Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 53m ago ]

MBKT Pastikan Kawasan Tumpuan Pelancong Bersih

Tarikh kemaskini: 11/11/2016
KUALA TERENGGANU, 11 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini giat membersihkan kawasan tumpuan pelancong dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengabaikan kebersihan.

Datuk Bandar Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata walaupun Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman memberi kelonggaran berniaga di hadapan rumah, namun segelintir daripada mereka bersikap keterlaluan hingga berniaga di tepi longkang dan jalan raya.

Katanya ia bukan sahaja mencemarkan imej bandar raya Kuala Terengganu tetapi mampu mengundang pelbagai penyakit ekoran pengabaian kebersihan.

"Memang Menteri Besar memberi kelonggaran bagi sesiapa sahaja berniaga di depan rumah masing-masing sebagai inisiatif menambah sumber pendapatan keluarga.

Namun, janganlah mengambil kesempatan atas kelonggaran diberi itu dengan berniaga di tempat kurang sesuai, katanya.

Ada dalam kalangan peniaga meninggalkan kerusi dan meja makan di tepi jalan selain daripada sampah sarap, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penjaja Sehati Sejiwa anjuran Persatuan Penjaja Statik Kuala Terengganu di Kampung Tiong di sini, Jumaat.

Mohd Zulkifli berkata MBKT bergotong-royong dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi membersihkan kawasan gerai yang kotor sejak bulan lalu dan sebagai permulaan operasi dimulakan di Panji Alam hingga ke Bukit Besar.

"Walaupun hanya meniaga di depan rumah, mereka perlu mendapatkan suntikan seperti ditetapkan Jabatan Kesihatan demi menjaga keselamatan makanan dijual dan mengelak sebarang ancaman jangkitan," katanya.

Selain itu, beliau berkata MBKT terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan bagi memastikan semua gerai makanan beroperasi di premis perniagaan miliknya mendapat gred A dalam kategori kebersihan sebelum akhir tahun ini.

"Bagi permulaan, tumpuan diberi kepada medan selera MBKT di Batu Buruk, Batas Baru, Tanjung dan Gong Badak serta diperluaskan ke gerai makanan di tempat tumpuan pelancongan lain.

MBKT dan Jabatan Kesihatan bimbing para peniaga gerai makanan ini bagi menaik taraf gred kebersihan mereka kepada gred A," kata beliau.

Begitu juga gerai makanan yang bukan beroperasi di premis MBKT turut dipantau dan dibimbing agar tidak lagi mendapat gred C atau D, katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu