malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Senarai Berita RENCANA

 

Uniknya Yangon!

3jam lalu

 

Wayang Pacak Saluran Penting Penubuhan Malaysia

Oleh Kamaliza Kamaruddin

KEMAMAN (Bernama) -- Berpusu-pusu seiring masyarakat kampung pergi menonton tayangan wayang pacak adalah antara pengalaman yang sentiasa tersemat dalam ingatannya.

Yusof Mohd Yatim, 73, masih ingat betapa wayang pacak menjadi salah satu saluran penting untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat pada zaman dahulu.

Mengimbau masa lampau, pesara guru itu masih dapat rasakan kemeriahan penduduk Tanah Melayu meraikan kemerdekaan negara pada 1957.

“Ketika itu saya baru berusia 12 tahun, namun kegembiraan masyarakat sekeliling masih segar dalam ingatan sehingga kini.

“Walaupun baru menginjak remaja ketika itu, saya sedar betapa sesetengah penduduk sangat resah dan bimbang memikirkan jika Tanah Melayu mampu untuk menubuhkan kerajaan dan mendapatkan kemerdekaan dari British,” kata anak kelahiran Kampung Kemasik itu. Kampung berkenaan terletak kira-kira 29 kilometer dari Chukai, pusat bandar Kemaman.

 

Sangari Fasih 'Jako Iban'

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

BINTULU (Bernama) -- 'Aku ka madah, aku ka ngucap Selamat Hari Malaysia enggau Selamat Hari Kemerdekaan ngagai semua rakyat Malaysia. Agi Idup Agi Ngelaban!' (Saya ingin beritahu dan hendak mengucapkan Selamat Hari Malaysia dan Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Selagi ada hayat, selagi itu berjuang!)

Kelancaran bahasa Iban yang dituturkan G. Sangari, gadis berketurunan India kelahiran Klang, Selangor, mengejutkan penulis, ketika bertemunya buat pertama kali baru-baru ini.

Sangari, 25, menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang kira-kira lima tahun lepas untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) selama empat tahun. Selepas itu, beliau bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pengeluar produk logam di Bintulu.

"Saya akui ketika membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di Unimas selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, ada sedikit kegusaran terutamanya tentang penerimaan masyarakat di sini kerana majoriti kaum di sini ialah Iban, Melayu dan Cina sedangkan India agak kurang.

"Namun, masyarakat di Sarawak sangat mesra, mereka melayani saya dengan sangat baik. Keadaan negeri ini yang aman dan tenang, tiadanya kesesakan lalu lintas yang teruk membuatkan saya selesa tinggal di sini," katanya.

 

'Sayangi Malaysiaku' Meriahkan Rumah Panjang

Oleh Sakini Mohd Said

JULAU (Bernama) -- Setiap kali tibanya hujung Julai, Michael Jarop adalah antara individu paling sibuk di Rumah Panjang Anthony Bau yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak iaitu di Nanga Sugai, Rantau Tapang, Mujok di sini. 

Sebagai setiausaha rumah panjang berkenaan, bapa kepada empat orang anak itu memainkan peranan penting dalam menghiasi penempatan yang didiami 128 penduduk suku kaum Iban itu, agar berubah wajah menjadi lebih kelihatan ‘patriotik’ berbanding sebelumnya. 

Biasanya, Michael, 45, mengumpulkan seberapa ramai pemuda dan remaja untuk bersama-sama dengannya menghias rumah panjang itu dengan ratusan bendera sempena meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. 

“Suasananya sangat meriah walaupun duduk jauh dari bandar, kami tetap meraikan kedua-dua hari yang bermakna itu. Tetapi, tahun ini sambutan bermula lambat sikit kerana berlaku kematian dan ada pantang larang yang kena ikut. 

“Kalau tidak, setiap kali tiba sahaja hujung bulan Julai, memang sepanjang ruai ini sudah penuh dengan bendera Malaysia dan Sarawak, yang digantung dan dihias di dinding dan siling rumah,” katanya kepada Bernama. 

 

Mendepani Serangan Hendap Komunis Demi Tanah Air

Oleh Razali Pilus & Amanina Mohd Yusof

KUALA PILAH (Bernama) -- Bertempur dengan komunis, diserang hendap, dibedil bertalu-talu dan melihat rakan-rakan seperjuangan gugur di tangan komunis, memang mustahil dilupakan.

