurangnya promosi pelaburan serta pelancongan dijalankan oleh pihak berkuasa serta industri di pulau itu.

Keadaan itu dikhuatiri akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi Labuan.

“Labuan mempunyai prasarana serta kemudahan juga sumber yang perlu diteroka sepenuhnya. Jelas pulau ini mempunyai pelbagai kelebihan untuk terus mara seiring dengan perkembangan pembangunan, “ katanya, sambil menambah Labuan juga mempunyai lapangan terbang yang moden serta pelabuhan untuk menampung penerbangan antarabangsa dan kargo, tetapi kurang promosi pelaburan dan pelancongan.  

 

RANCAKKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Untuk merancakkan prospek industri pelancongan di Labuan, Tan mencadangkan dianjurkan pesta seumpama pesta muzik Belgium “Tomorrowland” yang dilaporkan berjaya menarik kedatangan ratusan ribu pelancong.

Pelabur lain, pengerusi eksekutif Eswira Development Sdn Bhd, Datuk Seri Yahya Ahmad berkata Labuan, yang ditadbir pihak berkuasa tempatan iaitu Labuan Corporation perlu proaktif dengan melaksanakan pelan strategik jangka pendek dan jangka panjang untuk memulihkan semula ekonominya yang terjejas teruk akibat pergantungan kepada sektor minyak dan gas.

“Kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan perlu membantu memberi dana untuk Labuan bagi merancakkan promosi pelaburan dan pelancongannya, “ katanya.

Menurut Yahya lagi, Labuan juga boleh menimbangkan langkah menceburi pelancongan kesihatan dan perubatan memandangkan pulau itu mempunyai keindahan alam semula jadi.

"Usaha ini boleh diadakan dengan menubuhkan hospital pakar swasta yang menawarkan khidmat penjagaan kesihatan dengan kadar yang berpatutan, “ katanya.

Beliau menambah Labuan juga perlu menambah jumlah penduduknya di samping memperkukuhkan kuasa pembelian rakyatnya bagi memenangi semula keyakinan pelabur.

 

IDENTITI PELANCONGAN TERSENDIRI

Pengerusi Gemala Travel and Tours Sdn Bhd, Kapt (B) Mahadzir Mansor pula berkata usaha yang berterusan perlu digerakkan untuk meletakkan Labuan dalam peta pelancongan Malaysia.

“Pihak berkuasa tempatan perlu ada dana yang mencukupi untuk melaksanakan program promosi untuk menarik pelancongan dalam dan luar negara, “ katanya, sambil menambah sebagai permulaan, ia juga boleh memulakan kolaborasi dengan stesen RTM untuk memancarkan tarikan pelancong yang ada di Labuan.

Sambil mencadangkan Labuan dijadikan pulau kembar Langkawi, kata Mahadzir, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diundang ke Labuan kerana ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri Labuan dijadikan wilayah persekutuan (1984).

Sementara itu, ketua pegawai operasi kumpulan Success Transformer Corporation Berhad, Ta Wei Neng berpendapat Labuan perlu mewujudkan identiti pelancongannya sendiri yang dikenali di peringkat domestik dan antarabangsa.

Untuk menukarkan Labuan sebagai tempat tumpuan membeli-belah, beliau mencadangkan lebih banyak kedai bebas cukai dan skop barangan bebas cukai diperluaskan.

Beliau turut menyarankan supaya dibuka kedai menjual barangan berjenama premium.

Secara umumnya, kumpulan pelabur itu merumuskan Labuan perlu secara agresif melaksanakan pelbagai strategi untuk mempromosi pulau itu sebagai destinasi pelancongan yang mesti dilawati kerana pelancongan adalah punca kewangan dan pihak berwajib jangan melepaskan peluang itu.

Mereka juga senada dengan menyatakan industri pelancongan domestik, terutamanya, menawarkan skop yang luas untuk menggerakan pertumbuhan ekonomi Labuan dan menggesa pihak berkuasa pulau itu terus mempromosi pakej pelancongan yang mampu beli.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan