RENCANA

PENGURUSAN SISA PERLU PERHATIAN SEGERA

13/11/2018 11:54 AM

Oleh Ravindran Raman Kutty

 

KUALA LUMPUR (Bernama) – Pengurusan sisa adalah mengenai kualiti kehidupan dan tentunya meliputi udara, air serta persekitaran yang bersih.

“Meksipun anda tak nampak apa yang anda buang, percayalah suatu hari nanti, kalau pun bukan anda yang akan mendapat kesannya, mungkin anak-anak anda….” demikian ungkapan Antonis Mavropoulos, Presiden Persatuan Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA).

Malaysia menjadi tuan rumah kepada persidangan ISWA yang berlangsung dari 22 Okt hingga 25 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Persidangan itu dianjurkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM). Lebih 60 negara mengambil bahagian dan ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

Pelbagai topik dibincang termasuk mengenai pengurusan mapan sisa pepejal, kesihatan manusia serta isu perubahan iklim sepanjang persidangan empat hari yang dihadiri sekitar 1,600 peserta.

 

Pengurusan sisa di Asia dijangka menjadi lebih mencabar dengan pertumbuhan dua kali ganda penduduknya. Di India sahaja, menjelang 2035 akan terdapat 68 bandar metropolitan, 58 daerah bandar, 115 daerah separuh bandar, 96 daerah kampung dengan jumlah penduduk menyumbang kepada 25 peratus keseluruhan penduduk dunia.

Landskap pengurusan sisa pastinya akan menghadapi perubahan besar dengan pertumbuhan besar sisa. Pembuangan sisa yang dijangka meningkat tiga kali ganda pastinya menambah beban penggunaan sumber asli.

Dengan pembangunan yang pesat, kualiti kehidupan turut meningkat. Lebih banyak barang dihasilkan termasuk plastik, lebih banyak juga penggunaan dan pembungkusan. Asia mesti belajar daripada kesilapan dunia barat dan tidak mengulanginya.

Negara Asia juga perlu akur dengan isu yang mereka perlu tangani – penggunaan, paras pendapatan, urbanisasi, migrasi ke bandar, pengeluaran karbon monoksida, industrialisasi, migrasi dari pertanian kepada sektor perkhidmatan, tahap pendidikan dan kemiskinan. Kesemuanya itu adalah antara isu kritikal perlu dipandang serius oleh setiap negara di Asia.

Bandar yang dibina di sekeliling kawasan berair lebih mudah terancam akibat pembuangan sampah. Kebanyakan bandar di Asia dibina berhampir punca air. Oleh yang demikian, langkah perlu diambil untuk memasukkan program pencemaran marin dengan pengurusan sisa bandar bagi menangani isu pencemaran alam sekitar. Pencemaran laut sudah sampai ke tahap kritikal sehinggakan setiap lautan tercemar akibat gaya hidup kita, penguatkuasaan atau kawalan yang lemah serta tabiat membuang sampah yang teruk.

Beberapa kertas kerja dibentangkan oleh wakil dari Nepal, Mongolia, China, UK, AS, Australia, Jerman, Belgium, Argentina, Afrika Selatan, Serbia, Switzerland dan beberapa buah negara lain. Perkara pokok yang dihasilkan oleh persidangan itu ialah bagaimana kita boleh mengurangkan pencemaran alam sekitar, perubahan iklim, automasi pengurusan sisa dan peranan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan, pengendali sisa dan pakar sisa.

 

Ada satu kajian kes yang mendapat perhatian ramai iaitu “ Hasiru Dara” yang bermaksud “Suara Pemungut Sisa”. Ini adalah pertubuhan impak sosial yang sejak 2011 memberi fokus kepada usaha mendapatkan keadilan sosial untuk pemungut sisa menerusi pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan, pencen, pembangunan kemahiran dan akses penggajian.

Terdapat lebih daripada 8,000 orang pemungut sisa yang mendapat manfaat daripada program ini. Terbukti program ini membantu meningkatkan kehidupan serta maruah pemungut sisa di Bangalore. Penulis turut berkesempatan bertemu dengan Malini Shekar, yang memulakan inisiatif program yang turut memenangi anugerah.

Memang senang bercakap dan idea juga banyak. Cuma tindakannya kurang. Saya adalah antara peserta yang berulang kali menyoal para perwakilan dan beberapa orang pakar sisa mengapa pengurusan sisa masih hanya menjadi topik persidangan.

Mengapa tidak ada Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk Pengurusan Sisa? Sepatutnya ia seperti Majlis Keselamatan. Betul ada badan seperti Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), Habitat UN, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Bank Dunia. Namun apakah pihak berkenaan melakukan yang secukupnya untuk menangani isu pengurusan sisa? Sehingga ke hari ini, kita masih belum ada mandat untuk memastikan Pendidikan Alam Sekitar dijadikan mandatori di kalangan negara maju dan sedang membangun.

 

Pada pandangan penulis, Malaysia perlu meningkatkan lagi usaha untuk melaksanakan Pendidikan Alam Sekitar dalam kurikulum persekolahan! Bagi saya kerajaan belum cukup bersungguh-sungguh melakukannya. Kita sekarang berdepan dengan pelbagai isu alam sekitar dan puncanya ialah pengurusan sisa yang lemah di kalangan semua rakyat, pihak berkuasa tempatan, majlis perbandaran dan kerajaan sendiri.

Usaha ISWA seharusnya diteladani. Saya berharap setiap pekerja mengendalikan sisa di dunia, terutamanya di Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan pegawai daripada kementerian berkenaan cuba membaca kertas kerja yang dibentangkan pada persidangan ini.

Sudah sampai masanya Pengurusan Sisa diberi perhatian serius. Malaysia perlu bertegas dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal (SWMA). Bukan semua negeri memindahkan kegiatan pengurusan sisa kepada kerajaan persekutuan seperti terkandung di bawah SWMA. Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu masih belum melakukannya. Kerajaan yang baharu dibentuk perlu tangkas menangani industri pengurusan sisa dengan membentuk jawatankuasa petugas untuk mengendalikan isu ini sehingga tuntas.

Program Sisa kepada Tenaga (WTE) perlu dilaksanakan di Kuala Lumpur kerana ia sudah terlalu lama terbengkalai iaitu sejak 1996. Apa sebabnya? Bagaimana kita hendak menyelamatkan Kuala Lumpur daripada menjadi satu lagi tapak pelupusan sampah, jika kita tidak bertindak sekarang!

 

(Nota: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Bernama mengenai isu yang ditulis)

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan