RENCANA

FIKIRLAH:INGAT TANDAS, INGAT KEBERSIHAN

13/11/2018 12:15 PM

Oleh Adnan Jahaya

KANGAR (Bernama) -- Apa yang anda akan lakukan sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam tandas awam yang begitu cemar dengan lantai yang basah dan berbau busuk serta hancing.

Pastinya anda berfikir banyak kali sebelum menggunakannya kerana terpaksa atau keluar sahaja dengan menahan sakit perut yang memulas.

Itu pun bukan semua tandas awam percuma kerana ada pihak yang mengenakan bayaran 30 sen untuk sekali masuk. Jadi apakah nilai 30 sen sekiranya terpaksa berdepan dengan keadaan tandas yang begitu jijik dan amat memualkan?

Bagi yang mementingkan kebersihan, pastinya akan sanggup membayar harga yang lebih mahal asalkan keadaan tandas itu serba-serbi bersih dan selesa.

Isu serta kepentingan tandas yang bersih bukan sahaja mendapat perhatian pihak berkuasa di Malaysia tetapi juga di peringkat global. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang prihatin terhadap isu ini menetapkan 19 November setiap tahun sebagai Hari Tandas Sedunia.

 

Mungkin pengisytiharan itu agak melucukan tetapi masyarakat moden dambakan kebersihan dan sanggup membayar harga yang mahal untuk menggunakan tandas yang bersih dan selesa.

Menurut laman web World Toilet Day  2018, sebanyak 4.5 bilion penduduk dunia tidak menggunakan tandas yang selamat dan sudah pasti tidak terkecuali juga bagi jutaan rakyat Malaysia.

Tinjauan penulis ke beberapa lokasi tumpuan termasuk stesen bas ekspress mendapati ada tandas awam yang rosak tetapi masih digunakan dan yang paling menjengkelkan pengendalinya tetap memungut bayaran di pintu masuk!

Ada tandas yang dibekalkan baldi berisi air di pinggir mangkuk tandas dan sudah tentu pengguna tetap meragui tahap kebersihan air berkenaan yang kemungkinan bercampur air kencing pengguna yang tidak berdisiplin dan pengotor.

Lebih mencemarkan ada kalanya air daripada tandas bersebelahan turut mengalir ke lantai tandas yang lain. Jijik sungguh!

 

Sempena Hari Tandas Sedunia 2018 ayuh kita mula memikirkan kebersihan tandas awam sebagai satu keutamaan.

Bukan sahaja pengendali tandas awam tetapi juga pengguna yang pelbagai ragam perlu turut sama menghargai kebersihannya.

Ada pengguna yang tidak berdisiplin mengambil masa yang lama di dalam tandas, bukan setakat untuk ‘melepas hajat’ tetapi melakar lukisan dan tulisan lucah serta nombor telefon tertentu.

Ada juga iklan mencari jodoh dan tawaran pinjaman ceti haram tertera di dinding bahagian dalam tandas.

Bukan itu sahaja kerana tandas juga semakin menjadi tempat kegiatan maksiat, perbuatan tidak senonoh segelintir pengguna dan ada juga yang menjadi pilihan untuk membuang zuriat yang dikandung berbulan-bulan!

 

Penulis sering mengimpikan tandas awam yang sentiasa kering dan berbau wangi serta diiringi muzik walaupun tidak sehebat tandas di hotel-hotel mewah tatkala ada keperluan menggunakan tandas berkenaan.

Saya pasti ramai yang tidak akan berasa lokek untuk membayar harga yang lebih tinggi kerana memasuki tandas bertaraf lima bintang yang tahap kebersihan dan keselesaannya sentiasa terpelihara.

Kita boleh memulakan langkah dengan menghargai tandas awam dan menjadikannya tempat yang bersih, selesa dan sebagaimana menghargai tandas di rumah sendiri.

Pihak berkuasa tempatan juga boleh menganjurkan pertandingan tandas bersih dan memberi gred mengikut tahap kebersihan sebagai motivasi kepada pengendali tandas untuk menjaga kebersihan tandas masing-masing.

Mungkin juga boleh diperkenalkan anugerah khas “Tandas Ratu” kepada tandas yang terbaik dan berkualiti.  Selamat menyambut Hari Tandas Sedunia. Ingat tandas, ingat kebersihan.

 

(Nota: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Bernama mengenai isu yang ditulis)

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan