BERNAMA.com - Membawa Graduan Ceburi Pertanian Melalui Myagrosis
malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

BERITA RENCANA


Membawa Graduan Ceburi Pertanian Melalui Myagrosis

Tarikh kemaskini: 26/04/2018
 

Kata-kata nasihat: Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin bersama para peserta Myagrosis Gambar Ikhsan FAMA
Oleh Wan Asmanizan Wan Ahmad Najib

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sektor pertanian mungkin tidak begitu menarik bagi generasi muda ataupun serasi dengan gaya hidup mereka memandangkan ia memerlukan mereka membanting tulang di kebun atau ladang di bawah panas terik matahari.

Oleh itu Gen X,Y dan Z tidak melihat sektor pertanian sebagai sektor pekerjaan pilihan apabila tamat pengajian kerana beranggapan ia tidak membawa imej yang boleh dibanggakan selain pendapatan yang lumayan. Di sinilah mereka mungkin tersilap.

Terdapat sebilangan belia Malaysia yang telah muncul sebagai usahawan tani berjaya, terima kasih kepada usaha-usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam memikat khasnya siswazah untuk menceburi bidang pertanian.

Dalam membawa siswazah menyertai bidang ini, MOA melalui agensinya iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah memperkenalkan Kelab Usahawan Siswazah Tani Malaysia (MyAgrosis) di Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) dan politeknik.

Mendedahkan siswazah kepada pertanian adalah sesuatu yang perlu untuk membuka peluang baru kepada graduan yang menganggur selain meneroka potensi sebenar sektor pertanian negara ini. Dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih baik, siswazah boleh membantu mentransformasi sektor pertanian negara kepada satu yang dinamik.



Ramai yang tidak sedar bahawa aktiviti pertanian yang diuruskan dengan baik menjanjikan pulangan yang lumayan, lebih baik daripada duduk makan gaji.

"Penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian dan industri asas tani seperti pengeluaran makanan, tanaman, ternakan, perikanan, perladangan ini masih rendah. Oleh sebab itu kami mahu menarik minat lebih ramai golongan muda berpendidikan tinggi menceburi bidang pertanian secara komersil. Kami akan membimbing mereka menjadi usahawan tani berjaya," kata Pengerusi FAMA Tan Sri Badrudin Amiruldin.

HASIL MYAGROSIS

Para peserta MyAgrosis menikmati sistem sokongan dan bantuan sistematik untuk menjadi usahawan tani yang berjaya. Selain menyediakan saluran pasaran seperti pasar-pasar tani dan kedai-kedai agrobazaar untuk peserta MyAgrosis memasarkan produk mereka, FAMA juga membantu mereka memasarkan produk hingga ke pasaran antarabangsa.

MyAgrosis menyaksikan banyak kisah kejayaan. Antaranya Mohd Faris Abdul Salim yang bawang goreng keluaran syarikatnya NQ Group Entreprise kini dieksport ke Jepun dan China. Usahawan ini memasarkan bawang gorengnya atas jenama Nuha Bawang Goreng Premium.

Satu lagi usahawan FAMA yang berjaya memasarkan produknya ke pasaran antarabangsa ialah Cik Aslinah Aslam yang mengeluarkan coklat jenama Malsa dan Asprincza melalui syarikatnya Azaib Holdings Sdn. Bhd.

Coklat Malsa telah berjaya menembusi pasaran China, Singapura dan terkini Emiriah Arab Bersatu (UAE). Coklat keluaran usahawan itu juga boleh diperoleh di pasar raya besar seperti Aeon, Cold Storage dan Jaya Grocer serta kedai-kedai di lapangan terbang antarabangsa KLIA 1 dan KLIA 2.

Selain nama-nama yang disebut di atas terdapat ramai lagi usahawan MyAgrosis yang sedang meningkat naik hasil bimbingan FAMA dan agensi-agensi kerajaan lain.

Antara mereka ialah Nur Izzati Abdul Razak, Mohd Shahrizal Shazuan Mohd Saufi dan Addy Rendra Samuri.

"Syarikat ZT Coconut Trading ini saya uruskan bersama suami, Muhammad Azhar Abdul Rahman dan kami beroperasi di Sungai Buloh, Selangor. Dengan bantuan FAMA, kini ZT Coconut memperoleh pulangan lumayan setiap bulan," kata Nur Izzati dari Kedah selaku pengurus ZT Coconut Trading.

Mohd Shahrizal, pengarah Loyang House Sdn Bhd, lulusan perakaunan Universiti Utara Malaysia (UUM), bersama rakan kongsinya Siti Hajar Zainal mengusahakan perniagaan membekal bahan-bahan bakeri, peralatan membuat kek dan pastri.

Kedua-dua mereka antara penerima pembiayaan Mikro MyAgrosis Agropreneur Muda pada awal permulaan perniagaan yang dibuka pada Oktober 2015.

Sementara itu, Addy Rendra Samuri menceburi penanaman rock melon (tembikai wangi). Beliau mengusahakan perniagaannya melalui syarikat Bumi Suria Tech Sdn Bhd. Graduan kejuruteraan mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan German Malaysian Institute (GMI) itu pernah bekerja di Dubai selama dua tahun sebelum beralih ke bidang pertanian.

Beliau mempunyai pandangan jauh untuk mengubah persepsi bidang pemakanan negara.



"Penglibatan dan bantuan agensi kerajaan seperti FAMA, Mardi, dan Agrobank telah banyak membantu penanaman rock melon kami berjaya sehingga ke tahap ini," kata Addy Rendra.