Segala yang berlaku masih segar dalam ingatan Udin Mahmud, 84, bekas Pegawai Waran I, Tentera Darat Malaysia.

Mengimbau masa lalu, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Udin berkata platunnya pernah diserang hendap sebanyak dua kali ketika di Pahang iaitu pada 1954 dan 1955.

“Pertempuran pertama berlaku ketika saya dan platun seramai 40 orang ditugaskan melaksanakan operasi di Kampung Ulu Atok, Raub.

“Keadaan menjadi kucar kacir apabila platun kami diserang hendap ketika memasuki kawasan hutan di kampung itu. Kami dibedil bertalu-talu oleh komunis,” katanya ketika ditemu bual Bernama.

 

TRT World Utamakan Ketepatan Berita

Oleh Shakir Husain

ISTANBUL (Bernama) – Jika penduduk Turki melihat saluran-saluaran media Barat sebagai musuh, mereka mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian.

Semasa kempen pilihan raya presiden pada Jun lepas, organisasi media terkemuka Eropah dan Amerika Utara dituduh menyiarkan artikel yang lantang mengkritik Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Ratusan wartawan asing membuat liputan pilihan raya Presiden Turki namun, kebanyakan mereka hanya menerbitkan berita-berita yang anti-Erdogan.

Fatih Er, pengarah berita dan program stesen penyiaran awam Turki, TRT World, mengkritrik tindakan wartawan berkenaan yang menampilkan pendapat dan pandangan penuh prasangka sebagai fakta dalam laporan mereka.

"Ada yang cuba menunjukkan hanya satu sisi penduduk Turki, yang tidak mahukan kerajaan ini. Mereka tidak teragak-agak memberikan pendapat tetapi apabila anda memberikan pandangan, mereka menyifatkan anda sebagai berat sebelah," kata Fatih kepada Bernama dalam temu bual di pejabat TRT World di sini.

 

Memelihara Tradisi Parang Bajau

Oleh Erda Khursyiah Basir

KOTA BELUD (Bernama) – Jarang sekali anak-anak mahu mewarisi dan meneruskan kerja-kerja seni kraftangan warisan nenek moyang. 

Rata-rata, mereka memilih berhijrah ke ibu kota mencari pekerjaan yang dianggap sesuai dan serasi dengan jiwa mereka. 

Sebaliknya, Said Pawel, 35, berminat meneruskan legasi keluarganya yang menghasilkan Parang Bajau - identiti penduduk Kampung Siasai Jaya, di sini.

“Bukan saya sahaja malah adik-adik lelaki, sepupu serta hampir 90 peratus anak muda di sini terlibat dengan kerja kraf ini.

“Masing-masing meneruskan tradisi keluarga yang merupakan simbolik masyarakat Bajau sejak dahulu lagi,” katanya kepada Bernama.

 

Bahasa Malaysia Instrumen Perpaduan

Oleh Lucia Terey John & Suhainie Mohd Khalid

JOHOR BAHRU (Bernama) -- Bahasa Malaysia tetap menjadi tonggak utama kenegaraan, walaupun bahasa-bahasa lain khususnya bahasa Inggeris dan Mandarin diguna pakai secara meluas berikutan keperluan globalisasi.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Kassim Thukiman berkata sebagai negara yang telah 61 tahun merdeka, agak aneh apabila isu mengenai peranan Bahasa Malaysia masih menjadi persoalan kerana penggunaannya sepatutnya sudah mantap dalam kalangan rakyat negara ini.

Malah, tambah beliau, perspektif sejarah membuktikan bahawa Bahasa Malaysia adalah ‘lingua franca’ yang diterima di peringkat global rentetan daripada penggunaannya yang meluas dalam kegiatan perdagangan dan penyebaran Islam sejak dahulu lagi.

“Oleh itu, jika hendak dikatakan tahap penguasaan Bahasa Malaysia di negara ini tidak bagus, tidak juga, kerana bahasa kita masih digunakan dengan baik di sana sini.

“Antara bukti yang menjadi contoh bahawa penguasaan Bahasa Malaysia masih baik adalah menerusi perbahasan wakil-wakil rakyat bukan Melayu di Parlimen yang menggunakan bahasa kebangsaan pada aras tinggi,” kata beliau ketika ditemui Bernama baru-baru ini.