Points dropped and Selangor's stuttering Malaysia Cup campaign continues [ 4h ago ]

Ku Nan Gesa Guna Strategi Perniagaan Untuk Tadbir Wilayah Persekutuan

Tarikh kemaskini: 01/02/2017
KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Pentadbir wilayah persekutuan diminta berganding bahu dengan sektor swasta bila mungkin apabila menganjurkan sesuatu acara untuk membantu mengurangkan kos.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ini selaras dengan kepercayaannya tentang perlunya memperoleh hasil maksimum dengan perbelanjaan minimum.

Tengku Adnan yang juga anggota parlimen Putrajaya berkata ini berdasarkan pengalamannya dalam dunia perniagaan sebelum menyertai politik.

"Seorang ahli perniagaan dia punya kaedah berbeza, kalau dia labur RM1 dia nak tahu apa yang dia boleh untung.

"Jadi bila perbelanjaan dilakukan, ada yang saya potong namun dengan syarat kita tidak menidakkan penyampaian kepada masyarakat," kata beliau kepada Bernama sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Tengku Adnan berkata perbelanjaan bagi acara berkaitan sambutan Hari Wilayah Persekutuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun dikurangkan tetapi menampilkan banyak program.

Beliau berkata, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah menyaksikan banyak perubahan kerana status sebagai Wilayah Persekutuan.

"Saya sendiri melihat dengan mata saya sendiri bagaimana Putrajaya telah bertukar daripada sebuah estet kepada sebuah wilayah yang dikagumi," katanya.

Beliau berharap penduduk di ketiga-tiga wilayah persekutuan itu akan terus menyokong usaha untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di wilayah tersebut.

-- BERNAMA

       Berita Utama Terdahulu