"Walaupun terdapat prospek untuk eksport berdasarkan maklumat balas dan pertanyaan dari negara seperti Singapura dan Indonesia, kami akan menumpukan perhatian untuk memenuhi pasaran tempatan terlebih dahulu," katanya lagi.

Kejayaan seperti inilah yang ingin MyAgrosis ulangi bersama-sama mahasiswa tempatan.

FAEDAH KEAHLIAN MYAGROSIS

Produk-produk usahawan MyAgrosis ini akan mendapat tempat di platform-platform pemasaran FAMA yang terdapat di seluruh negara. Antaranya pasar-pasar MyBestBuy, pasar-pasar tani FAMA, Kedai Agrobazaar, K-Shoppe, terbaharu pusat membeli-belah AgroBazaar yang akan dibangunkan tahun ini di Putrajaya.

FAMA menyediakan sokongan pembiayaan permulaan tanpa faedah dan cagaran kepada mahasiswa yang menjadi ahli MyAgrosis. Dan di bawah pembiayaan Mikro MyAgrosis Agropreneur Muda, syarat yang dikenakan amatlah mudah. Ia hanya memerlukan ibu bapa sebagai perujuk dan mempunyai hala tuju jelas untuk memulakan sesuatu perniagaan. Pembiayaan maksimum adalah sehingga RM50,000.

"Apabila permohonan mahasiswa ini telah lulus, FAMA akan menyerahkan modal pinjaman ini melalui ibu bapa pelajar terbabit sebagai penjamin dan pemantau.

"Ini kita lakukan dengan harapan kita akan dapat menambah jumlah pembekal makanan negara dan mengurangkan import, kita perlu mempunyai usahawan pertanian yang maju dan berdaya saing serta pengeluaran produk berkualiti melalui penghasilan produk makanan yang menepati piawaian dengan penggunaan teknologi tinggi. Inilah cita-cita FAMA melalui laluan MyAgrosis," kata Badrudin.

Selain pembiayaan permulaan, FAMA juga menyediakan beberapa faedah lain seperti nasihat dan tunjuk ajar penjagaan Kualiti Pembungkusan, Pelabelan & Penjenamaan, Insentif Pemasaran, Peningkatan Pengeluaran, Pembangunan Premis, Ke Arah Persijilan Kualiti, Input Pertanian, kemudahan peralatan seperti Mesin dan Bahan Mentah serta modal pusingan.

MAKANAN KITA BUADAYA KITA

?Kita ingin bantu daripada segi pengkomersilan bidang pertanian dan industri makanan ini ke tahap professional dan secara komersil dengan bantuan teknologi moden kerana kita percaya bahawa bidang pertanian boleh membawa kepada kekayaan,? kata Badrudin.

Ramai rakyat Malaysia yang berpelajaran tinggi terutamanya graduan Melayu masih teragak-agak untuk menceburi bidang pertanian dan perladangan. Oleh itu, FAMA ingin membawa kesedaran dari awal, iaitu di institusi pengajian tinggi lagi, supaya berjinak-jinak dalam sektor pertanian.

Logo dan uniform sahaja tidak mencukupi untuk membawa jenama MyAgrosis meluaskan payung MyAgrosis ke seluruh negara dan ke persada antarabangsa. Minat serta sikap konsisten ahli-ahli kelab dan para usahawan sendiri juga penting di samping bimbingan daripada FAMA dan agensi lain seperti Tekun, Mardi, Agrobank, dan agensi kerajaan lain yang akan membawa mereka ke mercu kejayaan.

Mahasiswa yang berminat boleh menghubungi pejabat FAMA negeri untuk berbincang bagaimana untuk menjadi usahawan berjaya di bawah MyAgrosis dengan borang MyAgrosis boleh didapati di setiap universiti atau di pejabat FAMA atau di laman web MOA.

-------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

MYAGROSIS FASA DUA-PENJENAMAAN DAN KEAHLIAN

Sejak penubuhannya pada 2011, sehingga kini, bilangan keanggotaan kelab MyAgrosis telah mencapai seramai 36,342 orang di 109 institusi pengajian tinggi (IPT), politeknik serta kolej vokasional di seluruh negara.

"Ia pastinya akan membentuk satu kuasa ekonomi baru yang bakal meningkatkan pengeluaran pertanian dalam negara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import makanan," kata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

FAMA juga telah mula melaksanakan sepenuhnya MyAgrosis fasa kedua pada tahun ini dengan memperluaskan lagi pelaksanaan program itu ke Instituti Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) terpilih supaya dapat membentuk komuniti usahawan siswazah komersial yang lebih luas.

Pada September lepas, FAMA menjadi rakan kongsi strategik UniKL yang menjadi titik tanda program MyAgrosis telah mula diperluaskan ke IPTS.

FAMA yakin mampu memenuhi sasaran 50,000 anggota MyAgrosis di seluruh negara pada akhir 2018 berdasarkan maklumat balas positif semasa sesi penerangan pelaksanaan MyAgrosis di IPTA dan IPTS seluruh negara.

Ditanya mengenai sejauh mana signifikan penambahan keahlian MyAgrosis, Badrudin berkata siswazah adalah aset negara dan industri pertanian ini adalah satu kuasa ekonomi yang bakal meningkatkan pengeluaran pertanian dalam negara. Dengan secara tidak langsung kita akan dapat mengurangkan keperluan import makanan dengan menghasilkan lebih produk makanan di dalam negara.

BERNAMA
 
 
 

       Berita Utama Terdahulu