Pertubuhan Peladang Sarawak bakal dapat kompleks bangunan baharu [ 1m ago ]

Berita POLITIK


Kenyataan Ahmad Faizal mengenai DAP sekadar pandangan peribadi

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
PONTIAN, 8 Nov -- Kenyataan “kontroversi” Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai DAP ketika turun berkempen di Tanjung Piai, dekat sini, baru-baru ini, hanyalah pandangan peribadi beliau semata-mata.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun mengingatkan Ahmad Faizal bahawa DAP adalah komponen penting dalam PH, selain menjadi rakan penting dalam kerajaan Negeri Perak.

“Saya tak mengikuti sepenuhnya (ucapan Ahmad Faizal), tetapi saya fikir itu mungkin soal pengalaman peribadi. Pasal apa pun dia seorang Menteri Besar, dan DAP rakan penting Kerajaan Negeri Perak.

“Apa pun saya rasa (pandangan) itu semua private, pengalaman peribadi beliau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Pekan Nenas di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, berkata beliau akan meminta penjelasan sebenar daripada Ahmad Faizal mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ahmad Faizal mengenai DAP di Perak dalam satu rakaman video yang tular.

Dalam video berkenaan, Ahmad Faizal, yang juga Pengerusi Bersatu Perak, dilihat memberitahu penduduk dan mengakui mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya iaitu DAP.

Ahmad Faizal yang ketika itu dilihat turut bersama calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, dipercayai sedang berbual dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai mengenai situasi di Perak.

Muhyiddin dalam masa yang sama menyatakan penghargaan kepada pimpinan tertinggi DAP kerana turut serta dalam kempen di Tanjung Piai bagi memenangi kerusi parlimen berkenaan.

“Di Tanjung Piai, pemimpin DAP turun. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka. Mereka tahu ini adalah perjuangan PH, ia bukan mengenai DAP, ia bukan mengenai Bersatu,” kata beliau.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu