RENCANA

TRT WORLD UTAMAKAN KETEPATAN BERITA

12/09/2018 02:21 PM

Oleh Shakir Husain

ISTANBUL (Bernama) – Jika penduduk Turki melihat saluran-saluaran media Barat sebagai musuh, mereka mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian.

Semasa kempen pilihan raya presiden pada Jun lepas, organisasi media terkemuka Eropah dan Amerika Utara dituduh menyiarkan artikel yang lantang mengkritik Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Ratusan wartawan asing membuat liputan pilihan raya Presiden Turki namun, kebanyakan mereka hanya menerbitkan berita-berita yang anti-Erdogan.

Fatih Er, pengarah berita dan program stesen penyiaran awam Turki, TRT World, mengkritrik tindakan wartawan berkenaan yang menampilkan pendapat dan pandangan penuh prasangka sebagai fakta dalam laporan mereka.

"Ada yang cuba menunjukkan hanya satu sisi penduduk Turki, yang tidak mahukan kerajaan ini. Mereka tidak teragak-agak memberikan pendapat tetapi apabila anda memberikan pandangan, mereka menyifatkan anda sebagai berat sebelah," kata Fatih kepada Bernama dalam temu bual di pejabat TRT World di sini.

Untuk memberi gambaran yang tepat tentang Turki dan rantau yang meluas kepada penonton antarabangsa, adalah satu daripada tanggungjawab utama TRT World.

Tetapi, peranan stesen televisyen baharu itu semakin besar dengan Turki kini memainkan peranan yang bertambah penting bagi negara-negara jirannya.

 

TRT World sedar pentingnya untuk membetulkan maklumat yang salah tentang Turki selain berperanan sebagai suara bagi mereka yang terpinggir dan menjadi mangsa kuasa media Barat yang tidak dicabar.

"Kami berada di sini untuk semua yang memerlukan bantuan. Kami tidak melihat kepada etnik, bahasa dan agama dalam melaporkan berita yang mesti diberitahu kepada umum," kata Fatih.

Rangkaian TRT sudah beroperasi sejak beberapa dekad lepas tetapi saluran antarabangsa Bahasa Inggeris dilancarkan pada 2014 dan mula bersiaran kira-kira dua setengah tahun lepas.

"Matlamat utama saluran baharu ini adalah untuk melaporkan kisah tentang rantau ini dengan pandangan daripada rantau ini. Mereka yang lain datang dari kawasan yang beribu-ribu batu jauhnya dan membuat liputan berita tanpa mengetahui tentang rantau ini serta sejarah dan budayanya," kata Fatih.

Saluran itu mahu menampilkan perbezaan dengan melaporkan berita yang relevan dan menyajikan maklumat yang tepat kepada dunia.

 

Dengan banyaknya konflik dan perjuangan mendapatkan kuasa di Timur Tengah, membuat liputan berhubung rantau ini sememangnya penuh dengan cabaran. Tugas itu menjadi lebih rumit dengan adanya propaganda yang diusahakan oleh pelaku serantau dan orang luar.

Fatih berkata TRT World tidak mahu melaporkan berita secara tergesa-gesa demi bersaing dengan yang lain.

"Hari ini, saluran-saluran media sibuk untuk melaporkan berita terkini. Kami tidak mahu menjadi stesen berita yang sekadar melaporkan berita terkini, sebaliknya kami mahu menjadi pelapor yang lebih bermaklumat.

"TRT World tidak meniru saluran lain. Kami mempunyai peraturan, pemahaman dan kewartawanan kami sendiri, dan kami melakukan itu dengan standard yang berkualiti tinggi," katanya.

Memperluas keupayaan pengumpulan berita ke lebih banyak negara tetap menjadi keutamaan saluran itu, yang kini mempunyai 200 wartawan dari 51 negara.

Meningkatkan kewujudan digital juga menjadi tumpuan impian TRT World dalam usahanya mencapai khalayak baharu di pelbagai bahagian di dunia.

"TV kini dianggap lapuk. Kami mesti membangunkan kandungan untuk era digital. Kami bekerja dengan pasukan yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Di Twitter dan Facebook, kami sudah menjangkau berjuta-juta orang," kata Fatih.

Impian besar pastinya diiringi cabaran yang menggerunkan.

"Mengendalikan sebuah saluran antarabangsa bukannya mudah. Anda mesti mempunyai ‘mata’ di setiap tempat. Oleh itu, kami memutuskan untuk memberi tumpuan kepada rantau ini terlebih dahulu sebelum berkembang dengan perlahan-lahan," kata Fatih.

Melaporkan tentang konflik bermakna anda berisiko tidak disukai kuasa yang memegang tampuk pemerintahan.

Pasukan TRT World ditahan selama tiga bulan di Myanmar dan Fatih sendiri pernah ditahan di Mesir semasa berlakunya rampasan kuasa tentera pada 2013.

Satu lagi cabaran utama yang perlu dihadapi adalah menangani minda penuh prasangka yang sukar untuk menerima pandangan Turki atau Timur Tengah berhubung hal ehwal dunia, katanya.

 

Diterjemahkan oleh Nur-ul Afida Kamaludin

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan