Saksi diminta tandatangan akuan bersumpah mengenai bil kad kredit Ahmad Zahid [ 28m ago ]

Berita POLITIK


PRK Tanjung Piai: PH adakan post-mortem terperinci - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 18/11/2019
KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Pakatan Harapan (PH) akan melakukan satu 'post-mortem’ terperinci bagi mengenal pasti punca kekalahannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lepas, kata Pengerusi PH dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan hari ini, Dr Mahathir berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan.

Menurutnya, jangkaan beliau ialah majoriti kekalahan tidak lebih daripada 2,000 undi, namun keputusan rasmi menunjukkan majoriti kekalahan ialah 15,086 undi.

“Satu post-mortem yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti akan dibuat bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kekalahan pada pilihan raya kecil ini,” kata Dr Mahathir.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bekerja keras sepanjang PRK itu.

PRK enam penjuru di Tanjung Piai menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menewaskan calon lain termasuk Karmaine Sardini mewakili PH.

Wee menang dengan majoriti 15,086 undi.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kekecewaan rakyat yang dimanifestasi melalui keputusan PRK Tanjung Piai harus difahami.

“Kita perlu benar-benar memahami kekecewaan rakyat,” kata beliau dan menambah bahawa hasil keputusan pilihan raya itu menunjukkan keperluan untuk meneliti semua aspek.

“Kita sudah dapat maklumat dan harus ambil tindakan bijaksana untuk pulihkan keyakinan (rakyat),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mengenai desakan pihak tertentu supaya Parlimen dibubarkan, Anwar berkata: “Kekalahan satu atau dua kerusi tidak bermaksud kerajaan kena undur, kita diberi mandat untuk terus berkhidmat kepada rakyat.”

Sementara itu, Naib Presiden PH Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan menegaskan ini bukan masa untuk anggota dan kepimpinan PH menuding jari dan mengambil kesempatan mempertikaikan pimpinan gabungan itu.

Menurutnya, serangan terhadap mana-mana pemimpin hanya akan melemahkan PH dan keberkesanan kerajaan untuk mentadbir dan mengurus negara.

“Saat ini adalah untuk Pakatan Harapan bersama menyatukan tenaga dan menghadapi kenyataan secara kolektif. Keputusan ini ialah satu cabaran kepada setiap anggota dan barisan pimpinan PH untuk membuktikan bahawa kita mampu meneruskan kerjasama dan mengharungi cabaran sebagai satu pasukan,” katanya.

“Kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan komited kepada mandat yang diberi oleh mereka dan kerajaan akan secara konsisten membela nasib dan memperjuang kepentingan mereka supaya keyakinan mereka dapat dikembalikan semula,” kata Mohamed Azmin.

Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak menuding jari kepadanya sebagai pengarah Jentera PH atas kekalahan dalam PRK itu, berkata apa yang penting adalah perbaiki dan muhasabah diri.

“Post mortem bagi peringkat negeri juga akan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Persatuan Usahawan India Muslim (PERUSIM) negeri dan Program Sembang Santai di sini, hari ini..

Berhubung dakwaan bahawa kekalahan PH di Tanjung Piai adalah kerana kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu kos sara hidup, beliau menjelaskan isu berkenaan merupakan isu nasional.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu